Toyota GR Yaris – barisan aksesori asli diperkenal

Toyota GR Yaris – barisan aksesori asli diperkenal

Walaupun Toyota GR Yaris merupakan model prestasi penuh dari Gazoo Racing, ini bukan bermakna ia telah menerima semua kelengkapan dari sayap perlumbaan rasmi Toyota tersebut. Untuk pembeli di Jepun, mereka turut boleh memilih barisan aksesori asli GR bagi GR Yaris mereka untuk imej yang lebih tersendiri.

Pakej utama untuk aksesori GR Yaris berkenaan adalah kit aero yang terdiri dari spoiler hadapan yang lebih menonjol, dipadankan dengan kemasan tambahan pada skirt sisi. Pakej ini juga hadir dengan kemasan tambahan pada spoiler belakang, spoiler bampar belakang dan juga tambahan dua lagi tip ekzos, menjadikan keseluruhan empat tip pada bahagian diffuser.

Menurut Gazoo Racing, pakej aero tambahan tersebut bukan sahaja memberikan rupa lebih garang pada GR Yaris ini, malah turut meningkatkan daya downforce ketika dipandu laju. Untuk aksesori lain, ia lebih kepada aspek kosmetik antaranya pelekat GR pada kedua-dua sisi bampar hadapan dan belakang dan juga jalur badan di bawah cermin tingkap sisi.

Toyota GR Yaris – barisan aksesori asli diperkenal

Barisan aksesori ini juga tampil dengan pelindung pembuka pintu dan pemegang nombor plat dengan elemen gentian karbon. Manakala dalam kabin, kemasan pada papan pemuka yang menghadap penumpang juga boleh diganti dengan kemasan seperti gentian karbon. Karpet kaki dan nat roda GR juga ditawarkan.

Toyota GR Yaris ini merupakan model yang dihasilkan oleh Toyota dengan badan khas tiga-pintu berlainan dari model biasa Yaris hatchback lima pintu. Ia dibangunkan semata-mata untuk mendapatkan kerangka asas yang benar-benar berpotensi sebagai jentara rali WRC yang akan digunakan pada musim akan datang.

Dalam keadaan standard, model ini hadir dengan bumbung gentian karbon yang direka lebih landai untuk kesan aerodinamik lebih baik, serta panel-panel aluminium pada bonet hadapan dan but belakang. Di Jepun, GR Yaris ditawarkan dengan dua jenis enjin iaitu 1.5 liter Dynamic Force NA berkuasa 120 PS/145 Nm, dan juga dua model lebih berkuasa menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo berkuasa 272 PS/370 Nm.

Model asas hanya menerima kotak gear CVT automatik pacuan hadapan, manakala model turbo pula dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem pacuan semua roda GR Four. Sistem berkenaan hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang serta tiga mod yang memberikan agihan tork depan dan belakang berbeza iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).

Bercakap berkenaan model RS yang diberikan enjin yang cukup ‘lemah’, model tersebut sebenarnya dijual lebih kepada sebagai ‘kerangka’ bagi mereka yang bercadang untuk menghasilkan projek-projek gila, contohnya GR Yaris Daigo Saito yang disumbatkan dengan enjin 2JZ-GTE sebagai jentera drift yang menerima bekalan kuasa 1,000 hp.

Kita di Malaysia sudah pun mempunyai pengedar-pengedar GR Garage yang mula menjual GR Supra bermula hujung tahun lalu, dan tidak mustahil GR Yaris ini turut akan di bawa ke pasaran tempatan. Malah Julai lalu, laman sosial UMW Toyota ada menaikkan hantaran berkenaan model ini, dan ia mungkin teaser sebelum GR Yaris benar-benar hadir ke Malaysia.

GALERI: Toyota GR Yaris dengan aksesori GR

GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required