Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

Tak boleh dinafikan, bukan sahaja pada pasaran global, malah di Malaysia sendiri SUV telah beransur-ansur mula ‘membunuh’ pasaran bukan sahaja hatchback, malah kereta dalam segmen yang dilihat antara yang paling praktikal iaitu sedan juga semakin lama semakin terancam.

Pelbagai faktor yang mempengaruhi trend semasa ini – bukan sekadar rupa dan gaya hidup sahaja, malah SUV juga kini dihasilkan dalam pelbagai bentuk termasuk dalam segmen paling kompak iaitu segmen-A, membolehkan ia dijual pada harga lebih mampu milik.

Kita di Malaysia, ‘permainan’ untuk segmen SUV kompak ini boleh dikatakan berubah ketika kedatangan Honda HR-V pada tahun 2015, di mana mereka yang ‘geram’ dengan CR-V, kini dapat memiliki sebuah SUV dari Honda dengan harga yang lebih mampu milik, membuatkan Honda Malaysia berkuasa dalam segmen berkenaan selama bertahun-tahun.

Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

Tahun ini, ‘permainan’ ini nampaknya sekali lagi akan berubah dengan kedatangan Proton X50. SUV segmen-B dari Proton ini bukan sahaja dilihat akan memeningkan kepala pesaing dalam kelasnya, malah dengan harga untuk varian-varian rendah yang dijangka akan bertindan dengan harga sedan-sedan segmen-B dalam varian tinggi, ia mungkin memberikan ancaman lebih dari itu.

Saya sendiri ada terperasan, pengguna-pengguna yang sepatutnya memerlukan sedan sebagai kenderaan harian mula jiwa kacau dengan rupa dan spesifikasi yang ditawarkan X50 ini. Sebenarnya, bukan sekadar ruang dan praktikaliti sahaja akan berubah jika anda beralih dari sedan ke SUV, bahkan ada lagi perkara lain yang perlu anda ambil kira.

Jadi sedan atau SUV? Baca artikel ini sehingga habis, dan kemudian ia mungkin akan membantu anda membuat penilaian bagi menentukan pilihan tersebut. Ingin diingatkan, perbandingan ini hanya lebih tertumpu kepada sedan dan SUV/Crossover sahaja ya, untuk MPV-SUV macam Perodua Aruz atau Mitsubishi Xpander, mungkin akan disentuh dalam artikel lain.

Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

Sebenarnya, rupa SUV ini sudah mula diminati sejak sekian lama, namun kerana ia tidak praktikal untuk kegunaan harian, kenderaan sebegini tidak mempunyai bahagian yang besar dalam pasaran. Pada sekitar 70’an dan 80’an dahulu, SUV dikenali sebagai 4×4, dan ia dihasilkan bukan sepenuhnya digunakan di atas jalan raya, sebaliknya ditumpukan untuk meredah laluan-laluan hutan dan pedalaman.

Model-model yang terkenal seperti Mitsubishi Pajero, Isuzu Trooper dan Toyota Land Cruiser dihasilkan dari platform ladder frame yang lasak seakan lori, dan juga sistem pacuan semua roda yang hardcore dengan transfer case untuk gear mendaki, dan juga gandar belakang jenis hidup (live axle). Malah, banyak juga model yang dijana oleh enjin diesel seperti lori kecil.

Jadi agak sukar untuk menala SUV-SUV purba ini untuk menjadikan ia sebuah kereta harian yang selesa. Malah dengan tayar jenis off-road yang perlu disarung pada rim, dan lebih banyak komponen untuk sistem transmisi, kos untuk ‘membela’ sebuah SUV 4X4 ini adalah jauh lebih tinggi dari kereta biasa ketika itu.

Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

Namun pengeluar-pengeluar tahu, ramai yang jatuh hati dengan rupa lasak pada SUV-SUV ini. Jadi dari tahun ke tahun, SUV ditransformasi dari sebuah kenderaan untuk hutan tropika, kini lebih mesra digunakan dalam bandar. Casis ladder frame mula digantikan dengan casis unibody.

Dan sekarang, SUV telah dihasilkan dengan kerangka monocoque yang dikongsi dengan kereta biasa, manakala sistem 4WD telah diganti dengan sistem AWD bagi membolehkan suspensi belakang diberikan sistem gandar bebas. Malah untuk pasaran Malaysia, SUV segmen-B dan segmen-C kini ditawarkan kebanyakkannya dalam versi pacuan roda hadapan.

Ini membolehkan SUV dipandu dengan pengendalian hampir sebaik kereta, keselesaan kadang kala lebih baik dari sedan, dan juga kos penyelenggaraan yang jauh lebih murah dari SUV 4X4 sebelumnya.

Walau bagaimanapun, anda masih lagi perlu meneliti sebahagian kos yang masih tinggi pada SUV ini, terutamanya tayar. Buat masa sekarang, SUV untuk segmen-B biasanya diberikan pilihan rim bermula dari saiz 16-inci, manakala untuk SUV segmen-C varian tertinggi seperti Mazda CX-5 dan Proton X70, ia menerima rim 19-inci – tayar-tayar ini dijual dengan harga yang jauh lebih mahal dari tayar model-model sedan.

Jika anda biasa dengan sedan dengan rim antara 14-inci hingga 17-inci, melihat harga tayar-tayar untuk SUV yang lebih tebal dan lebar ini mungkin akan membuatkan mata anda terbeliak jika tidak bersedia. Dengan tayar dan juga badan yang lebih berat, SUV memerlukan cakera brek yang lebih besar dan sudah tentu pad breknya juga dijual pada harga lebih mahal. Malah faktor berat juga membuatkan SUV mustahil untuk mendapat kadar penggunaan bahan api sejimat sedan biasa.

Untuk model-model yang dilengkapi sistem AWD, sudah tentu ia akan menambah lagi kos penyelenggaraan. Sistem ini memerlukan minyak pada gandar belakang ditukar mengikut jadual yang disediakan pengeluar. Dan selepas pemilikan lebih lama, mungkin ada komponen haus dan lusuh seperti bearing, gasket, bush, penyambung-penyambung dan sebagainya yang perlu ditukar.

Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

Yang agak kelakar, pusat-pusat mencuci kereta juga biasanya mengenakan caj yang lebih tinggi kepada SUV – contohnya untuk mencuci Honda HR-V yang ‘nampak besar’ kerana lebih tinggi adalah lebih mahal dari Honda Civic, padahal hakikatnya saiz sedan segmen-C tersebut sebenarnya adalah jauh lebih besar.

Walaupun SUV kebanyakkan memberikan pengendalian yang baik, namun mengikut hukum fizik, jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi sudah tentu memberikan titik graviti yang juga lebih tinggi dari kereta. Oh, kita sekarang berbicara tentang SUV mampu milik ya, tak termasuk SUV premium seperti Porsche Macan atau Lamborghini Urus.

Jadi untuk SUV seperti ini, ia mempunyai daya olengan yang lebih banyak dari kereta dan sukar untuk memberikan pemanduan yang lebih lincah ketika dipandu di jalan berliku. Malah, ada juga SUV yang akan terasa sedikit bergoyang ketika dipotong oleh lori atau bas di lebuh raya.

Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

Walau bagaimanapun, kedudukan yang tinggi ini ada juga kelebihannya – sudut pandangan ditempat pemandu anda akan menjadi lebih jauh ke hadapan, dan mudah untuk mengagak jarak sekeliling ketika memandu ditempat yang sempit. Bagi sesetengah pemandu, ini secara tidak langsung turut akan memberikan keyakinan yang lebih tinggi ketika memandu.

Bagi yang memilih SUV disebabkan ruang, anda sebenarnya lebih perlu berhati-hati dengan perkara ini. Jika anda memilih SUV segmen-C, ya, ia adalah alternatif baik kepada model wagon yang agak sukar diperolehi dalam negara kita. Ruang kargo pada SUV jenis ini memang besar dan boleh mengisi barang yang lebih tinggi berbanding ruang but pada sedan.

Namun untuk SUV segmen-B seperti Honda HR-V dan Proton X50, model-model sebegini sebenarnya adalah sebuah hatchback dengan tayar besar, dan usahlah mengharapkan ruang but yang besar. Mazda CX-3 misalnya, hanya menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 350 liter, berbanding Perodua Bezza dengan but berkapasiti 508 liter.

Begitu juga dengan kabin belakang, jangan pula anda mengharap SUV segmen-B ini akan memberikan ruang lutut yang luas seperti sedan segmen-B, malah dengan rekaan bumbung yang landai kebelakang seperti Honda HR-V dan Toyota C-HR bagi memberikan rupa yang sporty, ruang untuk kepala juga agak terhad dan anda tidak akan terasa ‘lapang’.

Jadi, ini adalah antara pandangan kami berkenaan pro dan kontra antara pemilihan SUV atau sedan berdasarkan pengalaman kami menguji pelbagai jenis kenderaan. Namun untuk yang pernah memiliki sedan kemudian beralih ke SUV, mungkin anda ada lebih banyak pengalaman dan sudi untuk berkongsi dengan pembaca lain dalam ruang komen di bawah.

Ingatlah, tiada kereta yang dihasilkan sempurna dalam dunia ini. Jadi setiap kali mahu memilih kereta untuk di beli (bukan berangan), kaji semula semua perkara bukan sahaja melibatkan trend semasa dan rupa sahaja, ambil kira sekali bagaimana keperluan pengunaan harian anda, dan juga bajet (bayaran bulanan, servis, dan lain-lain) yang anda ada.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required