BMW M5 CS — 635 hp/750 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

BMW M5 CS — 635 hp/750 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

BMW M5 CS akhirnya didedahkan secara rasmi. Sama seperti mdoel M yang hadir dengan lencana CS, versi sedan M ini menerima lebih banyak kuasa, kurang berat dan penggayaan agresif yang mengambil ilham daripada sukan perlumbaan.

CS kini menjadi varian M5 yang paling tinggi, yang turut melibatkan model “biasa”nya serta M5 Competition dengan 616 hp. Varian CS boleh dibezakan daripada kemasan Gold Bronze yang digunakan padanya, terutama pada sekitar bentuk “kidney grille” serta pada rim 20-inci M diperkukuh dengan kelebaran 9.5J dan 10.5J yang dipasang dengan tayar bersaiz 275/35 (depan) dan 285/35 (belakang).

Bahagian depannya menggunakan DRL kuning di dalam unit BMW Laserlight, sama seperti kereta lumba GT jenama itu. Bonet pula menggunakan bahan carbon-fibre reinforced plastic (CFRP), sama juga pada bahagian lain seperti splitter depan, perumah cermin sisi, spoiler belakang dan diffuser, pelindung ruang enjin serta intake silencer.

BMW M5 CS — 635 hp/750 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

Dalam teaser sebelum ini, CEO BMW M, Markus Flasch menededahkan yang M5 CS adalah 70 kg lebih ringan berbanding M5 Competition. Turut menjadi kelainan CS ialah sistem ekzos stainless-steel dan brek karbon-seramik M – boleh dipilih antara angkup merah biasa atau angkup pilihan warna emas.

Di dalam, lebih banyak ilham daripada sukan permotoran dikenakan. Kerusi depan adalah dari jenis M Carbon, dan di belakang pula penumpang menerima kerusi individu sendiri, menjadikan kereta ini hanya untuk empat orang. Kerusinya dibalut oleh kulit Merino hitam, dengan kontras jahitan Mugello Red. Perehat kepala diberikan garis hiasan litar Nürburgring, dan kerusi depan lengkap dengan logo M5 dengan iluminasi.

Lain-lain kemasan uniknya termasuk stereng balutan kulit Alcantara dengan penanda tengah warna merah, tuil paddle shifter carbon serta jejari stereng warna krom hitam. Penutup perehat lengan standard M5 digantikan dengan jenis lebih ringan.

M5 CS dibangun menggunakan M5 generasi F90 versi facelift dan diberikan tambahan 19 hp lagi kuasa puncak berbanding M5 Competition yang mempunyai 635 hp pada 6,000 rpm, serta 750 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,950 rpm; semua ini dari enjin 4.4 liter biturbo V8 yang menghantar kuasa ke semua roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan Steptronic M.

Sistem pacuannya kekal menggunakan sistem M xDrive AWD yang boleh mencapai 100& pacuan ke gandar belakang untuk AWD sebenar, dan turut dilengkapi dengan differential Active M boleh ubah sepenuhnya dengan kesan kunci 0-100%. CS ini boleh memecut antara 0-100 km/j dalam masa 3.0 saat, 0-200 km/j dalam masa 10.3 saat dengan laju maksimum 305 km/j.

Datang dengan pilihan warna Brands Hatch Grey metalik, Frozen Brands Hatch Grey metalik dan Frozen Deep Green metalik (gambar), BMW M5 CS dijual pada harga 180,400 Euro (RM887,096).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required