Gymkhana 2020: Aksi Travis Pastrana dengan Subaru WRX STI berkuasa 862 hp/906 Nm dan sayap aktif!

Video terbaharu dari siri Gymkhana kini sudahpun ditayangkan di saluran Youtube Hoonigan. Dan seperti yang diumumkan, kali ini ia tidak lagi dibintangi oleh pengasasnya, Ken Block, tetapi diambil alih oleh rakan baik serta pesaingnya dalam Kejohanan Rali Amerika Syarikat, Travis Pastrana.

Dalam video bertajuk “Gymkhana 2020: Travis Pastrana Takeover” ini juga menyaksikan tiada lagi jentera Ford digunakan, dan ia kembali dibintangi oleh Subaru WRX STI seperti dua video Gymkhana yang diterbitkan lebih satu dekad lalu.

Jentera yang digunakan oleh Pastrana ini adalah jentera khas yang dibangunkan oleh Vermont SportsCar (pasukan yang sama mengendalikan Subaru Rally Team America/Subaru Motorsport USA, iaitu pasukan yang membawa Pastrana menjuarai Rally America sebanyak empat kali), dihasilkan semata-mata untuk aksi dalam video Gymkhana kali ini.

Subaru WRX STi berkenaan banyak menggunakan teknologi dan pengetahuan Subaru Motorsport USA dalam perlumbaan RallyCross, namun kerana tiada sebarang undang-undang, ia dihasilkan tanpa sebarang had bagi dijelmakan sebagai sebuah jentera yang benar-benar gila!

Gymkhana 2020: Aksi Travis Pastrana dengan Subaru WRX STI berkuasa 862 hp/906 Nm dan sayap aktif!

Ia masih dijana oleh enjin boxer empat silinder dari siri EJ, namun telah diberikan ubahsuai menyeluruh termasuk penggunaan blok dan kepala silinder yang dihasilkan dari billet dengan kapasiti 2.3 liter, pengecas turbo jauh lebih besar dari Garret Motorsport, sistem antilag turbo dan pelbagai lagi bagi menghasilkan kuasa akhir 862 hp dan tork maksima 906 Nm!

Kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear rali Sadev 6-kelajuan sequential dan juga sistem 4WD yang dibintangi oleh differential hadapan dari Vermont, differential belakang dari Sadev serta syaf penghantaran dan syaf pacuan yang dihasilkan dengan material gentian karbon.

Subaru WRX STI Gymkhana ini menampilkan sistem suspensi Reiger yang sama digunakan pada jentera RallyCross Subaru Motorsport USA, yang bukan sahaja membolehkan ia melakukan aksi drift yang tepat, malah turut boleh ‘berlepas’ dan mendarat semula ke permukaan bumi dengan selamat.

Kereta ini juga telah ‘dibogelkan’ manakala bahagian kerangka hadapan telah dibina semula dengan tiub, dan kebanyakkan panel badannya telah diganti dengan material gentian karbon, membolehkan berat keseluruhannya ditimbang dengan hanya 1,190 kg atau 363 kg lebih ringan dari model standard jalan raya WRX STI, bagi mencapai nisbah berat kepada kuasa pada tahap 1.36 kg/hp.

Gymkhana 2020: Aksi Travis Pastrana dengan Subaru WRX STI berkuasa 862 hp/906 Nm dan sayap aktif!

Kereta ini juga diberikan kit aero yang begitu agresif terdiri dari pelbagai spoiler dan spliter hadapan, fender lebih lebar, dan juga diffuser di belakang. Malah spoiler belakang jentera ini juga menampilkan sayap aktif yang membolehkan Pastrana mengawalnya ketika sedang ‘terbang’ di udara.

Penggambaran Gymkhana 2020 ini dilakukan di kampung halaman Pastrana sendiri iaitu di Annapolis, Maryland dan turut menampilkan aksi di kawasan rumahnya iaitu di ‘Pastranaland’.

“Menghasilkan video Gymkhana pertama saya merupakan pengalaman yang menakjubkan! Saya sangat teruja kerana akhirnya dapat peluang untuk melakukakannya, lebih-lebih lagi di tempat asal saya, jadi saya boleh merealisasikan idea-idea yang telah saya fikir selama bertahun-tahun,” kata Travis Pastrana.

“Tambahan pula, Subaru telah menghasilkan STI yang sempurna untuk tujuan ini. Jentera ini menghasilkan kuasa dan cengkaman yang sukar dipercayai, dan ia boleh menerima semua ‘seksaan’ yang boleh saya beri padanya!” tambah bintang Nitro Circus itu lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required