Mercedes-Benz GLA Komfortfahrwerk mit Tieferlegung
Mercedes-Benz GLA lowered comfort suspension

Lanjutan dari laporan sebelum ini, Geely Holding dan juga pemilik jenama Mercedes-Benz iaitu Daimler AG sudahpun mengesahkan bahawa mereka bakal bekerjasama bagi membangunkan “sistem penjana dengan kadar efisien tinggi bagi kegunaan kenderaan hibrid generasi seterusnya.”

Dalam bahasa mudah, kedua-dua syarikat yang masing-masing gergasi automotif di China dan Jerman berkenaan bakal menjalinkan kerjasama untuk kerja-kerja R&D bagi menghasilkan enjin petrol untuk kenderaan hibrid, yang akan dikongsi pada model baharu jenama-jenama di bawah payung kedua-duanya.

Kerjasama ini bakal meningkatkan tahap kompetitif global untuk kedua-dua pengeluar dalam masa yang sama mewujudkan skala eknonomi sebenar, menurut Daimler. Kedua-dua pihak bakal menggunakan jaringan R&D mereka untuk bekerjasama bagi menghasilkan enjin sistem hibrid tersebut, dan bakal diproduksi di Eropah dan China. Pilihan untuk memasang enjin di China dan kemudian dieksport ke negara lain turut dinyatakan.

Daimler turut menyatakan bahawa enjin-enjin ini akan digunakan untuk model-model Mercedes-Benz akan datang, serta model-model di bawah portfolio Geely yang luas termasuk Volvo. Secara lebih terperinci, “portfolio Geely yang luas” berkenaan sudah tentu bermaksud enjin Mercedes-Geely ini turut mungkin akan digunakan oleh Proton.

Ini kerana buat masa sekarang, model-model Proton yang diasaskan dari Geely seperti X50 dan X70 sudaupun diberikan enjin-enjin Geely-Volvo terkini. Jadi apabila enjin-enjin generasi seterusnya dari Geely tersebut di perkenalkan di China, model-model Proton di Malaysia turut akan menerima pilihan enjin yang sama.

Untuk Volvo, sudah tentu jenama Premium Sweden ini akan berkongsi terus enjin yang sama dengan pesaing terusnya dari Jerman iaitu Mercedes-Benz. Namun ini bukan kali pertama untuk Volvo di mana sebelum ini mereka telah pun berkongsi enjin 1.6 liter dan 2.0 liter EcoBoost bersama Jaguar Land Rover (JLR) ketika kesemua jenama berkenaan berada di bawah Ford – Volvo hanya berpeluang menghasilkan enjin generasi baharu Drive-E mereka ketika di bawah Geely, dan JLR pula kini tampil dengan siri enjin Ingenium ketika di bawah Tata Motors.

“Kami telah menyaksikan momentum yang kuat dalam pembangunan industri automotif China dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dan kami percaya China akan terus menawarkan potensi yang baik dalam aspek inovasi, keberkesanan dan skala ekonomi,” kata Hubertus Troska, ahli lembaga pengarah Daimler AG.

“Projek ini membayangkan perlunya skala ekonomi dan pelaburan R&D yang disasarkan dalam unit penjana bersih dan efisien tinggi serta sistem pemanduan hibrid. Bersama dengan rakan kerjasama kami, kami akan menghasilkan teknologi termaju generasi seterusnya bersama-sama bagi memastikan terus berada di puncak industri ketika tempoh peralihan yang besar ini,” kata presiden Geely Holding, An Conghui.

Dikhabarkan, enjin kapasiti kecil 1.33 liter turbo empat-silinder yang dihasilkan dari kerjasama Mercedes-Renault sekarang ini berada dalam perut hatchback Mercedes-Benz A 200 W177, sedan A 200 V177 dan SUV GLB 200 X247 pasaran Malaysia bakal digantikan dengan barisan enjin baharu berkenaan. Menarik untuk disaksikan sama ada Geely/Volvo dapat atau tidak untun meyakinkan Mercedes-Benz untuk menggunakan enjin tiga-silinder untuk model lebih rendah, iaitu konfigurasi yang sebolehnya dielak oleh penegeluar Jerman berkenaan.

Barisan enjin baharu Mercedes-Geely ini juga mungkin akan terdiri dari enjin rekaan modular membolehkan ia dihasilkan sebagai enjin 1.5 liter tiga-silinder dan 2.0 liter empat silider yang sudah pun dibuat oleh Volvo dan BMW. Mercedes-Benz juga sudahpun membuat konsep rekaan sama terhadap enjin 2.0 liter empat silinder yang dikaitkan dengan enjin 3.0 liter enam-silinder mereka.

Kerjasama antara Daimler AG dan Geely ini tercetus apabila pemilik Geely iaitu Li Shufu membeli 10% pegangan saham dalam Daimler, dilaporkan bernilai 7.3 bilion euro (RM35.4 bilion) pada awal 2018. Ini bukan kerjasama pertama antara kedua-duanya, di mana Geely sudahpun bersama-sama membangunkan satu lagi jenama Daimler iaitu Smart untuk peringkat global, serta kerjasama untuk servis e-hailing di China.