Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan penukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin secara rasminya mulai 26 September 2020. Walau bagaimana pun, semalam Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan DBKL di atas tindakan tersebut.

Beliau melalui ciapan di Twitternya, mempersoalkan kewajaran pemilihan jalan berkenaan. Katanya, ini kerana nama asalnya itu amat bersejarah kepada bangsa Melayu dan ibu kota.

Justeru, beliau meminta DBKL untuk mencari lokasi lain untuk dinamakan Jalan Palestin kerana nama Jalan Raja Laut perlu dikekalkan, laporan Berita Harian.

Jelas beliau, Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan diminta mencari jalan lain lebih sesuai bagi tujuan berkenaan.

“Saya tiada halangan hendak menamakan jalan di Kuala Lumpur dengan Jalan Palestin, tanda sokongan Kuala Lumpur kepada perjuangan pembebasan al-Quds. Namun, saya mahukan penjelasan kenapa memilih untuk tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar sejarah Melayu dan Kuala Lumpur,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter itu.