Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

Kami tahu, mesti ada yang mempersoalkan kenapa buat perbandingan antara dua model yang berlainan segmen? Pada kami, tentu ramai yang masih dalam dilema untuk membuat pilihan antara Proton X50 dengan Honda City generasi baru ini, khususnya untuk mereka yang tidak memerlukan ruang yang besar untuk keluarga, atau memilih kereta kedua, dan dua model ini dijadikan senarai akhir kerana julat harganya yang hampir sama.

Walau bagaimanapun, sebelum ini kami telah pun menaikkan satu artikel berkenaan perbandingan kos servis antara Proton X50 dan pesaing terdekat dalam segmen sama iaitu Honda HR-V, yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Buat masa sekarang, Proton X50 boleh dibeli pada harga bermula RM79,200 untuk model asas Standard hingga RM103,300 untuk model tertinggi Flagship. Manakala untuk Honda City versi petrol sepenuhnya dijual pada harga bermula RM74,191 hingga RM86,561. Kami sebenarnya mahu masukkan sekali perbandingan bersama satu lagi sedan segmen-B iaitu Nissan Almera Turbo, namun disebabkan ia masih belum dilancarkan secara rasmi, jadual servis untuk model tersebut juga masih belum disediakan.

Sebelum bermula, ingin kami jelaskan bahawa perbandingan kos servis selama lima tahun atau 100,000 km ini dibuat berdasarkan jadual servis rasmi kedua-dua pengeluar yang boleh anda lihat pada laman web rasmi masing-masing. Namun ada juga berberapa perkara lebih dari tempoh berkenaan turut akan kami sentuh.

Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

Satu lagi kami nak anda tahu, kedua-dua model ini digerakkan dengan enjin yang berlainan teknologi; Proton X50 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, manakala Honda City petrol diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC tanpa turbo.

Setelah dicongak secara keseluruhan, kos servis untuk tempoh masa lima-tahun/100,000 km bagi Honda City adalah RM657.24 lebih rendah dari Proton X50. Jika anda bandingkan secara tahunan juga kos untuk menyelenggara sedan Honda berkenaan adalah lebih rendah dari SUV segmen-B baharu Proton, tetapi ia perbezaannya mengecil pada tahun kelima.

Proton X50 memerlukan minyak sintetik-sepenuhnya untuk setiap kali servis dengan sela jarak 10,000 km/setahun. Honda City juga perlu diservis dengan sela jarak 10,000 km yang sama, namun Honda menyatakan bahawa ia masih boleh menggunakan minyak semi-sintetik dengan harga RM114.69. Jika anda mahukan minyak enjin sintetik sepenuhnya, kos untuk minyak enjin tersebut naik kepada RM130.80, lengkap dengan gasket penutup palam buang minyak.

Jadi sekiranya sepanjang lima tahun Honda City anda menggunakan minyak sintetik sepenuhnya, kos keseluruhan servis meningkat kepada RM3,830.81. Namun ia masih lagi rendah berbanding kos keseluruhan tempoh yang sama untuk Proton X50 yang menelan belanja sebanyak RM4,326.95.

Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

Klik untuk besarkan

Jika anda perhatikan pada jadual servis berkenaan, penapis minyak enjin Honda City hanya perlu ditukar setiap 20,000 km, bermakna penapis yang berharga RM34.10 berkenaan tidak perlu ditukar sekali pada setiap sesi penukaran minyak enjin. Manakala pada X50, ia masih bersifat konvensional di mana penapis tersebut ditukar sekali dengan minyak enjin pada setiap 10,000 km.

Penapis udara Proton X50 juga perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 20,000 km sekali, berbanding penapis udara pada Honda City yang hanya perlu ditukar setiap 30,000 km sekali.

Begitu juga untuk penapis udara sistem penghawa dingin untuk kabin di mana Proton X50 perlu ditukar setiap 20,000 km manakala Honda City pula 30,000 km; walaupun penuras dengan standard N95 pada Proton hanya berharga RM69 seunit berbanding RM103 pada Honda, kos keseluruhan lima-tahun untuk City masih lebih rendah kerana kekerapan menukar yang lebih rendah.

Beralih pada penjagaan kotak gear, transmisi klac berkembar automotik DCT tujuh-kelajuan pada Proton X50 hanya perlu ditukar setiap 90,000 km dengan kos RM237.36. Manakala minyak CVTF untuk kotak gear CVT automatik pada City pula perlu ditukar setiap 40,000 km dengan kos RM129.24 sekali; menjadikan kos keseluruhan RM258.48 untuk dua kali penukaran sepanjang tempoh 100,000 km.

Manakala untuk palam pencucuh, Proton X50 hanya menggunakan palam pencucuh biasa dengan harga RM96.84 satu set yang perlu ditukar setiap 40,000 km. Honda City pula memerlukan palam pencucuh iridium yang berharga RM554.20, tetapi ia boleh bertahan untuk setiap 100,000 km.

Lain-lain perkara termasuk penukaran penapis bahan api, di mana Proton X50 perlu ditukar setiap 20,000 km, manakala Honda City pula komponen ini mampu bertahan selama 140,000 km. Honda juga menyarankan bahawa cecair penyejuk pada radiator hanya perlu ditukar dalam tempoh masan 10 tahun/20,000 km, manakala Proton X50 perlu menukarnya pada setiap 60,000 km.

Seperti yang diketahui, aci sesondol pada enjin L15 Honda City digerakkan dengan menggunakan sistem timing chain, manakala X50 pula menggunakan sistem timing belt. Tali sawat pada X50 berkenaan perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar drive belt yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

Buat masa sekarang, Proton menawarkan kos upah percuma sebanyak lima kali servis untuk 30,000 pelanggan X50 pertama. Honda juga menawarkan manfaat yang sama, namun ia diberikan kepada semua pelanggan yang membeli City tanpa sebarang syarat. Walau bagaimanapun, kedua-dua jenama ini menetapkan kos upah percuma ini diberikan pada servis-servis tertentu, terutamanya untuk servis dengan banyak perkara yang perlu dibuat dan ini sememangnya dapat mengurangkan kos pemilikan kedua-dua kereta ini.

Kami ingin tegaskan di sini, ini hanyalah kira-kira yang dibuat berdasarkan jadual servis berkala yang dibuat oleh pengeluar sahaja, tidak termasuk komponen-komponen haus dan lusuh seperti pad brek, tayar dan sebagainya kerana jangka hayat komponen-komponen tersebut adalah berdasarkan gaya penggunaan sesebuah kereta itu.

Berkenaan aspek ini, ia satu lagi kelebihan bagi Honda City kerana ia adalah sedan dengan tayar yang lebih kecil dan murah dengan rim dari 15- hingga 16-inci bergantung varian, berbanding Proton X50 yang dibekalkan dengan rim 17- hingga 18-inci bergantung pada varian.

Begitu juga brek, di mana Proton X50 bukan sahaja diberikan angkup serta pad brek yang lebih besar dan mahal, malah ia diberikan sistem brek cakera untuk semua roda, berbanding Honda City dengan angkup dan pad brek lebih kecil serta hanya menggunakan sistem dram yang lebih tahan lama dan lebih murah di belakang.

Jadi kesimpulannya, secara dasarnya kos untuk ‘menyara’ Honda City adalah lebih murah berbanding Proton X50, jika ia dilihat atas kertas. Namun untuk memilih sebuah kereta baharu, selain harga dan juga kos servis ada lagi lain-lain aspek yang perlu anda ambil kira. Apa lagi kelebihan dan kekurangan antara sebuah sedan dan SUV, ketahuinya pada satu lagi artikel yang telah kami tulis berkenaan perkara tersebut pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required