Ada satu kiriman terbaru daripada seorang pembaca, Lakhvinder Gill, yang menunjukkan kehadiran Mercedes-Benz GLB di Malaysia. Model berkenaan diangkut di atas sebuah trak, dan sedang melalui Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE). Lebih menarik, ia adalah dari versi Mercedes-AMG GLB 35 4Matic.

Model crossover berkenaan nampaknya akan ditawarkan di dalam tingkat kemasan prestasi tinggi. Tidak seperti A 35 hatchback, GLB 35 tidak akan ditampilkan dalam varian Edition 1, sebaliknya akan menerima pilihan roda paling besar – 20-inci dalam warna hitam kesat.

Menjanakan kuasa GLB 35 ini ialah enjin 2.0 liter M260 turbocas empat-silinder petrol, menghasilkan 306 PS dari 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork antara 3,000 rpm dan 4,000 rpm. Ia juga menerima transmisi klac-berkembar lapan-kelajuan (sama seperti pada A 45) dengan pacuan semua roda. 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.2 saat.

Mungkin akan ada juga penawaran varian biasa untuk pasaran tempatan kelak. GLB turut hadir dengan dua pilihan enjin petrol lain – GLB 200 menerima unit 1.3 liter turbocas empat-silinder (163 PS/250 Nm) dari Renault yang digandingkan dengan DCT tujuh-kelajuan Getrag. Sementara itu, GLB 250 4Matic menerima versi enjin M260 2.0 liter (224 PS/350 Nm) yang digandingkan bersama DCT lapan-kelajuan serta pacuan semua roda.

Diposisikan di atas model GLA, GLB ini sedikit lebih besar dan mempunyai tempat duduk barisan ketiga – menjadi yang pertama dalam barisan SUV kompak Mercedes. Rekaannya juga lebih berkotak dan mempunyai rekaan dalaman yang lebih menarik, serta pakej Offroad Engineering bagi memberikannya kelebihan tambahan.