Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menerima sejumlah 39 unit trak pikap Toyota Hilux 2.8 Black Edition yang bakal digunakan oleh unit K9 dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Selain itu, PDRM turut menerima 24 unit motosikal BMW R 1250 GS yang bakal digunakan oleh Unit Tindakan Khas (UTK). Kenderaan-kenderaan tersebut adalah bagi tujuan penambahbaikan dan penugasan kedua-dua unit berkenaan.

Kesemua kenderaan berkenaan telah pun tiba di depoh penyimpanan kenderaan PDRM baru-baru ini. Di mana penyerahan kenderaan berkenaan telah pun disaksikan oleh YDH CP Datuk Seri Mazlan Lazim, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) IPP PDRM Bukit Aman, diiringi YDH SAC Adnan Ahmad, KPP Cawangan Pengangkutan JLog.

Toyota Hilux 2.8 Black Edition itu dijanakan oleh enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel, dengan hamburan kuasa 177 PS dan tork 450 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Kenderaan untuk kegunaan PDRM itu telah pun diberikan modifikasi termasuklah bull bar hadapan dengan lampu LED, snorkel, winch, palang pencahayaan yang dipasang di bumbung dan juga pelekat rasmi PDRM serta jabatan.

Sementara R 1250 GS juga diberikan beberapa ciri pelindungan untuk lampu utama, sementara badannya pula dilengkapi crash bar dan saddle bag. Motosikal BMW berkuasa tinggi ini menampilkan enjin 1,254 cc boxer twin dengan kuasa 136 PS dan tork 143 Nm, dipadankan bersama kotak gear enam-kelajuan.