Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Jenama pengeluar kenderaan nasional, Proton dan Perodua untuk tahun lalu kembali menunjukkan gabungan penguasaan yang semakin meningkat dengan mencatatkan 62.1% daripada keseluruhan TIV. Ini angka tertinggi yang pernah dicapai sejak tahun 2003.

Kiranya, enam daripada setiap 10 kereta yang dibeli di Malaysia tahun lalu ialah kereta Proton atau Perodua. Ini juga bermakna, bahagian dalam pasaran untuk kenderaan pengeluar bukan nasional semakin mengecil. Dengan rekod tertinggi penguasaan pasaran sebanyak 53% pada tahun 2014, yang ketika itu menyaksikan jenama luar memintas angka Proton dan Perodua buat kali pertama, corak berkenaan bertahan sehingga 2018 (51%).

Bagaimanapun, kebangkitan semula Proton pada tahun 2019-2020 telah menyebabkan penguasaan jenama kenderaan bukan nasional semakin mengecil; peratusan itu telah menyusut kepada 38% tahun lalu, dan tahap paling rendah yang pernah direkodkan ialah pada 2003 dengan 34% sahaja. Untuk membaca lebih lanjut latar belakang ini, boleh rujuk laporan sebelum ini.

The Power of Dreams

Dalam kisah turun-naik jenama luar ini, watak utamanya ialah Honda. Sejak Honda Malaysia mula beroperasi pada 2003, mungkin tak pernah terlintas dalam fikiran mereka untuk satu hari nanti memintas kedudukan Toyota di Malaysia. Apalagi untuk mengatasi Proton dan berada di kedudukan kedua keseluruhan dalam carta jualan.

Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Sesuai dengan tagline “The Power of Dreams” yang digunakan, Honda akhirnya berhasil melakukan hal itu, mengatasi Toyota untuk menjadi jenama luar nombor satu di sini pada 2105 dan berjaya dipertahankan sejak itu. Kemudian, pada 2016, Honda mengasak lagi dan melakukan apa yang sebelum itu tidak terduga oleh ramai orang; jenama itu memintas pula Proton untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan, dan itu berjaya dipertahankan hingga 2018.

Lengkuk peningkatannya agak tinggi, seperti dalam graf. Tahun 2012, Honda menjual kurang kenderaan berbanding Nissan, dan walaupun kedua-duanya menunjukkan peningkatan pada tahun 2013, Honda tetap mengakhiri tahun berkenaan di belakang Nissan (51,544 vs 53,156). Toyota pula ketika itu sebaliknya sedang menikmati masa terbaik, dengan melepasi angka jualan 100k (105,151 pada 2012 dan 102,035 pada 2014). Namun, dua tahun selepas itu, Honda mula merampas kedudukan Toyota untuk berada di tempat pertama jenama luar untuk pasaran Malaysia.

Bagaimana itu berlaku? Jawapannya ialah Honda City generasi keempat, yang diperkenalkan pada Mac 2014, yang memberi lonjakan semula yang diperlukan untuk itu. Sedan berkenaan benar-benar merubah landskap segmen B waktu itu, dan kemudiannya diikuti pula oleh model Jazz. Kedua-dua pengenalan terbaru itu melonjakkan jualan Honda sehingga 50% dalam 2014. Tahun berikutnya menjadi tahun penuh yang pertama untuk jualan kedua-dua model tersebut, dan jumlahnya meningkat lagi sebanyak 22%. Model berkenaan seterusnya menjadi generasinya yang paling laris sepanjang jangka hayatnya dalam pasaran.

Agak bertenang beberapa tahun selepas itu, 2017 kembali menjadi tahun Honda. Jenama ini mencatatakan jualan 109,511 unit (naik 19%), bukan hanya catatan terbaiknya tetapi juga merupakan angka tahunan tertinggi yang pernah dicapai bagi jenama bukan nasional di Malaysia. Tanpa kehadiran model pikap dalam barisan jualannya seperti pesaing lain yang ada menjadikan semua ini lebih mengkagumkan lagi.

Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Pada 2017, Honda bermula awal dengan melancarkan BR-V, sebelum City dan Jazz datang dengan versi facelift (varian Hybrid ditambah). Generasi semasa CR-V pula ikut serta pertengah tahun itu, sementara 2017 juga merupakan tahun penuh pertama jualan Civic FC yang diperkenalkan pertengahan 2016. Namun, kembalinya momentum jualan jenama nasional ketika ini akan menyukarkan Honda mencapai angka seperti itu selepas ini.

Apa yang naik, pasti akan turun. Maka pada tahun 2018, jumlah jualannya menurun sebanyak 6.6% walaupun masik kekal di atas angka 100k unit. 2019 merupakan tahun yang bermasalah untuk Honda, yang terkesan teruk akibat penangguhan pengeluaran. HR-V facelift tergendala, begitu juga dengan Civic facelift yang terpaksa dianjak pelancarannya; patut keluar pada 2019, namun hanya dapat diperkenalkan pada Februari 2020, dan kemudian berdepan pula dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jualan Honda jatuh ke tahap terendah dalam tempoh lima tahun dengan hanya 85,418 unit.

Dahulu, jenama Jepun akan cuba bersaing dengan segmen Proton dan Perodua, dengan menawarkan model peringkat kemasukan yang tidak jauh beza harga, tetapi kini sudah terbalik. Proton melalui model Geely saja sudah terarah kepada produk yang lebih premium — X50 dan X70 kini merupakan pesaing langsung bagi HR-V dan CR-V, dengan kelebihan tanda harga bagi model jenama nasional itu. Tanpa penawaran Proton ini, tentunya pelanggan yang mahukan SUV akan mencarinya dari Honda.

Bagi Jazz pula, kita boleh saja gandingan saingannya kepada Myvi juga. Perodua merapatkan lagi jurang penguasaan Honda dalam segmen berkenaan melalui pengenalan Myvi generasi ketiga pada hujung 2017. Apa saja kekurangan Myvi berbanding Jazz dari segi kehadiran jenama serta kualiti buatan lainnya ditimbal balik dengan senarai kelengkapan yang mengkagumkan. Dijual pada harga RM20k lebih murah berbanding Jazz S yang paling asas, Myvi AV yang paling lengkap mendahului model Honda itu dari beberapa aspek (misalnya lampu LED, skrin sentuh dan AC digital) serta ciri keselamatan (enam beg udara berbanding empat, VSA, AEB).

Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Tidak selamanya pengeluar mampu memerkenalkan model laris yang mendapat sambutan sepanjang masa. Kadang kala kitaran hayat pelbagai model tepat pada masanya, ataupun pesaing tidak berada dalam keadaan terbaik mereka; dengan gandingan itu, Honda Malaysia berhasil meraih pencapaian yang sukar, yang mungkin tidak dapat lagi dicapai selepas ini.

Walaupun kekal sebagai jenama luar nombor satu di Malaysia tahun lalu, jumlah 60,468 unit dari Honda yang terjual pada 2020 adalah yang paling rendah sepanjang sejarah syarikat itu bersaing dengan Nissan. Mungkinkah ada jalan untuk kembali tumbuh? Itu perlu dilihat tahun ini, memandangkan ia merupakan tahun penuh yang pertama bagi jualan City terbaru, dan juga model gantian Jazz, City Hatchback mungkin akan menjadi senjata terbaru jenama itu di sini.

Bagaimana dengan Toyota?

Adakah jika jualan bagi jenama luar yang menduduki tempat pertama seperti Honda menurun, jualan jenama luar lain juga akan menurun? Tidak begitu. Tahun suram buat Toyota berlangsung dari 2014-2016, dan beberapa tahun terakhir ini keadaannya bertambah baik seperti sedia kala. Dan jualan mereka agak memberangsangkan sehinggalah muncul Nissan Almera N17 yang telah menyumbang kepada penurunan semula jualan.

Seperti yang dapat dilihat dalam graf, Toyota berada pada kedudukan yang baik pada separuh pertama dekad lalu, bahkan telah melepasi angka jualan 100k sebanyak dua kali. Namun, sejak mula tewas pada Honda pada 2015, jualannya terus menguncup — 2016 menyaksikan jualan jatuh sebanyak 32% kepada 63,757 unit, dan angka jualannya kekal sekitar 60k-70k unit sejak itu. Pada 2020, ia jatuh sedikit lagi kepada 58,501 unit.

Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Faktor yang memainkan peranan utama bagi pengeluar kenderaan di sini ialah sedan segmen B. Perkenalkan sebuah model yang mendapaat perhatian dan permintaan dalam segmen ini, maka jualan juga akan ikut memberangsangkan. Jika tersilap, jenama pesaing yang mempunyai kelebihan akan memanfaatkan keadaan itu.

Toyota tidaklah tersilap sepenuhnya dengan pengenalan Vios generasi ketika; model berkenaan bahkan mendahului pengenalan City ketika itu, pada tahun 2013. Rekaan badannya baru, tetapi Toyota menggunakan sistem janaan lama yang dikekalkan, enjin 1NZ-FE dan transmisi 4AT serta jarak antara roda 2,550 mm.

Model ayam tambatan Toyota itu kemudiannya diberikan enjin baru pada 2016, memandangkan unit 1NZ-FE (yang telah digunakan oleh Vios sejak mula diperkenalkan pada 2003!) sudah wajar direhatkan. Menggantikannya iala enjin NR baru yang dikongsi bersama Perodua. Pada 2019, Vios menerima pembaharuan major, yang memberikannya rupa model generasi terbarunya. Namun tiada pembaharuan pada sistem janaan kuasa ketika itu. Satu lagi facelift diperkenalkan pada Disember 2020.

Mungkin sedikit mengelirukan, tetapi itulah hakikatnya. Hanya penampilan Vios terbaru yang membawakan imej model generasi terkini model itu, dan bukannya versi peralihan generasi yang sebenar ditawarkan di sini. Vios yang sama juga diberikan penampilan baru untuk tahun 2021, sedangkan Honda City sudah beralih kepada generasinya yang terbaru dan terkini. Mungkin saja pelanggan di Malaysia mahukan sesuatu yang lebih bermakna daripada penawaran Toyota selain daripada kemaskini yang sudah dibuat?

Selain City vs Vios, Honda ada daya jualan yang tinggi sejak beberapa tahun ini dalam bentuk HR-V. Ketika SUV kompak itu tiba pada 2015, ia menjadi model pertama yang membuka segmen baru untuknya sendiri di Malaysia. Jawapan Toyota kepada model ini ialah C-HR; sebuah kereta yang mantap dan menarik, tetapi oleh kerana ia CBU dan kurang senarai kelengkapan, ia ada masalah posisi harga dalam pasaran. Ini juga memberi kesan besar kepada pengaruh pasaran Toyota.

Dua lagi segmen di mana Honda menikmati kelebihan ialah bagi SUV segmen C (dengan CR-V menjadi model popular) serta hatchback segmen B dengan Jazz sebagai taruhannya. Toyota ada penawaran balas, misalnya model RAV4 yang tiba pada 2020, tetapi tidak memberikan impak yang berkesan dalam pasaran. Untuk mengimbangi Jazz pula, Toyota Yaris ada, tetapi ia tiba terlewat kerana sebelum itu Yaris hanya datang dalam bentuk CBU yang mahal, sehinggalah pada 2019 ketika versi CKD diperkenalkan.

Dua perlawanan

Jika diperhatikan dalam graf, ada jurang besar antara Honda dan Toyota. Dan lebih ke bawah, penurunan Nissan dari kedudukan terbaiknya pada 2013 (disebabkan oleh Almera N17) telah menyaksikan penurunan jualan berbanding tahap kedudukan Mazda pada tahun 2020 (14,160 vs 12,141). Ia kelihatan seperti ada dua persaingan antara pengeluar bukan nasional — Honda vs Toyota bagi tangga ke-tiga/empat dan Nissan vs Mazda bagi kedudukan kelima/keenam.

Jumlah begitu tentunya meresahkan Nissan, memandangkan jejak perniagaan Tan Chong di Malaysia adalah lebih besar berbanding apa yang dicadangkan oleh angka jualan 2020. Rakan niaga bagi pengeluar kenderaan berasal dari Yokohama itu mempunyai beberapa model pemasangan tempatan, dan beroperasi di dua kilang di sini. Jika inilah angka kelaziman baru bagi Nissan, tidak diketahui sejauh mana syarikat itu mampu bertahan.

Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Gerak kerja Tan Chong juga bergantung kepada strategi produk untuk rantau ini yang ditetapkan oleh Nissan. Ini menyukarkan lagi keadaan jenama ini di sini. Nissan kerap dikritik dari aspek penawaran model yang dilakukan di Malaysia, berbanding model-model yang jenama ini ada diperingkat global, atau bahkan serantau. Tetapi, Tan Chong bukan Nissan, dan sebarang keputusan yang ingin diambil memerlukan banyak masa dan mungkin ini akan membuatkan mereka ketinggalan.

Bagaimana dengan Almera? Dari segi penampilan, ia nampak sebagai antara yang terbaik ketika ini bagi sedan segmen B. Tambahan pula ada sisi teknologi baru yang ditawarkan (kapasiti kecil enjin turbo, kelengkapan keselamatan aktif) — ia telah lari jauh daripada model sebelumnya. Malangnya, harga yang dikenakan juga lebih tinggi (RM80k ke atas), jadi ia mungkin berada di luar pilihan bajet ramai orang. Harapnya model N18 ketika ini akan beri prestasi jualan yang lebih baik buat Tan Chong.

Keadaan mungkin berbeza untuk Mazda dan Bermaz. Satu daripada sedikit jenama yang mencatatkan pertumbuhan sepanjang 2020. Angka tahun lalunya sekali ganda berbanding sedekad sebelum itu. Tidak seperti Nissan, sebahagian besar modelnya adalah CBU — kecuali model SUV CX-5 dan CX-8 dipasang di sini untuk pasaran domestik dan ASEAN. Mazda Motor Corp juga memiliki kepentingan majoriti di dalam perniagaan pengilangannya di Malaysia.

Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

Tanpa keperluan untuk memasang semuanya di sini, Mazda menawarkan rekaan serta penawaran premium. Dengan perkembangan semasa penguncupan peratusan perkongsian pasaran bagi jenama-jenama luar di sini, langkah ini mungkin akan menjadi kelebihan kepada Mazda. Dengan kejayaan membina keyakinan pasaran tempatan terhadap jenama Mazda, Bermaz juga bakal melakukan hal yang sama dengan Peugeot kelak.

Dengan persaingan antara Toyota-Honda dan Nissan-Mazda dalam aspek jualan, jenama mana agaknya akan berjaya meraih perhatian dan angka yang tinggi tahun ini? Dengan Perodua sedang bersiap untuk memperkenalkan SUV D55L, serta Proton X50 yang akan menyaksikan tahun penuh pertama untuk jualanya, sejauh mana peratusan perkongsian pasaran jenama luar — yang ketika ini pada kadar 38% — akan menguncup? 2021 akan jadi tahun yang menarik untuk diperhatikan dalam aspek ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required