Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

Selepas setahun pendedahan trak pikap Isuzu D-Max 2020, kini tiba masa kembar SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform ladder frame yang sama, Isuzu MU-X pula membuat kemunculan sulungnya. Seperti biasa, Thailand terlebih dahulu menjadi pasaran pertama di dunia yang menerimanya.

SUV lasak ini ditawarkan dalam enam varian di pasaran berkenaan, dijual pada harga bermula 1.109 juta baht (RM147,884) sehingga 1.579 juta baht (RM210,559). Berbanding model generasi sebelumnya, MU-X generasi baharu dihasilkan dengan dimensi 4,850 mm panjang (+25 mm), 1,870 mm lebar (+10 mm), 1,875 mm tinggi (+35 mm) dan jarak roda sejauh 2,855 mm (+10 mm).

Berbanding D-Max, MU-X diberikan muka dengan lampu hadapan yang lebih tirus bersama lampu nyalaan siang bina-dalam, bersama gril hadapan serta bampar dengan rekaan lebih unik.

Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

Juga tidak seperti model sebelumnya yang masih nampak banyak persamaan dengan D-Max, MU-X generasi baharu ini lebih kelihatan seperti sebuah SUV sebenar di mana cermin tingkap sisi paling belakang direka seakan bersambung dengan cermin tingkap pintu belakang tanpa dipisahkan dengan tiang-C yang besar.

Seperti pada muka, bahagian belakang MU-X ini juga menerima lampu yang direka tirus. Tulisan “ISUZU” bersaiz besar diletakkan antara dua lampu berkenaan, manakala posisi plat pendaftaran dialihkan lebih ke bawah, tetapi masih pada bahagian pintu tailgate.

Namun pada bahagian dalaman, persamaan antara D-Max dan MU-X masih nampak seakan seiras. Asas rekaan papan pemuka MU-X masih lagi sama, apa yang ketara adalah penggunaan brek parkir elektronik (dengan fungsi auto-hold) diberikan pada SUV ini berbanding brek tangan manual pada trak pikap D-Max.

Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

Ini membolehkan perehat tangan antara tempat duduk baris pertama dialihkan lebih kehadapan, dan suis putar untuk sistem pacuan empat roda diletakkan pada konsol tengah, bersama suis brek parkir dan juga tombol gear dengan rekaan lebih tersendiri.

Penumpang di baris kedua dan ketiga menerima udara penghawa dingin dengan liang yang diletakkan pada bumbung. Untuk memanipulasi ruang kabin belakang, tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 60:40, manakala tempat duduk baris ketiga pula boleh dilipat secara 50:50.

Dari segi kelengkapan, MU-X ini ditawarkan dengan pilihan rim dari saiz 17- hingga 20-inci, lampu hadapan LED projektor, pintu tailgate belakang berkuasa elektrik, skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh- atau sembilan-inci, paparan instrumen dengan skrin pelbagai info TFT 4.2-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, penghawa dingin dua-zon bersama penuras udara PM2.5 serta lampu suasana.

Untuk keselamatan, MU-X dilengkapi dengan enam-beg udara, ESC, Traction Control, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, bantuan mula mendaki dan kawalan menurun curam. Model varian lebih tinggi turut diberikan sistem bantuan pemanduan terdiri dari pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, pengehad kelajuan, lampu tinggi automatik, bantuan parkir dan juga sistem pengelak salah tekan pedal.

Untuk sistem mekanikal, ia masih lagi sama dengan D-Max dengan ditawarkan dengan dua jenis enjin turbodiesel. Pertama adalah enjin RZ4E-TC 1.9 liter empat silinder berkuasa 150 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 hingga 2,600 rpm. Pilihan kedua adalah enjin 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder berkuasa 190 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 hingga 2,600 rpm.

Model dengan enjin lebih kecil diberikan pada empat varian awalan iaitu 1.9 Active, 1.9 Luxury, 1.9 Elegant dan 1.9 Ultimate Manakala dua varian paling tinggi iaitu 3.0 Ultimate dan 3.0 Ultimate 4WD menerima enjin paling besar.

Kesemua model menerima kotak gear enam-kelajuan automatik memacu hanya roda belakang, kecuali model 1.9 Luxury yang diberikan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan, manakala 3.0 Ultimate 4WD adalah satu-satunya model yang dilengkapi sistem pacuan empat roda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required