Dalam minggu ini, Nissan bakal memperkenalkan Qashqai generasi ketiga, atau dikenali di US dengan nama Rogue Sport. Dengan tarikh pengenalan 18 Februari yang masih berbaki beberapa hari, pengeluar Jepun ini kini mengeluarkan lagi iklan teaser terbaru.

Iklan ringkas 15 saat tersebut menunjukkan rekaan baru lampu utama Qashqai, yang hadir dengan perincian bentuk C, bahagian bawah lampu utama serta DRL, semuanya dari jenis LED. Di tengahnya terletak gril V-Motion yang sinonim dengan Nissan, serta bentuk bonet juga lebih bersegi.

Model ini juga menampilkan skim warna dua-tona, sementara rekaan lampu belakang kini lebih tirus dan tiada lagi bentuk boomerang. Reka bentuk umum Qashqai kelihatan masih dikekalkan, dengan versi generasi terbaru ini tampil lebih berotot dan tegap.

Selain bahagian luar yang dirombak, kabin dalamannya juga menerima kemaskini. Antaranya penggunaan teknologi yang turut ada pada Pathfinder, termasuklah paparan instrumen digital 12.3-inci, head-up display 10.8-inci dan skrin sentuh sistem infotainmen NissanConnect sembilan-inci.

Model ini dikhabarkan kekal menggunakan platform Common Modular Family (CMF-C). Walaupun dengan platform yang diulang-guna ini, Nissan memaklumkan Qashqai tetap menawarkan ruang lebih luas untuk penumpang dan barangan mereka.

Unit enjin pula ialah 1.33 liter turbocas empat-silinder petrol dengan sistem mild hybrid 12-volt, didatangkan sama ada dalam konfigurasi 140 PS/240 Nm dan 160 PS/260 Nm (270 Nm dengan CVT dan AWD).

Barisan penawaran lain turut termasuk sistem janaan e-Power Range Extender, yang menampilkan motor elektrik 190 PS/330 Nm. Ini dikuasakan dengan pek bateri yan dicas oleh enjin 1.5 liter mampatan boleh ubah 157 PS yang bertindak sebagai generator.