Model Honda CB1000R yang berada dalam pasaran sekarang diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2018, dan kini ia telah diberikan pembaharuan bagi model tahun 2021. Hanya beberapa bahagian yang diubah, untuk menjadikannya lebih segar dan selesa untuk ditunggang.

Paling utama adalah penampilan, di mana beberapa panel baru digunakan, bersama subframe aluminium baru serta lampu utama LED yang mempunyai lingkaran bulat pada bahagian luar dan dua jalur melintang di tengah. Rekaan rim juga adalah baru.

Enjin pada model naked ini masih lagi sama iaitu unit empat silinder DOHC 998 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, tetapi sistem suntikan bahan api PGM-FI padanya telah ditala semula untuk menghasilkan kuasa lebih lancar dan menepati tahap Euro 5. Kuasanya adalah 144 hp pada 10,500 rpm dan 104 Nm tork pada 8,250 rpm.

Kemudiannya, CB1000R 2021 juga diberikan secara standard dengan skrin TFT digital lima inci berwarna penuh, yang selain memaparkan informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar dengan sistem Honda Smartphone Voice Control (HSVC). Soket pengecas USB disediakan di bawah tempat duduk.

Pada bahagian elektronik, motosikal ini datang dengan pilihan empat mod tunggangan iaitu Rain, Standard, Sport dan User. Dalam setiap mod ini, parameter kuasa enjin, engine braking dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) akan dilaras pada tahap yang bersesuaian (masing-masing ada tiga tahap) sementara dalam mod User pengguna boleh melaras semuanya pada mana-mana tahap yang dimahukan. HSTC masih boleh ditutup sepenuhnya.

Suspensi CB1000R menggunakan unit daripada Showa, yang terdiri daripada fork Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) yang boleh dilaras di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban serta lantunan di belakang. Brek menggunakan cakera berkembar 310 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera 256 mm serta angkup dua piston di belakang. Ia turut dilengkapi dengan sistem ABS two-channel.

Kelengkapan lain CB1000R 2021 adalah tangki bahan api 16.2 liter, berat 212 kg, tinggi tempat duduk 830 mm, rim 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang, Emergency Stop Signal (ESS) serta penunjuk arah boleh tutup sendiri.

Selain daripada CB1000R biasa yang ditawarkan dalam tiga warna, Honda turut memperkenalkan edisi istimewa yang dipanggil sebagai Black Edition. Model ini datang dengan hampir semua bahagian berwarna hitam termasuklah ekzos dan rangka, serta quickshifter.

GALERI: Honda CB1000R 2021

GALERI: Honda CB1000R Black Edition 2021