Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

Segala debaran sudah pun berakhir – harga untuk model yang paling ditunggu-tunggu, Proton X50 sudah pun diumumkan ketika pelancarannya tempoh hari, dan segala perincian setiap varian juga sudah pun diketahui. Jelas, X50 kini merupakan halangan untuk Honda HR-V untuk kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia, namun adakah kos untuk ‘membela’ kedua-dua model ini juga hampir sama?

Jadi kali ini, kami meneliti kos selenggara mengikut jadual servis yang telah ditetapkan oleh pengeluar kedua-dua SUV ini untuk lima tahun atau 100,000 km pertama. Dan disebabkan julat harga X50 untuk varian tertinggi Flagship turut bertindih dengan Proton X70 varian Standard dan Executive yang mungkin menyebabkan sesetengah pembeli mungkin beralih ke SUV segmen-C tersebut atas faktor saiz, kami turut meletakkan model berkenaan dalam perbandingan ini.

Berdasarkan dari angka keseluruhan, kos untuk menyelenggara X50 (kos untuk model dengan enjin 1.5T dan 1.5 T-GDI adalah sama) adalah hanya berberapa ratus ringgit lebih murah dalam tempoh lima tahun/100,000 km pertama berbanding X70 yang dijana oleh enjin 1.8L T-GDI.

Walau bagaimanapun, antara tiga model ini, HR-V 1.8 liter i-VTEC tanpa turbo adalah model yang paling murah untuk diselenggara dalam tempoh berkenaan dengan kos keseluruhan RM3,874.45 berbanding RM4,326.95 untuk X50. Sekali lagi diingatkan, jumlah perbezaan RM452.50 tersebut adalah untuk tempoh lima tahun. Untuk lebih spesifik, anda boleh rujuk jadual di bawah.

Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

Klik untuk besarkan

Sekarang kita lihat dengan lebih terperinci. Apa yang jelas perbezaan harga ini datangnya dari harga minyak enjin yang ketara dari kedua-dua pengeluar di mana Proton X50 memerlukan 5 liter minyak enjin sintetik sepenuhnya yang berharga RM162.50 untuk setiap servis, dan X70 pula menelan kos sebanyak RM190.

Manakala untuk HR-V harga RM88.49 yang dipaparkan dalam judual tersebut adalah untuk minyak semi-sintetik 4 liter yang digunakan untuk sela masa setiap 10,000 km. Sekiranya anda mahu menggunakan minyak sintetik sepenuhnya, ia dijual pada harga RM145 untuk 4 liter. Jadi jika sepanjang lima tahun/100,000 km HR-V anda menggunakan minyak enjin jenis sintetik sepenuhnya, kos tersebut akan meningkat kepada RM4,598.79, atau lebih mahal dari kos X50 menggunakan minyak dari jenis sama.

Untuk kedua-dua SUV Proton berkenaan, minyak enjinnya perlu ditukar pada servis pertama (1,000 km), tetapi ini diberikan secara percuma oleh Proton. Ia kemudiannya diteruskan pada 10,000km, dan selepas itu setiap 10,000 km berikutnya. HR-V turut perlu diservis dalam sela masa yang sama, namun untuk 1,000 km minyak enjinnya tidak perlu ditukar.

Beralih kepada minyak untuk transmisi, kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan pada Proton X50 dan X70 memerlukan ianya ditukar pada 90,000 km dengan harga RM237.36. Manakala untuk HR-V yang menggunakan kotak gear CVT automatik, minyak CVTF tersebut perlu ditukar setiap 40,000 km dengan harga RM122.17 sekali, menjadikan kosnya selama lima tahun adalah lebih kurang sama dengan dua model Proton tadi.

Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

Klik untuk besarkan

Untuk penuras udara enjin pula, pada model-model Proton komponen ini perlu ditukar kali pertama pada 10,000 km, dikuti setiap 20,000 km selepas itu menyebabkan kosnya lebih tinggi kerana pada Honda HR-V, ia perlu ditukar setiap 30,000 km.

Manakala penuras udara kabin pula, ketiga-tiga model ini perlu menukar komponen tersebut sebanyak lima kali dalam tempoh lima tahun. Namun harga seunit penuras udara HR-V adalah lebih mahal dengan harga RM 103, berbanding penuras jenis N95 pada Proton X50 dan X70, masing-masing dijual pada harga RM69 dan RM64.17.

Penapis bahan api juga perlu ditukar untuk ketiga-tiga SUV ini dalam tempoh lima tahun. Komponen berkenaan pada Proton X50 perlu ditukar setiap 20,000 km, dengan harga RM57.07 seunit atau RM285.35 sepanjang tempoh lima tahun. Kos tersebut lebih murah pada X70 dengan hanya RM140.85. Untuk HR-V pula, ia hanya perlu ditukar pada 80,000 km, tetapi menelan kos RM243.24 seunit.

Dengan mempunyai hanya tiga-silinder, kos untuk menukar palam pencucuh pada X50 juga adalah lebih murah berbanding dua model lain. Set yang terdiri dari tiga buah palam pencucuh berkenaan dijual pada harga RM96.84, dan perlu ditukar pada setiap 40,000 km atau keseluruhan RM193.68 sepanjang lima tahun.

Satu set palam pencucuh X70 pula dijual pada harga RM112.32 dan ia perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 20,000 km. Manakala untuk HR-V, palam pencucuh pada enjin L18 i-VTEC tersebut hanya perlu ditukar setiap 100,000 km, namun satu set palam pencucuh jenis iridium tersebut dijual pada harga RM438.43.

Cecair penyejuk untuk radiator pada Proton X50 dan X70 perlu ditukar pada 60,000 km dengan kos sekitar RM135, manakala untuk Honda HR-V ia lebih tahan lama dengan hanya perlu ditukar setiap 200,000 dengan kos RM111.54. Untuk bendalir brek pula, kos untuk model-model Proton lebih tinggi kerana perlu ditukar setiap 40,000 km, berbanding 60,000 km pada HR-V.

Untuk Proton X70 dan Honda HR-V, kedua-dua model ini menggunakan sistem timing chain untuk menggerakkan aci sesondol, manakala X50 menggunaka sistem timing belt. Tali sawat pada X50 berkenaan perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar drive belt yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

Jadi kesimpulannya, kos untuk servis berkala pada Honda HR-V adalah paling murah sepanjang lima tahun/100,000 pemilikan antara tiga buah SUV ini, itu pun SEKIRANYA anda menggunakan minyak enjin jenis semi-sintetik. Jika model dari Honda ini menggunakan minyak enjin jenis sintetik-penuh seperti model-model Proton, kosnya akan meningkat RM271.84 lebih mahal dari Proton X50.

Kami ingin tegaskan di sini, ini hanyalah kira-kira yang dibuat berdasarkan jadual servis berkala yang dibuat oleh pengeluar sahaja, tidak termasuk komponen-komponen haus dan lusuh seperti pad brek, tayar dan sebagainya kerana jangka hayat komponen-komponen tersebut adalah berdasarkan gaya penggunaan sesebuah kereta itu.

Namun jika bercerita pasal tayar, kos untuk SUV segmen-B seperti Proton X50 dan Honda HR-V secara umumnya adalah lebih rendah kerana dibekalkan dengan rim bersaiz 17- dan 18-inci bergantung pada varian. Model segmen-C Proton X70 pula, model varian tertinggi Premium menerima rim bersaiz 19-inci, manakala varian lebih rendah lain masih diberikan rim 17- dan 18-inci.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required