Toyota Corolla 1979 ini terjual pada harga RM40k di Australia – tak pernah direstorasi, hanya 31,239 km

Toyota Corolla 1979 ini terjual pada harga RM40k di Australia – tak pernah direstorasi, hanya 31,239 km

Kita biasa dengar kereta-kereta klasik dari Toyota yang dijual pada harga yang cukup mahal – tapi kebiasaannya ia adalah dari model-model prestasi yang bertaraf lagenda dan menjadi buruan pengumpul kereta seperti 2000GT, Celica generasi pertama, atau barisan adik beradik ‘kilat & guruh’ iaitu Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno.

Namun Toyota Corolla generasi ketiga berwarna oren yang anda lihat bukan tergolong dalam kategori berkenaan, malah ia adalah dari versi hampir asas yang biasanya dipandu oleh uncle dan aunty. Tetapi, kereta ini sebenarnya baru sahaja terjual dalam laman lelongan kereta collectingcars.com yang berpusat di Australia pada harga AU$12,750 (RM40k)!

Ini adalah Toyota Corolla KE55, iaitu model facelift versi kouki 1979 dan sudah pun menggunakan enjin 4K-C 1.3 liter karburator berkuasa 60 hp, berbeza dengan model KE30 dengan muka zenki (berlainan gril hadapan) yang diberikan enjin lebih kecil 3K 1.2 liter sebelum itu. Model yang terjual ini juga merupakan dari versi transmisi automatik tiga-kelajuan.

Toyota Corolla 1979 ini terjual pada harga RM40k di Australia – tak pernah direstorasi, hanya 31,239 km

Jadi, apa yang istimewa sangat pada kereta ini sehingga ada yang sanggup beli dengan harga lelongan yang cukup tinggi? Kalau anda lihat, meter perbatuannya hanya mencatatkan jarak perjalanan 31,239 km dan menurut collectingcars.com ia masih belum pernah direstorasi.

Ini bermaksud, apa yang ada pada badan Corolla ini termasuk cat adalah asli dari kilang dan bilik pameran, dan ia seolah-olah disimpan dalam kapsul masa dan di bawa ke zaman sekarang!

Model ini juga adalah dari varian CS yang ketika itu dikelaskan sebagai kemasan ‘luxury’. Oleh itu, ia datang sekali dengan perincian seperti karpet kaki, jam, upholsteri fabrik kemasan beige dan perang, serta sistem stereo dari Philips yang boleh memainkan pita kaset.

Pada bahagian luar pula, ia diberikan emblem CS ditempat sepatutnya, serta diberikan rim besi 13-inci yang digilap. Dan menerusi gambar, dapat dilihat ia masih menggunakan tayar klasik Goodyear Grand Rally S bersaiz 165/75SR13 yang diproduksi pada tahun 2001.

Mengikut nombor VIN, Corolla ini adalah dari versi pemasangan tempatan yang dibuat di kilang AMI-Toyota di Port Melbourne. Manakala segala dokumentasi termasuk buku manual dan servis pula menunjukkan kereta ini dijual oleh Le Mans Toyota di Oakleigh, Victoria pada harga hanya AU$6,240!

Kami selalu nampak komen-komen seperti “baik beli rumah, beli kereta harga jatuh”, tapi nampaknya pemilik Corolla KE55 dah menunjukkan sebaliknya – walaupun ia adalah kereta keluarga biasa, setelah dijaga dengan begitu baik selama 42 tahun, kereta berkenaan dapat dijual dengan harga sekali ganda lebih mahal!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required