Lamborghini telah mendedahkan sebuah lagi model yang menggunakan asas daripada Aventador, tetapi diubah suai secara khas untuk seorang pelanggan mereka. Ia dipanggil SC20 dan merupakan hasil kerja seterusnya oleh Squadra Corse, selepas Essenza SCV12.

“Dua tahun selepas SC18 Alston, kini SC20 muncul sebagai satu cabaran yang cukup menarik. Inspirasi daripada Diablo VT Roadster, Aventador J, Veneno Roadster dan Concept S akhirnya membawa kepada hasil yang menunjukkan kombinasi dramatik antara kreativiti dan juga lagak perlumbaan,” kata ketua bahagian rekaan Lamborghini Centro Stilo, Mitja Borkert.

Jika dibandingkan dengan Aventador J sebelum ini, SC20 mempunyai rekaan yang lebih agresif. Banyak elemen aerodinamik yang digunakan, dan semuanya direka untuk menguruskan angin dalam cara yang mengoptimakan prestasi, sambil memastikan keselesaan memandu kereta tanpa bumbung pada kelajuan tinggi.

Antara ciri rekaan penting adalah bahagian hadapan yang kelihatan seperti Huracan GT3 Evo, dengan mempunyai splitter yang bersirip di bahagian tepi, serta salur udara di atas hud. Bahagian tepi yang berlekuk itu diambil daripada SCV12 sementara sayap gentian karbon yang besar di belakang boleh dilaras pada tiga kedudukan.

Bentuk badan yang cukup menyerlah ini dicat dengan warna putih Bianco Fu, dengan kemasan biru Blu Cepheus untuk memberi kontras. Rim berlainan saiz iaitu 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang digunakan untuk memberikan visual yang lebih menonjol dan ia dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Corsa.

Warna biru yang sama digunakan pada bahagian dalam, dan ia digabungkan bersama hitam Nero Cosmus serta putih Bianco Leda di beberapa bahagian, sementara gentian karbon digunakan pada bahagian seperti pelindung papan pemuka, dinding belakang, panel pintu, konsol tengah serta stereng.

Tempat duduk model ini juga menggunakan rangka gentian karbon, dan ia kemudiannya dibalut dengan kulit serta Alcantara, dan dijadikan lengkap dengan perincian lain seperti pembuka pintu aluminium serta corong udara yang dicetak secara 3D.

Lamborghini SC20 digerakkan oleh enjin V12 NA 6.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 770 PS (760 hp) pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm. Kuasa disampaikan kepada semua roda melalui kotak gear Independent Shifting Rod (ISR) tujuh kelajuan serta differential elektronik.