Honda PCX125 2021 diperkenal di Eropah – panel badan semua baru, ciri-ciri lain turut dipertingkat

Honda PCX125 2021 diperkenal di Eropah – panel badan semua baru, ciri-ciri lain turut dipertingkat

Satu lagi model baru tahun 2021 yang diperkenalkan oleh Honda di Eropah adalah PCX125. Walaupun menggunakan enjin yang lebih kecil, mungkin ada peningkatan pada model ini akan digunakan nanti pada PCX150 yang dipasarkan di negara ASEAN termasuklah Malaysia.

Sekiranya dibandingkan dengan PCX dalam pasaran sekarang yang kali terakhir diperbaharui pada tahun 2018, PCX125 2021 ini menggunakan semua panel badan baru termasuklah lampu LED hadapan dan belakang (hampir seperti PCX Hybrid tetapi pencahayaannya berbeza) serta pemegang untuk penumpang belakang. Penghadang angin adalah lebih besar sementara tempat duduk pula dibentukkan untuk menjadi lebih selesa. Tingginya cuma 764 mm.

Ruang simpanan di bawah tempat duduk adalah 2.4 liter lebih besar, dengan kapasiti penuh 30.4 liter, dan ia turut dilengkapi dengan soket pengecas USB. Bagi kunci pintar yang digunakan untuk model ini, selain mengawal butang pemula enjin dan ruang simpanan bawah tempat duduk, ia juga boleh mengawal kunci untuk kotak barangan belakang yang dijual berasingan. Sekiranya pemilik beredar dan kotak itu masih belum dikunci, ia akan terkunci sendiri.

Di bahagian kokpit, panel instrumen LCD menggunakan paparan baru dan skuter ini juga didatangkan standard dengan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta idling stop yang menggunakan starter jenis ACG.

Bagi model PCX125 pasaran Eropah ini, enjin satu silinder Smart Power Plus (eSP+) SOHC padanya telah dipertingkat dengan gerek, lejang serta nisbah mampatan yang berbeza, seterusnya menghasilkan kuasa 12.3 hp pada 8,750 rpm dan 11.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Beberapa bahagian sokongan lain turut diubah termasuklah ekzos untuk memastikan ia mematuhi tahap Euro 5.

Kerangka model ini juga diubah untuk menjadikannya lebih tegap, dan sekarang mempunyai berat 130 kg. Rim bersaiz sama antara depan dan belakang pada model sebelum ini diubah dengan kini menggunakan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang (tayar 110/70 dan 130/70). Suspensi hadapan masih lagi sama tetapi dua penyerap di belakang mempunyai tahap gerak yang lebih panjang iaitu 95 mm. Hanya brek hadapan yang menggunakan sistem cakera dan ia dilengkapi dengan ABS one-channel.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required