Perincian bagi model mewah Genesis G70 facelift untuk pasaran Korea Selatan telah pun didedahkan. Pengeluar kereta ini juga telah mengesahkan enjin bagi pasaran berkenaan adalah unit yang sama dengan model sebelum ini.

Varian petrol ditawarkan dengan unit 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder (252 PS/353 Nm) dan 3.3 liter turbo-berkembar V6 (370 PS/510 Nm); model yang dilengkapi dengan pakej Sport pula miliki output masing-masing 255 PS dan 373 PS. Jika mahukan varian turbodiesel, enjin 2.2 liter empat-silinder dengan kuasa 202 PS dan tork 441 Nm ditampilkan. Walau bagaimana pun, tiada khabar enjin petrol baharu 2.5 liiter turbo seperti yang dipadankan pada model Kia Stinger facelift, akan diberikan untuk G70 ini.

Kesemua enjin dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, sama seperti sebelum ini. Walau pun tiada perubahan perkakasan, namun G70 ini telah menerima mod pemanduan Sports+ baharu. Varian V6 dengan pakej Sport turut menerima injap ekzos aktif untuk bunyi yang lebih mengaum, sementara Pacuan Semua-roda Dinamik baharu didatangkan dengan mod drift pacuan-belakang seperti yang diberikan pada Stinger GTS.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, penampilan G70 facelift berubah sepenuhnya, nampak lebih elegan berbanding sebelum ini dengan di hadapannya terdapat gril seperti logo ‘Superman’ dan diapit lampu utama dua tingkat. Pada lampu itu terdapat dua jalur yang bertindak sebagai lampu siang dan juga lampu penunjuk arah. Pada bahagian tepi, garis badannya masih dikekalkan sementara lubang udara menegak pada fender telah dibuang dan diganti dengan sirip udara kecil yang terletak lebih rendah.

Lampu belakang pula mengikut konsep lampu hadapan, dengan juga mempunyai dua jalur manakala pintu butnya mempunyai lengkung ke atas seperti ducktail spoiler. Tempat nombor plat kini berada di bawah, berhampiran diffuser dan dua muncung ekzos di tepi.

Untuk bahagian dalamnya, ia diberikan sistem infotainmen baru dengan skrin sesentuh yang lebih besar bersaiz 10.25-inci dan navigasi over-the-air yang dinaiktaraf. Lain-lain peningkatan termasuklah kluster instrumen yang lebih besar, pengecas telefon pintar tanpa wayar yang lebih berprestasi dan juga cermin hadapan serta untuk tingkap sisi jenis kaca akustik untuk buat kabin lebih senyap.