Perkenalkan, ini trak pikap versi Toyota Hilux Arctic 35 (AT35) 2021 yang mana ubah suainya dilakukan secara sah oleh Arctic Truck untuk tujuan off-road ekstrim, yang menggunakan asas varian Invincible X Double Cab yang dijual di UK.
Hilux AT35 ini menerima peningkatan agak menyeluruh, dengan ubah suai yang turut dilakukan terhadap suspensi dan penggayaan. Naik taraf utama yang dilakukan termasuk palang anti-olengan boleh laras, penyerap hentak Bilstein dan gelung suspensi baru. Differential depan dan belakang juga diberikan gear baru untuk memudahkan pemanduan off-road.
Naik taraf berkenaan menjadikan jarak kelegaan tanah Hilux ini meningkat 65 mm, memperbaiki sudut laluannya sehingga sembilan darjah di depan dan belakang. Bahagian dalam ruang lengkung tayar juga dibentuk semula untuk memuatkan rim aloi Arctic Trucks 17-inci, yang dibalut dengan tayar BFGoodrich KO2 All-Terrain 35-inci.
Menurut Arctic Trucks, tayar ini memberikan rasa pemanduan yang lebih selamat ketika melalui permukaan yang lembut. Ia juga melancarkan lagi kualiti pemanduan off-road dan permukaan yang lebih mencabar. Lain-lain pertambahan termasuk palang ketinggian di belakang dengan receiver hitch bersepadu dua-inci.
Dari segi penggayaan, Hilux AT35 menerima fender yang lebih besar, pemijak sisi yang lebih lebar, lencana AT35 dan pelekat hiasan ulangtahun ke-30. Pelanggan juga boleh memilih untuk memasang pelindung bahagian bawah kenderaan, lampu Vision X pada gril dan penutup ruang barangan Truxedo.
Bagi tujuan off-road lasak, tayarnya boleh dinaiktaraf kepada BFGoodrich KM3 Mud-Terrain yang datang lengkap dengan kit inflation/deflation, serta kompresor prestasi tinggi 12-volt yang dipasang pada ruang enjin.
Bagi sistem janaan kuasa pula, ia menggunakan enjin 2.8 liter turbodiesel tanpa sebarang modifikasi. Unit ini menghasilkan sebanyak 204 hp pada 3,000 rpm hingga 3,400 rpm dan 500 Nm tork pada 1,600 rpm hingga 2,800 rpm. Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik enam-kelajuan, sementara kemampuan menunda kekal 3,500 kg. Naik taraf ini telah menjadikan Hilux AT35 115 kg lebih berat.
Semua naiktaraf ini menepati standard Toyota, dan datang dengan jamina lima-tahun atau 160,000 km masih sah. Bagaimana dengan harga? Tidak termasuk harga Hilux, semua ini menelan kos £18,780 (RM105k). Dan, kalau termasuk dengan harga Hilux sekali, ia boleh cecah £63,000, atau RM351k! Berbaloi ke?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.