Honda Accord facelift 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

Kita baru saja menerima Honda Accord generasi ke-11 awal tahun ini. Namun untuk peringkat global, Accord berkenaan sudah pun muncul dalam versi facelift, didedahkan buat pertama kali untuk pasaran Amerika Syarikat dan bakal dihantar ke pelanggan bermula bulan ini. Selain dari rupa yang disegarkan, sedan segmen-D ini turut diberikan tingkat taraf pada berberapa kelengkapan.

Jika anda lihat dengan teliti, muka Accord ini telah diberikan gril rekaan baharu yang nampak lebih lebar bersama tiga jalur krom pada gril bawah. Menurut Honda, rekaan ini bukan sahaja memberikan rupa yang lebih sofistikated, namun ia juga dihasilkan bagi membolehkan radar untuk sistem Honda Sensing beroperasi dengan lebih berkesan.

Lampu hadapan Accord ini yang nampak seakan sama juga sebenarnya telah diolah semula untuk dipadankan dengan rekaan gril baharu, dan ia memberikan suluhan lebih jauh untuk lampu rendah serta lebih lebar untuk lampu tinggi. Lampu kabus yang sebelum ini direka melintang kini tampil lebih bulat dengan perumah sekeliling yang nampak terbenam pada bampar berkenaan.

Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

Untuk model dengan kemasan Sport, elemen krom gelap diberikan pada gril hadapan, bersama rona hitam berkilat untuk cermin sisi, spoiler but belakang dan juga antena sirip yu. Tiga rekaan rim baharu diperkenalkan dalam saiz 17- atau 19-inci, yang akan dipadankan berdasarkan tahap kemasan yang dipilih.

Tiada perubahan besar diberikan pada bahagian kabin Accord 2021 ini. Rekaan asas papan pemuka masih lagi sama seperti sebelumnya tetapi diberikan berberapa peningkatan. Kesemua varian kemasan kini diberikan pemain utama Display Audio dengan skrin lapan-inci menyokong Apple Carplay dan Android Auto, namun hanya varian EX-L dan Touring diberikan sambungan tanpa wayar untuk fungsi tersebut.

Perubahan kecil lain termasuk posisi port USB hadapan yang diubah ke konsol tengah bagi memudahkan akses, dua port USB pada baris kedua untuk kemasan Sport dan ke atas, dan juga pengingat pemakaian tali keledar untuk semua tempat duduk pada semua varian.

Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

Bagi sistem keselamatan pula, pakej bantuan pemanduan Honda Sensing yang dibekalkan adalah versi yang ditingkat taraf di mana model Touring dan Hybrid Touring hadir dengan sistem Kawalan Brek Kelajuan Rendah. Sistem ini akan memberikan amaran kepada pemandu atau memberikan bantuan brek automatik bagi mengelakkan pelanggaran apabila ia mengesan objek solid dalam kelajuan rendah, contohnya ketika memarkir kenderaan.

Kemudian untuk Adaptive Cruise Control pula, ia telah ditala semula bagi memberikan brek yang lebih lancar dan lembut ketika ia mengekori kenderaan di hadapan, manakala Lane Keeping Assist pula mampu untuk mengekalkan kenderaan untuk bergerak di tengah lorong dengan rasa yang lebih semula jadi. Juga, kawalan pada roda stereng dan papan pemuka untuk kedua-dua sistem kini menggunakan ikon standard-industri.

Bagi model 2021 ini juga kemasan EX telah digugurkan dan digantikan dengan kemasan Sport SE. Varian ini bersama varian Sport dibezakan dengan varian lain menerusi pemadanan spoiler belakang, rim 19-inci rekaan tersendiri, lampu kabus LED, dan juga tip ekzos krom. Secara keseluruhan, 10 kemasan untuk Accord 2021 ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat iaitu LX, Sport, Sport SE, EX-L, Sport 2.0T, Touring, Hybrid, Hybrid EX, Hybrid EX-L dan Hybrid Touring.

Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

Tiada perubahan untuk sistem mekanikal Accord yang disegarkan ini. Model asas LX hingga EX-L dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 192 hp dan tork maksima 260 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT. Model Sport 2.0T dan Touring pula menerima enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 252 hp dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik.

Manakala untuk semua varian Hybrid, ia diberikan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) Honda dengan dua motor elektrik. Ia terdiri dari gandingan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson bersama motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp dan 315 Nm. Varian-varian ini juga diberikan serlahan-serlahan biru pada bahagian luar bersama lencana-lencana Hybrid.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required