Selain pengumuman penawaran pakej perlumbaan yang datang sekali dengan motosikal CBR250RR, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) juga telah melancarkan Rebel 500 2020 untuk pasaran Malaysia dalam acara yang sama. Ia dijual pada harga RM32,899 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

Model yang dilancarkan ini adalah model tahun 2020, yang telah dinaik taraf dengan lampu semua jenis LED, fork serta spring suspensi belakang dipertingkat, tempat duduk lebih selesa, klac jenis assist/slipper, penunjuk kedudukan gear, pilihan warna Matte Jeans Blue Metallic baru serta enjin yang mematuhi tahap Euro 4.

Hanya sedikit talaan yang dibuat pada enjin itu sementara asasnya masih lagi unit dua silinder selari DOHC 471 cc yang berkuasa 45.6 hp pada 8,500 rpm dan 43 Nm tork pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

Panel instrumen motosikal yang berbentuk bobber ini menggunakan unit digital bulat, manakala tangki pula berkapasiti 11.2 liter. Rim bersaiz 16 inci, dengan tayar 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang manakala brek pada kedua-dua bahagian adalah unit cakera sekali dengan sistem ABS.

Berat keseluruhan Rebel 500 adalah 190 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 690 mm. Selain warna biru matte baru, motosikal ini juga ditawarkan dengan dua lagi warna lain iaitu hitam dan kelabu.

GALERI: Honda Rebel 500 2020

GALERI: Honda Rebel 500 2020 dengan aksesori