BMW 4 Series G22, yang pertama kali diperkenalkan untuk pasaran global pada bulan Jun lalu, kini sudah dilancarkan di Thailand. Coupe terbaru ini akan ditawarkan hanya dalam satu varian, iaitu 430i M Sport, yang dijual pada harga 3.969 juta baht (RM542,313).
430i berkenaan menggunakan enjin B48 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 258 PS (255 hp) dari 5,000 rpm hingga 6,500 rpm dan 400 Nm tork dari 1,550 rpm hingga 4,400 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan. Coupe ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j.
Pakej luaran M Sport ditawarkan sebagai standard, merangkumi bampar depan yang lebih sporty dan aerodinamik. Di belakang, dua muncung ekzos disepadukan pada bamparnya, dengan elemen ala diffuser, yang secara umumnya meminjam pendekatan rekaan yang dilihat di depan.
Pakej berkenaan turut disertakan dengan suspensi dan brek M Sport, sementara kelengkapan lain termasuk rim 19-inci aloi M jejari berkembar, lampu utama LED adaptif, bumbung kuasa elektrik, tingkat kemasan berkilat BMW Individual Shadow Line dan lampu kabus LED.
Di dalam, 430i datang dengan stereng balutan kulit M Sport, papan pemuka kulit Sensated dengan kemasan Aluminium Tetragon, pelapik bumbung antracite black serta kerusi kemasan kulit Vernesca. Selain itu, kereta ini juga ada kawalan pendingin hawa dua-zon, kerusi depan laras elektrik, lampu suasana, BMW ConnectedDrive, pengecas telefon tanpa wayar, head-up display dan sistem BMW Live Cockpit.
Kelengkapan keselamatan standard dan bantuan pemandu termasuk di dalam pakej Driving Assistant ialah amaran menukar lorong, tinjauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek kecemasan autonomous, penghindar perlanggaran belakang dan penegsanan papan tanda trafik. Ciri lain termasuk juga kawalan melayar adaptif, bantuan parkir, enam beg udara serta sistem pasif yang lain.
Menurut Headlightmag, 430i akan ditawarkan dalam empat warna; Black Sapphire, Dravit Grey, dan Mineral White akan hadir dengan kulit merah Tacora, sementara Arctic Race Blue dengan kulit warna Cognac.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.