Ketika ini, ada beberapa perincian baru berkaitan Honda City 2020 – dalam versinya yang paling tinggi RS e:HEV – mula muncul. Dalam kunjungan wakil kami ke kilang Honda di Pegoh, Melaka minggu ini, syarikat itu menunjukkan unit pengeluaran bagi model sedan segmen B generasi kelima itu lebih awal berbanding tarikh pelancarannya yang dijangkakan bulan depan. Selain itu, lebih banyak maklumat tentang varian itu turut diketahui berbanding sebelumnya.
Yang pertama, kita lihat dimensi kereta ini. City terbaru ini memiliki 4,553 mm panjang, 1,748 mm lebar dan 1,467 mm tinggi. Ini menjadikannya 111 mm lebih panjang, 54 mm lebih lebar dan 10 mm lebih rendah berbanding versinya yang lama. Jarak antara roda pula belum didedahkan, begitu juga dengan berat kering dan angka-angka lainnnya.
Bagi luaran, spesifikasinya termasuklah lampu utama LED baru (hanya bagi RS dan V), DRL LED serta lampu belakang yang juga dari jenis LED. Varian RS ini juga datang dengan kit aksesori dalam bentuk gril hitam berkilat, lip depan dengan corak gentian karbon, diffuser pada bampar belakangnya serta perumah cermin sisi dan spoiler belakang dalam warna hitam berkilat juga. Hanya varian RS yang menggunakan rim 16-inci dua-tona, dengan varian lain hanya menggunakan rim warna perak.
Honda bagaimanapun masih lagi belum mendedahkan rekaan dalaman bagi model pasaran tempatan, tetapi sekarang kita tahu akan ada corong pendingin hawa besar di belakang, serta RS akan dilengkapi dengan brek parkir elektrik – satu-satunya varian yang ada ciri itu. Selebihnya, ciri menghidupkan enjin dari jauh (sama seperti Civic) ditawarkan pertama kali untuk segmen ini.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, City baru ini bakal dilengkapi dengan Honda Sensing. Pakej keselamatan berkenaan tidak ditawarkan untuk pasaran Thailand. Malaysia akan jadi pasaran pertama yang menerima sistem itu untuk model City.
Untuk itu, walaupun sebelum ini tidak jelas sama ada sistem berkenaan akan ditawarkan selengkapnya pada City, kini sudah boleh disahkan bahawa ciri berkenaan akan ditawarkan untuk varian RS. Honda Sensing terdiri daripada:
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Collision Mitigation Braking System (CMBS)
- Forward Collision Warning (FCW)
- Lane Keeping Assist System (LKAS)
- Road Departure Mitigation (RDM)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Auto High-Beam (AHB)
Sistem Honda Sensing ini menampilkan sebuah kamera di depan untuk mengesan sitausi serta pejalan kaki atau penunggang basikal. Model ini juga akan menerima sistem kamera sisi Honda LaneWatch. Ini juga akan ditawarkan pada satu varian di bawah RS, iaitu V Grade, sama seperti penawaran untuk model HR-V sebelum ini – walaupun SUV kompak itu tidak dilengkapi Sensing.
Pilihan warna luaran kereta ini juga telah didedahkan, ada lima semuanya – Modern Steel Metallic, Passion Red Pearl, Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Selebihnya, maklumat masih kekal sama dengan apa yang pernah kami laporkan sebelum ini. Malaysia akan jadi negara peratma yang menawarkan City dalam sistem janaan kuasa i-MMD hibrid, yang sebelum ini pernah ditawarkan pada Jazz terlebih dahulu.
Sistem i-MMD berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127Nm yang digandingkan dua motor elektrik. Dengan gandingan tersebut, Fit/Jazz Hybrid itu dibekalkan dengan kuasa 109 PS dan tork maksima sama seperti yang diumumkan pada City e:HEV ini iaitu 253 Nm.
Bagi empat varian lainnya, City 2020 menerima enjin 1.5 liter petrol konvensional, tetapi tidak sama dengan unit yang ada pada model generasi sebelumnya. Ia kini dikemaskini dengan kepala silinder aci sesondol berkembar (DOHC i-VTEC). Kuasa untuk enjin ini juga masih belum diumumkan, tetapi untuk City generasi baru bagi pasaran India, ia berupaya untuk menjana 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bagi menghantar kuasa ke roda hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.