Orang kata, penglibatan di dalam litar serta dunia perlumbaan adalah tempat pembangunan teknologi baru, dan itulah yang ditunjukkan oleh pasukan lumba Malaysia, TKKR Racing. Mereka mengambil kapcai Yamaha Y15ZR dan mengubah suainya menjadi seperti jentera lumba Moto 3.
Apa yang mahu dibuktikan adalah dua perkara – anda tidak perlu memilih jentera Kalex MiniGP untuk terlibat dalam perlumbaan atau masuk ke dalam kategori tertentu yang lebih tinggi, dan hasil kejuruteraan Malaysia juga mampu menjadi sama tahap seperti negara lain di persada antarabangsa.
Jentera prototaip TKKR Racing ini dibangunkan sendiri di bengkel kejuruteraan mereka di Seremban, Negeri Sembilan, di mana di situ juga terdapat pelbagai kelengkapan canggih termasuk makmal ujian jentera serta mesin dyno. Model prototaip ini masih lagi menggunakan enjin asas Y15ZR, tetapi dibesarkan sehingga 200 cc.
Bahagian rangka melibatkan pengubahsuaian yang banyak, dan bahagian asal yang tinggal cuma di hadapan. Subframe belakang diganti dengan unit buatan khas daripada aluminium gred pesawat yang boleh ditanggalkan, dan digabungkan bersama lengan ayun daripada Rapido. Tiub pemegang stereng juga diperkuat dengan besi tambahan.
Setelah melalui pengubahsuaian rangka ini, ia dipasang dengan panel badan jenis lumba seperti jentera Moto 3. Seperti yang boleh dilihat, model prototaip ini masih lagi dalam proses pembangunan dan TKKR sedang melakukan proses perletakan tangki serta bahagian badan yang lain.
Manurut pengasas pasukan TKKR Racing, Bobie Farid Shamsudin, pasukan beliau turut mempunyai beberapa perancangan lain seperti meletakkan tapak stereng yang boleh dilaras dan juga sistem pengurusan enjin Motec pada jentera ini. Fork hadapan menggunakan unit daripada YZF-R15, dan ia dijadikan boleh laras dengan penukaran bahagian dalaman serta springnya.
“Perancangannya adalah memastikan semua siap untuk ujian di Sepang hujung bulan ini dan melihat apa yang boleh diperbaiki. Dimensi prototaip ini sama seperti jentera Moto 3, pada panjang jarak rodanya, dan kami telah membuang banyak barang untuk menjadikannya lebih ringan,” kata Bobie.
Setakat ini masih tidak diberitahu sekiranya TKKR Racing akan menawarkan kit ubah suai ini untuk jualan kepada orang ramai tetapi daripada apa yang dilihat ini, adakah anda rasa ia menarik?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.