Bersekali dengan GLS, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan model GLE Coupe C167 baru untuk pasaran tempatan. Tiba hampir setahun selepas model standardnya, ia tampil lebih rendah dan turut menawarkan varian pertengahan bagi Mercedes-AMG, GLE 53 4Matic+ Coupe.
Harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bermula dari RM661,009 bagi GLE 450 4Matic Coupe, sementara bagi GLE 53 pula pada harga RM787,358. Tidak seperti GLS, model-model ini sudah termasuk rebat 50% bagi SST sehingga 31 Disember 2020. Jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan turut disediakan.
Berbanding GLE Coupe sebelum ini, badan yang diberi rekaan semula ini berukuran 4,939 mm panjang (+39 mm), 2,010 mm lebar (-7 mm) dan 1,737 mm tinggi (+18 mm). Menurut Mercedes-Benz, walaupun jarak antara rodanya bertambah 20 mm menjadi 2,935 mm, ia masih 60 mm kurang berbanding GLE. Model baru ini turut meminjam sentuhan rekaan yang sama, termasuk unit pencahayaan serta rekaan dalaman.
Walaupun kedua-duanya nampak sama, tetap ada perbezaan khusus. GLE 450 menerima gril diamond dengan jalur tunggal berbending GLE 53 yang diberikan unit Panamericana. Di belakang, penyudah bahagian ekzos berkembar GLE 450 menggunakan krom, sementara GLE 53 dipasangkan diffuser dan empat corong bulat.
GLE 53 juga datang dengan rim aloi AMG 22-inci, pakej AMG Night (kemasan luaran hitam) dan spoiler belakang. Ini tidak terdapat pada GLE 450, yang menggunakan rim saiz 21-inci AMG dan kemasan krom. Elemen yang dikongsi bersama antaranya ialah kemasan aluminium, pencahayaan running board, bumbung panoramik dan lampu depan Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus.
Enjin pula kedua-duanya menggunakan unit M256 3.0 liter turbocas enam-silinder sebaris, yang disokong oleh sistem mild-hybrid 48-volt. Tetapan ini – dengan Dynamic Select – turut digunakan pada GLS dan termasuk alternator-penghidup EQ Boost yang memberikan tambahan 22 PS (21 hp) dan 250 Nm tork bagi tempoh singkat jika diperlukan.
Dari segi output, GLE 450 menghasilkan 367 PS (362 hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 500 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 250 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah 9.2 l/100 km (10.9 km/l) dan membebaskan 205 g/km CO2.
Bagi GLE 53 pula ia menerima transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan dengan talaan yang lebih berkuasa. Dengan output 435 PS (429 hp) pada 6,100 rpm dan 520 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 5,800 rpm. Ia sedikit lebih pantas bagi pecutan 0-100 km/j, dengan masa 5.3 saat, sementara laju maksimum 250 km/j. Penggunaan minyak ialah 9.6 l/100 km (10.4 km/l), dengan pembebasan 219 g/km CO2.
GLE 53 juga datang dengan kelengkapan tambahan berbanding GLE 450. Ini termasuk sistem ekzos sport, AMG Track Pace dan AMG Ride Control. Kedua-dua model bagaimanapun dilengkapi dengan sistem suspensi Airmatic secara standard.
Sama seperti luaran, bahagian dalaman kedua-dua kereta ini juga lengkap dengan pakej AMG Line, dengan perbezaan antara keduanya. GLE 450 menggunakan kemasan kayu oak, manakala GLE 53 menggunakan material gentian karbon. Kerusi juga berbeza, dengan model AMG menggunakan kerusi lebih berlekuk di depan, dan dibalut dengan stereng AMG balutan kulit Nappa.
Kelengkapan standard bagi kedua-duanya termasuk sistem pencahayaan suasana, kerusi depan kuasa elektrik dengan fungsi memori, pakej krom untuk dalaman, kawalan pendingin hawa empat zon Thermotronic, pelapik AMG, sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan dua papran 12.3-inci, sistem bunyi Burmester, pengecas tanpa wayar dan modul komunikasi LTE untuk servis Mercedes me connected.
Aspek keselamatan pula lengkap dengan ciri-ciri seperti Active Distance Assistant Distronic, Active Parking Assist dengan Parktronic, Active Steering Assist, kamera 360-darjah, pakej Bantuan Memandu, Keyless-Go, pintu ruang belakang kuasa elektrik tanpa kendalian tangan serta sistem Pre-Safe.
Mercedes-Benz GLE 450 4Matic Coupe 2020
Mercedes-AMG GLE 53 4Matic Coupe 2020
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.