Toyota telah mendedahkan Proace Verso Electric baharu, MPV elektrik sepenuhnya yang bakal dijual di Eropah mulai Februari 2021. Model baharu ini menyertai van komersil Proace Electric, dan menawarkan beberapa pilihan konfigurasi.

Ini termasuklah tiga pilihan panjang bagi saiz badan – Compact (4,609 mm), Medium (4,959 mm) dan Long (5,309 mm) – dengan jumlah muatan 280, 640 dan 1,060 liter dengan semua tempat duduk berada dalam kedudukan normal. Sementara itu, empat gred telah ditawarkan, termasuklah versi Combi dan Shuttle, serta pilihan yang lebih sofistikated Family dan VIP, meningkat sehingga sembilan tempat duduk.

Penjana kuasa elektrik disalurkan kuasanya menerusi pek bateri lithium-ion yang ditempatkan di lantai, yang didatangkan dengan dua versi. Versi pertama adalah unit 50-kWh yang menyalurkan pacuan sehingga 230 km dalam pengecasan penuh. Sementara pilihan kedua pula ialah unit 75-kWh yang mampu memberikan pacuan sehingga 330 km – kedua-duanya berdasarkan data WLTP.

Bergantung pada pemilihan bateri, kedua-dua kuasa bagi motor elektrik pada gandar hadapan dianggarkan sehingga 136 PS (134 hp) dan tork 260 Nm. ini membolehkan ia mencecah kelajuan maksimum sehingga 130 km/j, dengan kapasiti tundaan bersama braked trailer bagi satu tan (termasuk 50% payload on board). Toyota turut menawarkan waranti sehingga lapan-tahun/160,000 km untuk bateri bagi ketenangan minda pemilikan.

Secara standard, semua versi MPV ini dilengkapi dengan pengecas 7.4-kW onboard AC, yang boleh dipertingkatkan ke unit pengecasan pantas 11 kW, dengan kos ekstra. Proace Verso Electric menggunakan sambungan Type 2 untuk pengecasan AC, walau bagaimana pun Toyota tidak memberikan perincian mengenai masa pengecasan jika menggunakan kaedah ini.

Namun demikian, Toyota memberikan maklumat untuk pengecasan DC, yang merupakan salah satu kaedah pengecasan untuk MPV ini. Dengan sambungan CCS dan apabila disambung ke stesen pengecasan 100-kW, bateri 50-kWH mengambil masa sekitar setengah jam untuk dicas, sementara bateri 75-kWH memerlukan masa selama 45 minit.

Penjana kuasa juga didatangkan dengan kawalan E-toggle untuk memilih sama ada Drive, Reverse, Neutral, Park, dan Regenerative Braking, dengan satu lagi suis yang menentukan mod pemilihan pemanduan Eco dan Normal.

Untuk kelengkapan cirinya, EV ini didatangkan dengan tempat duduk bersama fungsi haba, sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci, radio digital DAB, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kemasukan tanpa kunci, brek parkir elektronik, dan cermin yang boleh dilipat secara elektronik, sebagai standard. Sementara ciri navigasi berdasarkan satelit dan pendingin hawa automatik diberikan secara pilihan.

Selain itu, sistem Toyota Safety Sense turut diberikan, merangkumi Sistem Pra-pelanggaran (PCS) dengan pengesanan pejalan kaki, kawalan kelajuan sepenuhnya, Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan Bantuan Isyarat Jalan (RSA). Turut ditambah ialah penderia parkir hadapan dan belakang, kamera belakang 180-darjah dan bagi model gred tertinggi menerima Pemantauan Titik Buta.