Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan tahun depan mereka akan mengadakan satu program perlumbaan baru yang akan menyertai siri Malaysia Superbike Championship, dalam kelas MSBK250, dipanggil sebagai Boon Siew Honda 250cc Racing Support Programme.

Menariknya, program ini dijual secara pakej pada harga RM30,000 dan datang sekali dengan motosikal CBR250RR yang telah diubah suai dengan kit lumba serta penyertaan untuk perlumbaan yang dinyatakan. Pembeli akan dapat menikmati penjimatan yang banyak kerana nilai sebenar pakej ini adalah sekitar RM50,000.

Harga tersebut dapat ditawarkan selepas mengambil kira diskaun dan subsidi daripada BSH, dan objektif sebenarnya adalah untuk mengangkat lagi sukan lumba motosikal secara amnya. BSH sebelum ini memang aktif dalam program seperti ini, dan boleh dilihat dengan adanya perlumbaan kategori Dash 125 Challenge dalam Petronas Malaysian Cub Prix Championship dan pasukan sendiri dalam Asia Road Racing Championship.

Setakat yang diumumkan sebentar tadi, hanya 10 slot untuk pakej ini dibuka untuk jualan namun BSH tidak menolak kemungkinan ia mungkin ditambah pada masa hadapan. Motosikal akan diserahkan kepada pembeli sekitar hujung tahun ini manakala perlumbaan pula akan bermula pada bulan April 2021.

Enjin yang digunakan pada CBR250RR dalam pakej ini masih adalah standard, iaitu unit dua silinder selari 249.7 cc berkuasa 41 PS dan 25 Nm tork, tetapi dipasang dengan aksesori lumba seperti ECU, ekzos, suspensi, tayar, tempat duduk, butang kawalan dan panel bahagian belakang badan.