Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan pusat 3S baharu yang kedua buat bulan ini. Susulan dengan pembukaan pusat 3S Temerloh dua minggu lalu, kali ini MMM telah memperkenalkan satu lagi fasiliti 3S, kali ini terletak di Petaling Jaya.

Pusat baharu ini, yang dikendalikan oleh pengedar bertauliah Ingress Motors Centre (IMC), terletak di No. 13, Jalan 225, Seksyen 51A, Petaling Jaya. Ia merupakan fasiliti Mitsubishi yang ke-empat yang dikendalikan oleh IMC di Lembah Klang, dengan tiga lagi pusat yang sama terletak di Puchong, Bangi dan Shah Alam.

Fasiliti di Petaling Jaya ini, yang mengikut imej korporat baharu MMM, dibina atas kawasan seluas 34,000 kaki persegi dan menempatkan bilik pameran yang mampu mempamerkan sehingga empat kenderaan dalam satu masa, turut dilengkapi dengan ruang lounge untuk pelanggan dengan kemudahan WiFi. Pusat servisnya pula lengkap dengan 12 petak penyelenggaraan.

“Tahniah buat Ingress Motors Centre atas pembukaan satu lagi bilik pameran Mitsubishi Motors di Petaling Jaya. MMM dan IMC telah menjadi rakan perniagaan sejak tahun 2013 dan dalam tempoh tujuh tahun ini, IMC telah membuka empat daripada 14 bilik pameran MMM di sekitar Lembah Klang. Ini menunjukkan komitmen IMC bagi memperkukuhkan jenama Mitsubishi di Malaysia,” ujar CEO MMM Tomoyuki Shinnishi.

Tambah beliau, “Kami yang sedang bekerjasama untuk memperkenalkan Xpander ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, justeru pembukaan ruang pameran baharu ini sejajar dengan matlamat kami untuk meletakkan pelanggan kami di barisan hadapan dan keutamaan kami. Ia adalah sasaran kami untuk memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang lebih baik di wilayah tengah.”

Dengan pembukaan fasiliti PJ yang baharu, buat setakat ini MMM telah mempunyai 52 bilik pameran (46 daripadanya ialah pusat 3S) dan 52 pusat servis di seluruh Malaysia. Baru-baru ini juga MMM telah mengumumkan pemindahan gudang penyimpanan alat ganti baharu yang terletak di Shah Alam, demi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan selepas jualan.