Lexus LM350 akan mendarat di Malaysia – RM1.15 juta, sudah boleh ditempah, tiba pada suku kedua 2021

Lexus LM350 akan mendarat di Malaysia – RM1.15 juta, sudah boleh ditempah, tiba pada suku kedua 2021

Selepas masuk ke pasaran Thailand pada tahun ini, versi lebih mewah MPV Toyota Vellfire/Alphard dengan logo Lexus iaitu Lexus LM bakal sampai ke Malaysia pada 2021. Tempahan untuk model berkenaan kini telah pun dibuka oleh Lexus Malaysia, dan ia akan ditawarkan dalam varian tunggal LM 350 dengan konfigurasi empat-tempat duduk.

Dengan ciri lebih ‘kayangan’ berbanding Vellfire/Alphard, harga untuk LM 350 ini juga adalah lebih seganda dari MPV dengan logo Toyota berkenaan, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,148,000, bersama filem penapis haba/keselamatan Lexus bernilai RM2,688 yang diberikan secara percuma.

LM diberikan pelbagai perincian unik yang berbeza dari Alphard/Vellfire walaupun kerangka badan yang digunakan adalah sama. Pada bahagian luaran, lampu Alphard digantikan dengan lampu lebih tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah persis model-model Lexus lain. Ia turut diberikan gril signatur ‘Spindel’ bersama logo Lexus di tengah bagi melengkapkannya sebagai sebuah Lexus sebenar.

Lexus LM350 akan mendarat di Malaysia – RM1.15 juta, sudah boleh ditempah, tiba pada suku kedua 2021

Tiang-B signatur Alphard masih lagi dikekalkan, tetapi tahap premiumnya ditingkatkan lagi dengan kemasan krom seakan dua anak panah bertemu pada bahagian berbentuk-S berkenaan. Lampu belakang pula menerima sedikit sentuhan semula dengan bentuk ‘taring’ krom pada kedua-dua sisi bawah, dan ia terus merentangi pintu tailgate belakang.

Model LM 350 pasaran Malaysia ini menerima banyak kemasan krom di bahagian luaran, dan ia nampak serasi dengan rim pelbagai jejari tiga-dimensi berdiameter 18-inci, dibaluti tayar dengan saiz 235/50R18.

Jika anda rasa Alphard Royal Lounge sudah cukup mewah, ia sebenarnya tidak semewah bahagian kabin belakang Lexus LM ini. Secara asasnya, ia mempunyai konfigurasi sama seperti Royal Lounge, dengan hanya empat tempat duduk menampilkan captain seat pada baris kedua dan juga pemisah antara kabin belakang untuk lebih privasi.

Tempat duduk mewah untuk bos tersebut boleh dibaringkan sepenuhnya, dibina dengan span urethene berketumpatan tinggi, menawarkan keselesaan seperti sofa mewah. Ia turut disejukkan dengan liang-liang sedutan udara. “Bilik” kabin belakang ini juga dipenuhi dengan balutan-balutan kulit lembut serta hiasan Gin-Sui-Boku (Silver Ink) yang diinspirasikan dari hasil seni lukisan ink wash.

Di hadapan dua tempat duduk mewah tersebut diletakkan skrin bersaiz 26-inci yang mungkin sama besar dengan TV di rumah anda. “Ruang tamu” dalam Lexus LM ini turut lengkap dengan peti sejuk, ruang penyimpan payung. Konsol tengahnya direka dengan menempatkan panel sesentuh bagi mengawal fungsi-fungsi seperti kedudukan tempat duduk, fungsi-fungsi keselesaan, penghawa dingin dan juga sistem audio Mark Levinson dengan 19-pembesar suara.

Kelengkapan standard lain yang dibekalkan untuk LM350 pasaran Malaysia ini termasuk sistem penghawa dingin dua-zon, moonroof berkembar, pengecas peranti pintar tanpa wayar, paparan head-up, pelindung cahaya matahari bahagian belakang, dan juga pintu tailgate berkuasa.

Lexus LM350 ini dijana oleh enjin petrol 2GR-FKS 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus berkuasa 297 hp, dan ia dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik Direct Shift.

Untuk keselamatan pula, MPV mewah ini diberikan pelbagai sistem bantuan pemanduan seperti sistem pra-pelanggaran, cruise control adaptif, bantuan pengesan lorong, bantuan tukar lorong dengan pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek sokongan parkir, sistem lampu tinggi adaptif dan juga cermin pandang belakang digital.

MPV Lexus LM350 ini hanya ditawarkan dalam dua warna badan iaitu hitam dan juga putih mutiara. Menurut Lexus Malaysia, pelanggan terawal yang menempah akan menerima LM350 mereka pada suku kedua 2021.

Pada pasaran luar, Lexus LM juga hadir dalam pelbagai variasi. Di Thailand, ia hanya dijual dalam versi hibrid LM 300 h, dan boleh dipilih sama ada dengan konfigurasi empat- atau tujuh-tempat duduk. Manakala di Indonesia, ia menampilkan varian LM 350 tetapi masih boleh dipilih dan dua versi konfigurasi tempat duduk.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required