Sumber jurugambar kami dari luar negara telah menemui Peugeot 308 generasi terbaru, yang muncul dengan bentuk produksi hampir lengkap dan hanya bahagian belakangnya sahaja yang tertutup. Hatchback ini menggunakan warna hijau baru, yang akan ditambah dalam pilihan warna untuk model tersebut.

Di tengah gril model ini, kelihatan logo baru yang sebelum ini didedahkan pertama kali sebagai sebahagian daripada identiti jenama baru Peugeot bulan lepas. Ia juga selari dengan kenyataan syarikat itu yang memberitahu bahawa 308 akan menjadi model pertama menggunakan logo tersebut.

Rekaan bahagian hadapan mengikuti konsep sama seperti yang digunakan pada 508, dengan lampu DRL LED menegak di bucu bampar, serta rekaan gril yang lebih rumit. Tempat nombor plet diletakkan di bahagian paling bawah bampar sementara di bahagian antara gril atas dan bonet, terdapat lencana tulisan 308.

Memandangkan Peugeot sekarang telah meletakkan kenderaan dengan bantuan kuasa elektrik sebagai pemacu utama, dengan sasaran 80% daripada jumlah jualan keseluruhan menjelang tahun 2021, kita boleh menjangkakan 308 ini juga bakal tiba dengan versi hibrid. Perincian lanjut hanya akan diketahui apabila pelancaran semakin hampir, tetapi jika memandang kepada 508, kita boleh menjangkakan unit enjin petrol 1.6 liter PureTech turbo.

Model 308 baru ini juga telah disahkan bakal menggunakan platform EMP2 serta menerima penggerak plug-in hybrid, yang berkemungkinan menggunakan motor elektrik untuk memberi kuasa tambahan kepada enjin pembakaran dalaman biasa, untuk dihantar kepada roda hadapan. Pada 508, terdapat versi prestasi 508 PSE yang mendapat motor tambahan di belakang untuk memberikan pacuan semua roda.