Ruslin Tamsir, jurutera Malaysia hasilkan rekaan gril pembesar suara tanpa skru untuk Mclaren Senna

Ruslin Tamsir, jurutera Malaysia hasilkan rekaan gril pembesar suara tanpa skru untuk Mclaren Senna

Gril atau penutup pembesar suara hadapan mungkin kita lihat sebagai komponen yang ringkas dan tidak memerlukan kejuruteraan yang tinggi untuk dihasilkan. Namun sebenarnya komponen berkenaan sangat kritikal untuk dihasilkan kerana sebarang halangan selepas pembesar suara berkenaan akan memberikan gangguan terhadap penghantaran bunyi. Jika gril ini tidak dipasang pula, ia mungkin akan merosakkan pembesar suara tersebut.

Malah untuk menentukan posisi pembesar suara hadapan juga agak sukar, kerana ia perlu disusun agar tidak menggangu komponen lain pada pintu hadapan, dan sebab itu ia selalunya diletakkan pada sebelah bawah penghujung pintu hadapan. Rekaannya juga perlu dibuat dengan teliti kerana jika salah buat, ia mungkin senang rosak kerana bahagian tersebut adalah ‘laluan utama’ untuk kaki penumpang/pemandu masuk ke kabin kereta.

Oleh sebab ini, hypercar dari British iaitu McLaren Senna dipadankan dengan pembesar suara hadapan yang diletakkan pada posisi unik pada pintunya. Perumah atau gril pembesar suara yang diperbuat dari gentian karbon tersebut dihasilkan begitu kompleks bukan sahaja kerana kedudukannya, malah ia turut perlu menempatkan pembesar suara Bowers & Wilkins dengan rekaan tweeter diamond dome 25 mm dan juga kon Kevlar 10 cm di belakangnya yang begitu canggih – rekaan tersebut sebenarnya dihasilkan oleh anak jati Malaysia, Ruslin Tamsir!

Apa yang istimewa dengan rekaan perumah pembesar suara gentian karbon oleh Ruslin ini adalah ia tidak perlu sebarang pengikat, skru atau kaedah konvensional lain untuk melekatkannya, tetapi menampilkan satu ciri baharu yang digelar invisible locking (pengunci yang tidak nampak).

Ruslin sebenarnya menghasilkan rekaan ini menerusi syarikat tempat dia bekerja iaitu Harman Becker Automotive System di Garching, Jerman dengan memegang jawatan sebagai ketua projek kejuruteraan. Paten untuk rekaan tersebut telah difailkan oleh syarikatnya pada tahun 2019, dan kemudiannya telah diterbitkan di Pejabat Paten Eropah pada 21 Oktober tahun lalu.

Dalam hantaran Facebook yang dibuat, Ruslin menyatakan bahawa dia agak skeptikal pada mulanya bahawa rekaannya itu mungkin tidak akan dihantar ke pejabat paten. Ini kerana tempoh masa yang diberikan adalah sangat singkat iaitu hanya tiga bulan untuk menghasilkan perumah pembesar suara yang boleh dilekatkan tanpa sebarang pengikat konvensional tersebut.

Menurutnya lagi berberapa prototaipnya telah gagal dalam usaha berkenaan, namun pada satu tahap di mana dia hampir putus asa, dia bermula sekali lagi dengan pendekatan yang lebih konvensional. Usaha Ruslin tidak sia-sia kerana rekaan akhir berkenaan diterima untuk dinilai dan diuji, kemudian paten tersebut difailkan dengan namanya.

Dalam hantaran yang dibuat juga, Ruslin yang kini sudah pun berada di Malaysia memberikan pesanan agar jangan sesekali berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mendorong diri sendiri sehingga ke had maksima. “Anda tidak akan berjaya tanpa mencuba dan gagal, dan anda hanya akan melihat potensi sebenar diri sendiri setelah anda berjaya,” kata Ruslin dalam hantaran tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required