Honda City 2020: Pengeluaran CKD berjalan pada kapasiti tertinggi, kilang dinaik taraf seperti Jepun

Honda City 2020: Pengeluaran CKD berjalan pada kapasiti tertinggi, kilang dinaik taraf seperti Jepun

Proses pengeluaran Honda City 2020 CKD di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka kini berjalan pada kapasiti penuh, sebelum ia dilancarkan secara rasmi Oktober nanti. Walaupun masih belum disahkan, sedan segmen B ini nanti mungkin ditawarkan dalam empat varian termasuk yang paling canggih, City RS e:HEV dengan sistem hibrid i-MMD baru.

Menurut sumber kami daripada Honda Malaysia, persediaan untuk pemasangan City RS i-MMD hibrid telah bermula sejak lima tahun dulu, demi memberikan mereka masa untuk mempersiapkan baris No.1 dan No.2 di kilang itu dengan mesin, robot dan alat yang dinaik taraf. Peningkatan juga dibuat pada baris pengeluaran lain, daripada pemasangan kerangka dan panel badan, proses kimpalan dan mengecat, hinggalah fasa pemeriksaan akhir.

Untuk kimpalan, City generasi kelima melalui proses “kimpalan dalaman” robotik sepenuhnya, yang membantu meningkatkan ketegaran struktur kenderaan. Kemudian, ia melalui pula proses mengecat enam tahap, yang termasuk mencelup keseluruhan rangkanya dalam ejen anti karat, serta dimasukkan dalam takungan air untuk memeriksa sebarang kebocoran.

Langkah ini diberitahu dapat meningkatkan kualiti pengeluaran kenderaan CKD, dan pada masa sama menggunakan beberapa kelengkapan pengeluaran paling maju Honda Motor Company. Peningkatan ini perlu dilakukan demi membawa City hibrid i-MMD ini ke Malaysia dan negara kita menjadi yang pertama dalam dunia menerimanya. Ia juga menunjukkan bahawa kilang ini nanti boleh mengeluarkan model i-MMD yang lain pada masa hadapan.

Bagi menjadikan City hibrid i-MMD ini mendapat manfaat daripada pengecualian cukai EEV, 30% daripada komponen utamanya (termasuk bahagian untuk penjana hibrid, sistem pacuan, badan dan dalaman) mestilah datang dari dalam negara. Malah, pek bateri hibridnya – dipanggil sebagai Intelligent Power Unit (IPU) – juga dipasang dengan tangan dalam persekitaran tanpa statik dan suhu terkawal (25 darjah sepanjang masa).

Honda Malaysia memberitahu, mereka telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan tiada IPU yang bermasalah diberikan kepada pengguna. Salah satu caranya adalah memasang bateri kepada kenderaan dalam masa 180 hari daripada waktu sel lithium ion itu dikeluarkan. Langkah ini saja dapat mengurangkan kadar kepincangan, tetapi sekiranya ada juga IPU yang bermasalah dihasilkan, ia akan dipulangkan semula kepada pengeluar atau dikitar semula oleh Honda Assembly Malaysia.

Enjin kitaran Atkinson 1.5 liter i-VTEC pada sistem i-MMD ini juga dipasang di kilang sama dengan prosedur 19 langkah. Sebagai rujukan, enjin hibrid Sport Hybrid i-DCD sebelum ini juga dibuat di kilang sama.

Honda City 2020: Pengeluaran CKD berjalan pada kapasiti tertinggi, kilang dinaik taraf seperti Jepun

Naik taraf lain yang dibuat pada kilang ini adalah termasuk pencahayaan lebih sekata di kawasan pemeriksaan (seperti yang boleh dilihat dalam gambar di atas) untuk mengurangkan sebarang kecacatan cat, serta menggunakan semula ruang mengecat lama untuk proses suntikan semburan buih baru untuk memenuhkan lubang pada rangka bawah City. Langkah ini dikatakan dapat memperbaiki NVH sehingga 33%.

Honda Malaysia telah membuat pelaburan yang banyak untuk memperbaiki operasi CKD mereka. Sekarang ini, mereka memberitahu baris pengeluaran City i-MMD sudah sama canggih seperti kemudahan Honda Japan. Latihan untuk pengeluaran City generasi kelima ini juga sudah bermula setahun yang lalu, jadi bermakna semuanya sudah bersedia.

Kapasiti pengeluaran pula, bagaimanapun masih tidak berubah. Kedua-dua kilang masih lagi mampu menghasilkan 100,000 kenderaan penumpang (digabungkan) dalam masa setahun. Kawasan kemudahan ini juga mempunyai litar ujian 2.1 km, bahagian penyelidikan dan pembangunan, serta beberapa pusat pemeriksaan sebelum penghantaran dengan kapasiti menyimpan sehingga 16,000 buah kenderaan dalam satu-satu masa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required