Kereta sport convertible BMW Z4 G29 untuk pasaran Malaysia kini telah pun dikemaskini dengan pakej Driving Assistant, secara tidak langsung memberikan ia fungsi brek kecemasan automatik (AEB). Model yang masuk ke pasaran tempatan pada Julai tahun lalu ini walau bagaimanapun masih dijual dalam varian tunggal sDrive 30i M Sport.
Dengan tingkat taraf berkenaan, ia kini berharga RM484,800 berbanding harga asal RM479,800. Namun dengan pengecualian cukai jualan PENJANA sebanyak 50% untuk kereta CBU, roadster ini boleh dibeli dengan harga atas jalan tanpa insuran RM469,510 sehingga 31 Disember 2020.
Selain dari AEB, pakej Driving Assistant tersebut turut memberikan fungsi bantuan pemanduan lain seperti amaran keluar laluan dan juga pemantau titik buta. Sistem yang diberikan ini adalah sama dengan sistem yang pertama kali diberikan pada 320i dan 330i, serta selepas itu secara beransur-ansur dipadankan pada hampir kesemua model baharu BMW di Malaysia.
Perincian lain masih lagi sama dimana Z4 sDrive 30i M Sport ini hadir dengan lampu hadapan LED, pakej M Sport, rim aloi dua ton 18-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk larasan kuasa serta fungsi memori untuk bahagian pemandu serta sistem pendingin hawa dua zon.
Ia juga menerima sistem bantuan parkir dengan bantuan mengundur, lampu tinggi automatik, serta sistem BMW Live Cockpit Professional yang terdiri dari dua skrin paparan bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan infotainmen, pengecas telefon pintar tanpa wayar, kamera undur, serta sistem bunyi Harman Kardon 405-watt bersama 12-pembesar suara.
Secara dasarnya, Z4 adalah kereta dengan asas sama seperti Toyota GR Supra A90. Model sDrive 30i M Sport ini dijana oleh enjin B48 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 258 PS dan tork maksima 400 Nm. Kita tidak menerima model Z4 M40i yang dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris seperti varian tunggal GR Supra A90 pasaran Malaysia.
Kuasa dari enjin berkenaan dihantar sepenuhnya ke gandar belakang menerusi kotak gear ZF lapan-kelajuan automatik. Ini membolehkan Z4 sDrive 30i memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dengan penggunaan bahan api kitaran gabungan 6.5 liter setiap 100 km.
Dua lagi model BMW yang masih belum secara rasmi menerima pakej Driving Assistance iaitu X2 dan X3 (bukan M), juga kini sudah pun dilengkapkan dengan sistem tersebut, menurut sumber dari BMW Group Malaysia. Walau bagaimanapun syarikat berkenaan masih lagi belum mengumumkan spesifikasi dan juga harga rasmi untuk model-model tersebut.
GALERI: BMW Z4 G29 sDrive30i pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.