Tahun ini baru masuk tahun kedua Cyan Racing berlumba di bawah jenama divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co dalam World Touring Car Cup (WTCR), setelah Polestar dipisahkan dari Volvo pada tahun 2017. Namun kejayaan yang ditempa oleh pasukan ini dengan kereta baharu mereka nampaknya diluar jangkaan – dinobatkan sebagai juara dunia kategori pasukan tahun lalu, dan menyapu bersih gelaran dunia untuk pemandu dan pasukan tahun ini.

Namun tahukah anda kereta lumba Lynk & Co 03 TCR ini masih banyak berkongsi komponen dengan model jalan raya sedan 03 yang kini dijual di pasaran China? Selain dari kedua-duanya masih menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40) serta komponen-komponen badan dan juga lampu-lampu luaran, kereta lumba ini juga sebenarnya masih menggunakan enjin yang sama dengan model yang dijual di bilik pameran Lynk & Co.

Perkara ini telah disebutkan oleh Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski ketika kami berpeluang menemuramahnya di Sepang ketika berlangsung perlumbaan WTCR pusingan terakhir tahun lalu. Menurut Murdzevski, enjin Drive-E 2.0L pada kereta-kereta lumba pasukannya ini masih lagi enjin dengan komponen dalaman yang sama dengan model produksi jalan raya, hanya perubahan pada sistem turbo dibuat bagi menghasilkan kuasa 350 hp/450 Nm.

Untuk model produksi jalan raya, model varian paling berkuasa untuk sedan ini adalah dari versi 03+, dijana enjin Drive-E 2.0L yang ditala bagi menghasilkan 254 hp/350 Nm, iaitu talaan yang sama seperti pada model-model T5 Volvo. Dan menerusi satu video yang disiarkan oleh Lynk & Co, lebih perincian pada enjin berkenaan diterangkan sendiri oleh Ketua Pembangunan Enjin Cyan Racing, Mattias Evensson.

Menurutnya, Cyan Racing telah menggunakan enjin Drive-E ini lebih 10-tahun lalu, iaitu ketika sebelum enjin ini diperkenalkan pada pasaran bagi menggantikan barisan enjin lima-silinder Volvo sebelum itu. Dan antara semua variasi enjin perlumbaan yang dibangunkan oleh Cyan Racing, enjin pada 03 TCR ini adalah yang paling hampir dengan versi jalan raya.

Evensson menerangkan hanya berberapa bahagian yang ditukar pada enjin produksi jalan raya untuk menjadikan ia sebuah enjin perlumbaan, antaranya pulley untuk menggerakkan alternator, pendawaian (bagi disesuaikan dengan kotak komputer stand alone yang dibekalkan oleh penganjur WTCR), roda tenaga, berberapa komponen sistem penyejukan.

Selain itu, komponen luaran lain seperti pam cecair penyejuk, manifold kemasukan, pendikit, alternator dan sebagainya adalah sama dengan model produksi jalan raya.

“Jika kami terlibat dalam kemalangan dan merosakkan enjin, kami boleh pergi ke pengedar Lynk & Co untuk membeli enjin dan pasang komponen-komponen custom yang kami hasilkan, dan berlumba semula keesokan harinya,” kata Evensson membuat analogi betapa samanya enjin lumba mereka dengan enjin yang dijual dalam pasaran untuk orang awam.

Mengapa Lynk & Co begitu yakin untuk menggunakan enjin Drive-E ini untuk berlumba? Mattias Evensson bukanlah staf baru dalam Cyan Racing. Dia telah berkhidmat dengan firma kejuruteraan perlumbaan berkenaan sejak Cyan Racing mengendalikan program perlumbaan ‘one-make’ di Sweden pada awal era 2000.

Selepas program tersebut ditamatkan, Evensson bertugas di unit pembangunan enjin Volvo bagi membangunkan enjin Drive-E generasi baharu berkenaan, dengan menggunakan pengetahuannya dalam menghasilkan enjin-enjin perlumbaan. Hasilnya, mereka berjaya menghasilkan enjin konsep kegunaan jalan raya Drive-E 2.0L yang berupaya menjana 367 hp dan tork maksima 470 Nm.

Mattias Evensson juga bertanggungjawab untuk menghasilkan enjin perlumbaan pertama berasaskan enjin Drive-E ini untuk kereta lumba Volvo C30 pada tahun 2010. Enjin tersebut dibangunkan dari blok enjin pra-produksi yang diberikan oleh Volvo kepada Cyan Racing untuk kereta lumba yang akan digunakan untuk perlumbaan World Touring Car Championship (WTCC) musim 2011.

“Ketika kami mengambil keputusan untuk menyertai kejohanan dunia, kami lihat pesaing-pesaing kami menggunakan enjin yang dibangunkan khas untuk perlumbaan. Namun kami memilih untuk menggunakan enjin Drive-E sebagai asas enjin lumba kami, yang mempunyai asas mekanikal yang sangat solid dan sangat efisien kepada sistem pembakaran yang sangat sesuai untuk dijadikan enjin perlumbaan,” jelas Evensson.

Antara versi yang paling berjaya dan paling berkuasa tentulah enjin 2.0 liter Drive-E pada jentera Volvo S60 TC1, yang memberikan gelaran juara dunia kepada Thed Bjork untuk WTCC musim 2017.

Selain dari dibangunkan untuk perlumbaan, enjin Drive-E ini juga dihasilkan untuk model-model konsep Polestar seperti S60 Polestar Concept yang telah berjaya mencatatkan rekod kereta sedan empat pintu paling laju ni litar Nürburgring pada tahun 2016.

Enjin ini sekali lagi digunakan pada kereta konsep jalan raya Cyan Racing, iaitu Lynk & Co 03 TCR Concept yang diperkenalkan tahun lalu. Ini adalah kereta konsep jalan raya Cyan Racing paling ekstrem yang pernah dibina, dengan enjin Drive-E 2.0 liter berkenaan mampu menghasilkan kuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm.

Kereta tersebut turut dibawa ke Nürburgring tahun lalu – masih dipandu oleh Thed Bjork, ia berjaya mencatatkan rekod kereta kereta pacuan hadapan terpantas, dan kereta empat pintu terpantas (keseluruhan, bukan hanya produksi) dengan catatan masa 7 minit 20.143 satu lap.

Baru-baru ini, Cyan Racing memperkenalkan satu lagi kereta konsep klasik dengan teknologi moden iaitu Volvo P1800 Cyan. Kereta ini diasaskan dari model klasik Volvo P1800 ‘The Saint’ dengan diberikan badan dan casis binaan gentian karbon, sistem suspensi yang dirombak semula, dan disumbat enjin 2.0 liter Drive-E dengan spesifikasi yang sama seperti kereta lumba Volvo S60 TC1.

GALERI: Lynk & Co 03+ di Malaysia

GALERI: Jentera lumba sebenar Lynk & Co 03 TCR binaan Cyan Racing