PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Lain macam penangan ‘hype’ dari Proton X50 ni. Memang setiap kali Proton melancarkan model baharu, ia akan menjadi bualan hangat rakyat Malaysia, namun ada sesetengah model tahap ‘kehangatan’ tersebut menjadi sangat tinggi. Pada saya, suasana bagaimana hangatnya kemunculan X50 ini adalah lebih kurang sama ketika Proton Wira dilancarkan pada tahun 1993, di mana pelancarannya yang dibuat secara langsung di kaca TV ditonton oleh rakyat Malaysia seakan ada perlawanan bola sepak Malaysia menentang Singapura.

Ketika X50 didedahkan pada pihak media pertengahan bulan lalu, saya tidak berpeluang untuk menghadirinya kerana prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 menyebabkan Proton terpaksa mengehadkan jumlah tetamu yang datang.

Jadi untuk preview sekali lagi di Litar Antarabangsa Sepang semalam agak mengujakan saya – bukan setakat boleh tengok, malah kami turut berpeluang untuk menjadi antara orang pertama di dunia yang memandu Proton X50. Walau bagaimanapun, sesi kali ini hanya boleh disifatkan sebagai ‘salam perkenalan’ dan tidak menyeluruh, kerana pemanduan yang dapat kami buat adalah dalam tempoh yang sangat terhad.

Namun seperti juga sesi preview sebelum ini, hanya varian Flagship yang dibawa untuk dipamerkan dan di uji. Buat yang belum mengetahui, berbanding tiga varian lebih rendah (Standard, Executive dan Premium), versi Flagship ini dijana oleh enjin lebih berkuasa dengan sistem suntikan terus, serta diberikan sistem bantuan pemanduan penuh (ADAS).

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Baiklah, kita terus ke bahagian-bahagian penting yang kebanyakkan orang nak tahu, berkenaan Proton X50 ini. Pertama sekali, ada yang mengatakan tempat duduk pada X50 ini adalah ‘terlalu bucket‘ sehingga menyebabkan orang berbadan besar terasa sempit.

Di sini saya nak bagitahu, saya memang berbadan besar dengan berat melebihi 100 kg, dan saya tidak ada masalah untuk duduk di tempat duduk hadapan X50 ini. Tempat duduk ini dihasilkan dengan ergonomik yang lebih kurang sama dengan tempat duduk kereta-kereta premium buatan Eropah terkini. Pada saya sendiri, sokongan bucket yang memeluk badan pada tempat duduk X50 ini masih lagi dihasilkan dengan mengambil kira pelbagai bentuk badan manusia dan tidak memberikan ‘pelukan’ sekuat tempat duduk Recaro Njoy pada kereta saya sendiri.

Kemudian, adakah anda akan merasa gegaran dari enjin dalam kabin kereta kerana ia dijana oleh enjin dengan tiga-silinder? Untuk aspek ini, saya sendiri juga agak skeptikal pada permulaan kerana bukan sahaja enjin tiga-selinder pada model-model segmen rendah seperti Perodua Kancil dan Kelisa yang memberikan getaran jelas, malah ada juga jenama-jenama premium dari Eropah yang diberikan enjin tiga-selinder menyerlahkan karekter sedemikian.

Namun setelah duduk dalam kabin X50 dengan enjin dihidupkan, jelas ia adalah berbeza. Jika tidak diberitahu bahawa X50 ini diberikan enjin tiga-selinder, anda tentu tidak akan tahu. Tiada sebarang getaran dirasakan semasa kelajuan melahu, mula bergerak mahupun ketika mula mahu memecut. Memang senyap! Apa yang membuatkan enjin tiga-selinder ini begitu senyap tidak sama seperti enjin tiga-silinder lain? Penjelasan Volvo dan Geely berkenaan enjin ini boleh anda baca dalam artikel PADA PAUTAN INI.

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Apabila mula bergerak dapat dirasakan pertukaran gear DCT tujuh kelajuan ini sangat lancar sehingga anda tidak merasakan sebarang sentakan, malah tidak sedar pun bila gear ditukar. Peluang kami untuk memandu SUV ini sememangnya agak singkat di mana kami hanya dapat merasakan kuasa dari enjin 1.5L Turbo GDI ini dalam sesi perlumbaan drag, manakala pengendaliannya pada satu litar slalom.

Untuk perlumbaan drag, kami diberi peluang untuk menguji pecutan 0-100 km/j X50 ini menentang saingan utama dalam kelas SUV segmen-B iaitu Honda HR-V, dan juga saingan dari kelas lebih premium iaitu BMW X1 sDrive18i. Atas kertas, sememangnya X50 adalah model paling berkuasa dengan penghasilan kuasa 177 PS/tork maksima 255 Nm, manakala Honda HR-V pula di jana oleh enjin 1.8 liter tanpa turbo yang menjana 140 hp dan tork maksima 172 Nm.

Mengapa BMW X1 yang berharga lebih RM205k ini dipilih untuk menjadi kayu aras kepada sebuah Proton? Untuk pengetahuan anda, X1 sDrive18i ini turut dijana oleh enjin tiga-silinder 1.5L turbo. Namun, ia menghasilkan kuasa yang lebih rendah iaitu 138 hp dan tork maksima 220 Nm.

Dalam sesi perlumbaan drag ini, kami berpeluang untuk mencuba ketiga-tiga kereta. Dan keputusannya secara purata adalah hampir sama di mana X50 akan berada di hadapan, diikuti BMW X1 dan HR-V akan berada paling belakang. Untuk saya sendiri, catatan masa yang dicatatkan menunjukkan BMW X1 tertinggal lebih kurang 1 saat dalam pecutan 0-100 km/j ini berbanding X50, manakala HR-V pula lebih jauh ke belakang tertinggal sekitar 2 saat.

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Kemudian kami beralih ke litar slalom. Seperti yang diberitahu sebelum ini, pasukan ‘ride & handling’ Proton telah memberikan suspensi lebih lembut pada X50 ini kerana Binyue diberikan suspensi yang terlampau keras dan tidak sesuai untuk digunakan pada permukaan jalan raya di Malaysia.

Dalam ujian slalom ini, saya dapat merasakan ia memang lembut. Namun ini tidak bermaksud pengendalian crossover ini rasa seperti ‘sampan’. Ia masih dirasakan sangat solid dengan olengan badan yang masih sangat baik untuk sebuah SUV. Dinamik pengendaliannya juga sangat bagus kerana ia tidak ada masalah untuk ‘mendengar’ arahan pada laluan yang sentiasa berubah arah pada kelajuan sekitar 50 km/j seperti ini.

Malah ketika sesi ‘hot-lap’ di Litar Antarabangsa Sepang bersama pemandu profesional dalam acara berkenaan, saya agak bertuah kerana berpeluang menaiki X50 yang dipandu oleh juara perlumbaan Sepang 1000km (S1K) untuk tahun 2018 dan 2019, Farique Hairuman a.k.a Wak Tempe.

Menurut Farique, dia agak terkejut dengan pengendalian yang dipersembahkan oleh X50 ini ketika di belasah di Sepang. Walaupun dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi, X50 tidak mempunyai kecenderungan untuk understeer, dan bahagian belakang juga cukup stabil ketika meredah selekoh dengan laju.

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Untuk aktiviti fungsi-fungsi lain, kami hanya dibenarkan duduk di dalam X50 ini sebagai penumpang, manakala demonstrasi dibuat oleh pemandu terlatih.

Jadi dengan peluang ini saya cuba menjadi penumpang di kabin belakang. Memang bahagian ini tidak berapa besar seperti sedan kerana sebuah SUV segmen-B ini secara asasnya adalah sebuah hatchback dengan tayar yang lebih besar. Namun ia sebenarnya masih memberikan ruang lutut yang agak baik.

Dan yang paling menarik dan tiada pada Geely Binyue adalah corong pendingin hawa khas untuk kabin belakang. Corong tersebut memberikan semburan udara yang agak kuat sehingga kami menyangka ia diberikan kipas penghembus khas. Namun menurut Proton, mereka hanya mengambil semburan udara dari kipas penghembus hadapan, dan kadar semburan udara adalah 80 peratus untuk hadapan dan 20 peratus di belakang.

Demonstrasi yang dimaksudkan adalah demo-demo untuk sistem-sistem bantuan pemanduan ADAS seperti amaran pelanggaran hadapan bersama brek kecemasan automatik dan sebagainya. Namun antara kesemua sistem berkenaan, saya tertarik dengan dua fungsi yang membolehkan X50 diklasifikasikan sebagai kenderaan dengan sistem pemanduan separa sendiri (semi-autonomous) tahap 2 iaitu Auto Park Assist (APA) dan Intelligent Cruise Control (ICC).

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Apa beza sistem APA ini berbanding sistem-sistem ‘parkir sendiri’ yang ada pada jenama lain? Pada saya, sistem ini adalah jauh lebih mudah untuk digunakan dan ia juga dapat melakukan semua proses dengan lebih cepat. Ia mudah untuk mengesan tempat parkir yang pemandu mahukan, arahan yang diberi juga cukup jelas menerusi skrin infotainmen utama, dan tukaran gear, operasi pedal pendikit dan pedal brek, serta puturan stereng semuanya dilakukan oleh komputer.

Cuma sepanjang sistem ini bekerja, pemandu perlu menekan butang pengaktifan yang berada di belakang tombol gear, dan proses akan berhenti bila-bila jika butang itu tidak ditekan. Menurut Proton, sistem berkenaan boleh sahaja dihasilkan tanpa perlu menekan butang berkenaan, namun butang itu direka bagi memastikan pemandu masih lagi berhati-hati dan mengambil tahu keadaan sekeliling ketika ia sedang beroperasi.

Untuk sistem ICC pula, ia bukanlah seperti sistem cruise control adaptif biasa. Ini kerana selain mengawal kelajuan dan jarak serta menghentikan kereta sekiranya kereta hadapan berhenti, sistem ICC ini turut mengawal stereng. Segala penderia dan radar pada X50 ini digunakan untuk mengesan garisan-garisan jalan untuk memastikan kereta berada ditengah-tengah lorong, malah turut boleh membelok sendiri dan memberikan bantuan brek sekiranya perlu pada selekoh kecil seperti selekoh-selekoh pada lebuhraya.

Namun jangan anda anggap sistem ini direka seperti sistem Autopilot pada Tesla. Ia dihasilkan sebagai sistem untuk membantu pemandu dan bukannya kereta yang boleh berjalan sendiri sepenuhnya. Oleh itu, pemandu masih perlu memegang roda stereng ketika ICC ini berfungsi. Jika ia mengesan roda stereng tidak dipegang dalam tempoh yang lama, amaran akan diberikan menerusi panel instrumen pemandu.

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Boleh ke sistem ini berfungsi dengan keaadaan jalan raya di Malaysia? Menurut Proton, ini satu lagi tugas mereka untuk menyediakan X50 bagi pasaran tempatan – penderia-penderia dan radar pada model ini telah ditala semula bagi membolehkan ia membaca garisan-garisan jalan di Malaysia yang lebih teruk keadaannya berbanding di China.

Satu lagi yang menarik pada sistem ICC ini adalah bagaimana breknya berfungsi. Sistem brek automatik pada ICC ini beroperasi lebih seperti manusia di mana ia tidak memberikan brek yang mengejut seperti sistem-sistem cruise control adaptif jenama lain.

Rasanya tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa sistem ICC pada Proton X50 ini memberikan fungsi-fungsi yang sama dan beroperasi sebaik sistem Pilot Assist pada Volvo S60 yang telah saya pandu sebelum ini!

Jelas, teknologi yang diberikan oleh Proton terhadap X50 ini bukan calang-calang kerana ada teknologi yang dilengkapkan adalah setaraf dengan model-model Eropah pada harga RM200k hingga RM300k. Jadi agak-agak, berapa harga untuk Proton X50 dalam varian tertinggi Flagship ini?

PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi dan harganya masih belum diumumkan, rupa dan spesifikasi Proton X50 sudah pun didedahkan, serta tempahannya juga telah pun dibuka. SUV segmen-B ini ditawarkan dalam empat pilihan varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Dibangunkan berdasarkan Geely Binyue/Coolray, antara ciri yang ditampilkan termasuklah sistem infotainmen GKUI 19 terkini, remote engine start dan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

Kesemua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

Untuk lebih perincian Proton X50 ini dan juga pecahan spesifikasi mengikut varian, anda boleh baca artikel-artikel yang telah kami tulis sebelum ini seperti di bawah:

  • Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2
  • Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship
  • Carta warna Proton X50 didedahkan – 6 warna, merah ‘Passion Red’ hanya untuk Premium dan Flagship
  • Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI
  • Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam
  • GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

    Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

    Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

    10% discount when you renew your car insurance

    Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

    Car Insurance

    Mohd Farid Awaludin

    Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

     
     

    Add a comment

    required

    required