Setelah kejayaan acara Premium Auto Car Expo (PACE) tahun-tahun sebelum ini yang berhasil menjual ratusan kenderaan pada tahun 2018 dan 2019, kami bakal memperluaskan lagi capaian acara berkenaan dengan pembabitan lebih banyak jenama pengeluar kenderaan melalui Auto Car Expo (ACE) paultan.org, dengan penaja bersama Carsome.

Pameran atau ekspo dengan fokus jualan kenderaan tersebut akan menampilkan barisan jenama yang lebih mampu milik dan akan berlangsung pada hujung minggu 17 dan 18 April 2021 nanti, bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC). Jangan ketinggalan, ada pelbagai tawaran hebat menanti di sana.

Kami akan membawakan barisan jenama yang pelbagai, termasuk Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Proton dan Volkswagen. Lebih menarik jenama premium BMW dan MINI turut akan ikut serta untuk memeriahkan pameran ini kelak.

Sama seperti PACE sebelum ini, anda akan berpeluang memandu uji dan membeli kereta idaman anda di ACE 2021 — barisan kenderaan baru ataupun terpakai — dengan tawaran hebat yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh jenama-jenama yang mengambil bahagian. Lebih menarik, anda masih berpeluang memanfaatkan pengecualian cukai SST dengan penjimatan yang lebih banyak. Tidak lupa, akan dibawakan juga pameran menarik kereta lumba oleh MSF Racing!

Bukan itu saja. Sebagai tambahan kepada promosi yang ada daripada jenama terlibat — yang akan kami umumkan menjelang pameran — anda juga akan berpeluan menikmati pelbagai tawaran istimewa oleh paultan.org sendiri. 200 pelanggan pertama yang membuat tempahan kenderaan akan menerima RM1,800 baucar gabungan, termasuk di dalamnya baucar RM500 V-Kool, baucar RM500 penyaman udara Blueair, baucar RM300 Dodomat, baucar RM300 kerusi kanak-kanak Recaro serta baucar RM200 minyak BHPetrol.

Selain daripada semua ini, tempahan yang telah disahkan pula akan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah dengan tawaran hadiah termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 dan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000.

Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

Klik di sini untuk maklumat lanjut berkaitan ACE 2021. Kami akan mengumumkan kemaskini promosi dan penyertaan pempamer dari semasa ke semasa. Jadi, teruskan bersama kami!