Nampak gayanya Suzuki Jimny betul-betul merak di India. Selepas dilaporkan akan pasang model Jimny generasi keempat di India untuk pasaran eksport, kini hal itu sudah pun dijadikan kenyataan. Baru-baru ini diumumkan bahawasa kumpulan pertama 184 unit Jimny telah meninggalkan Pelabuhan Mundra di Gujarat untuk dipasarkan di Colombia dan Peru.

Menurut Pengarah Urusan dan CEO Maruti Suzuki India, Kenichi Ayukawa, Jimny berkenaan dipasang di kilang Gurugram di Haryana oleh syarikat itu, dan berkongsi spesifikasi dengan model-model eksport yang dipasang di kilang Suzuki Motor di Kosai, Jepun. Suzuki dalam perancangan meluaskan eksport mereka ke pasaran Amerika Latin dan Timur Tengah serta Africa di masa akan datang.

Model eksport mempunyai spesifikasi yang berbeza dengan unit JDM, kerana di Jepun, ia dibangun untuk memenuhi peraturan sebagai sebuah kei-car. Jimny di Jepun berukuran 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,725 mm tinggi, dengan hanya satu pilihan enjin iaitu unit R06A 658 cc turbocas tiga-silinder, menghasilkan 64 PS dan 96 Nm tork. Sistem pacuan empat roda separuh masa adalah standard di Jepun, dengan pilihan transmisi lima-kelajuan manual atau automatik empat-kelajuan.

Sementara itu, Jimny yang dipasang di India pula berukuran 3,645 mm panjang, 1,645 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, walaupun jarak antara rodanya sama saja 2,250 mm. Enjin pula menggunakan unit K15B 1.5 liter NA empat-silinder dengan sistem AWD serta pilihan transmisi yang sama seperti yang di Jepun.
Buat masa ini, Jimny hanya direka dengan tiga-pintu untuk pasaran global, walaupun ada laporan dari India yang menyatakan bahawa model lima-pintu akan dilancarkan di sana tahun ini. Ada maklumat juga mengatakan yang model itu nanti akan lebih panjang daripada model eksport.