Ini satu lagi penantian yang bakal berakhir; dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Proton, syarikat itu mengumumkan bahawa model SUV segmen B X50 bakal dilancarkan pada 27 Oktober ini, secara digital pada pukul 10.50 pagi.

Maka dengan itu, teka-teki tentang harga setiap varian model ini juga akan terjawab – ia menjadi satu-satunya perkara utama yang masih belum didedahkan oleh Proton. Selebihnya telah kita ketahui sewaktu acara pra-tonton dan sesi di litar Sepang bersama media sebelum ini.

Proton X50 akan ditawarkan dalam empat varian untuk pasaran tempatan – 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5L TGDi Flagship. Daripada empat varian itu, terdapat dua enjin berbeza yang melengkapi model ini.

Tiga model paling bawah – Standard, Executive dan Premium – menggunakan unit “1.5T” turbo dengan janaan kuasa 150 PS dan 226 Nm; ini merupakan penawaran yang unik untuk pasaran Malaysia, kerana baru pertama kali digunakan.

Paling penting dan menarik tentulah varian Flagship. Walaupun dengan kapasiti yang sama, unit 1.5L yang digunakan berbeza – turbocas tiga-silinder petrol yang dibangunkan oleh Volvo dan Geely.

Enjin ini menjana sebanyak 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Semua varian X50 digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan. Tak ada versi 4WD untuk SUV kompak ini. Kami juga pernah kongsikan pengalaman pandu uji ringkas X50 di litar Sepang.

Dan, jika anda terlepas untuk mengikuti laporan terperinci berkaitan Proton X50 sebelum ini, semua itu boleh di capai di pautan ini. Dah sedia untuk pesaing terbaru SUV segmen B di Malaysia? Kita tunggu 27 Oktober ini untuk maklumat lengkap.

GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020