DFSK Glory 580 kini di Malaysia – SUV tujuh-tempat duduk, RM88k, 1.5 liter Turbo, CBU dari Indonesia

DFSK Glory 580 kini di Malaysia – SUV tujuh-tempat duduk, RM88k, 1.5 liter Turbo, CBU dari Indonesia

Ketika DFSK Glory 580 ini dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018, kami buat satu laporan berkenaan model tersebut kerana SUV tujuh-tempat duduk berkenaan sangat murah dan menampilkan saiz yang besar dan juga enjin 1.5 liter turbo. Siapa sangka, dua tahun kemudian model ini benar-benar dilancarkan di Malaysia?

Ya, model ini secara rasmi masuk ke pasaran Malaysia, dijual oleh Dongfeng Commercial Vehicle Malaysia, yang juga pengedar untuk trak komersial ringan Dongfeng Supercab. DFSK bermaksud Dongfeng Sokon, dan di Indonesia ia lebih dikenali sebagai Sokon.

Ini kali pertama syarikat tersebut menjual kenderaan penumpang biasa dan unit pertama SUV ini akan didaftarkan serta dihantar kepada pelanggan pada minggu hadapan.

DFSK Glory 580 kini di Malaysia – SUV tujuh-tempat duduk, RM88k, 1.5 liter Turbo, CBU dari Indonesia

Seperti di Indonesia, kelebihan utama SUV ini pada pasaran Malaysia adalah harganya yang begitu murah berbanding pesaing sekelas. Glory 580 adalah sebuah SUV dengan saiz seperti Honda CR-V dan Proton X70, manakala harganya pula adalah dalam julat Honda BR-V dan Mitsubishi Xpander.

Ia juga dijana oleh enjin 1.5 liter dengan pengecas turbo, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Ia dijual dalam versi CBU yang diimport dari Indonesia dengan harga RM88,000 tanpa insuran.

Tipikal sebuah model dari China, Glory 580 ini menampilkan rekaan ‘rojak’ dari pelbagai jenama lain. Mukanya direka seakan Honda HR-V, profil sisi nampak seperti Hyundai Santa Fe generasi sebelum ini, manakala rekaan belakang pula nampak seperti Audi Q5 generasi pertama. Manakala rekaan dalaman pula banyak “inspirasi” yang diambil dari Volkswagen.

DFSK Glory 580 kini di Malaysia – SUV tujuh-tempat duduk, RM88k, 1.5 liter Turbo, CBU dari Indonesia

Glory 580 ialah SUV dengan kerangka badan unibody dan diberikan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia turut diberikan brek cakera di hadapan dan belakang, serta diberikan rim bersaiz 17-inci.

Dari segi dimensi, SUV ini dihasilkan dengan saiz 4,680 mm panjang, 1,845 mm lebar, bersama jarak roda 2,780 mm. Jika dibandingkan dengan Proton X70, Glory 580 ini adalah 161 mm lebih panjang, 14 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh. Tempat duduk baris ketiga untuk SUV ini dihasilkan kecil seperti Honda CR-V dan Nissan X-trail dalam versi tujuh tempat duduk seperti yang dijual pada pasaran tertentu.

Enjin 1.5 liter turbo pada Glory 580 ini menjana 150 PS dan tork maksima 220 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Manakala kotak gear CVT yang dipadankan pula turut diberikan mod manual, dan kuasa dialirkan hanya pada roda hadapan.

Pasaran Malaysia hanya menerima satu varian SUV ini iaitu Luxury, sama dengan varian tertinggi di Indonesia. Ia berikan perincian seperti tempat duduk balutan kulit dengan tema dua tona hitam-perang, tempat duduk pemandu larasan elektrik dan juga sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Ia turut diberikan roda stereng pelbagai fungsi, pendingin hawa dengan motor penghembus kabin belakang bersama panel kawalan berasingan, brek parkir elektronik, kamera undur, sistem pemantau tekanan tayar, skrin infotainmen 10-inci dan empat beg udara.

DFSK Glory 580 ditawarkan dalam empat warna badan iaitu Glorious Metallic Red, Elegant White, Phantom Black dan Champagne Silver. Ia turut dilindungi oleh waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

Dongfeng telah melancarkan kilang mereka yang terletak di Serang, Indonesia yang bernilai US$150 juta, dengan kapasiti 50,000 unit setahun pada November 2017. Kini kilang tersebut menghasilkan Glory 580 ini, disamping SUV Glory 560 dan juga Glory i-Auto iaitu versi lebih tinggi untuk 580.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required