Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah pun menyiarkan teaser “Coming Soon” (akan datang) bagi model Hyundai Kona facelift menerusi laman Facebook, ini bermakna SUV segmen-B yang dipertingkatkan ini bakal dilancarkan tidak lama lagi. Ia mungkin berlaku kurang setengah tahun selepas HSDM melancarkan Kona di Malaysia.

Selepas tiga hari Kona dilancarkan di sini pada Oktober lalu, Hyundai Eropah telah mengumumkan kelahiran Kona facelift ini. Walau pun pasaran kita agak terlambat untuk menerima kemasukan Kona 2020, tapi biarlah sedikit lambat daripada tiada langsung.

Dengan pilihan kemasan N Line baharu, Kona facelift ini didatangkan dengan dua wajah berbeza. Ia sedikit berbeza dengan Kona yang asalnya, namun N Line yang lebih sporty ini memang agak mirip dengan model pra-peningkatan. Bagi wajah yang normal, ia diberikan kemasan pada gril yang lebih nipis dan lebar, malahan logo Hyundai juga kini diletakkan di atas gril dan tiada lagi bukaan udara di atas gril.

Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

Lampu DRL yang kelihatan seperti kening pada Kona masih lagi dikekalkan (dengan bentuk yang sedikit berlainan), tetapi lampu utama di bawahnya adalah lebih kecil dan mempunyai tiga gugusan lampu di dalamnya. Sebelum ini, kemasan plastik hitam di tepi cuma berada pada sekeliling lengkuk roda, tetapi kini ia bersambung di depan dan belakang sehingga ke bampar. Bahagian bawah bampar mempunyai skid plate berwarna kelabu yang berbentuk tajam di hujung.

Bahagian belakang juga menggunakan rekaan yang sama – bampar hitam dan kemasan kelabu di tengah. Grafik untuk lampu telah ditukar sementara lampu yang berada di bawah juga mempunyai bentuk baru.

Akhir sekali, SUV kompak ini dilengkapi dengan rekaan rim 17- dan 18-inci baru (unit 16 inci masih lagi sama), dan panjang keseluruhan kenderaan bertambah 40 mm (disebabkan perubahan bahagian depan).

Bagi versi N Line pula, ia lebih menyerupai Kona sebelum facelift kerana menggunakan logo di tengah gril dan masih mempunyai jalur bukaan udara di atasnya (tetapi sekarang dibahagikan kepada tiga). Satu lagi sebab ia nampak seperti Kona sebelum ini kerana ia juga menggunakan kemasan hitam di bahagian bawah bampar. Keliling roda pula menggunakan kemasan yang sama warna seperti badan.

Skid plate pada model biasa diganti dengan lip aerodinamik, berserta hujung seperti sirip dan bukaan udara yang lebih besar dan “teknikal”. Rekaan gril serta rim 18-inci padanya juga adalah unik untuk model ini. Pada bahagian belakang anda akan dapat melihat diffuser besar berwarna hitam bersama dua muncung ekzos di bahagian tepi.

Kona facelift ini datang dengan lima warna baru iaitu Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Cyber Gray dan Misty Jungle, sekaligus menjadikan keseluruhannya ada 10 pilihan warna yang disediakan. Kesemuanya boleh digabungkan dengan bumbung berwarna hitam dan pelindung cermin sisi yang sama warnanya.

Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

Untuk bahagian dalamnya, papan pemuka nampak lebih maskulin berbanding sebelum ini. Bentuk asasnya adalah sama, tetapi konsol tengah telah dipisahkan antara bahagian atas dan bawah.

Gegelung pada pembesar suara dan corong pendingin hawa kini mendapat kemasan aluminium, sementara ciri tambahan lain termasuk brek parkir elektrik dan lampu suasana untuk konsol tengah serta bawah kaki. Tempat duduk menggunakan warna serta bahan baru. Selain hitam, pilihan yang diberikan adalah termasuk beige dan kulit berwarna khaki dengan konsol tengah berwarna coklat.

Model N Line datang dengan kemasan dalam warna hitam, tetapi boleh dipilih dengan kain biasa, kulit atau suede untuk tempat duduk. Menambahkan lagi rasa sporty, bahagian dalam model ini datang dengan jahitan merah, pedal besi, serta lencana N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk.

Untuk ciri teknologi dan sambungan, Kona facelift ini mendapat panel digital 10.25 inci seperti yang diguna pada i20. Ia boleh dipadankan dengan skrin AVN 10.25 inci dengan fungsi pembahagi dan beberapa sambungan Bluetooth kepada peranti berlainan. Naik taraf Bluelink yang dibuat menjadikan ia kini mempunyai fungsi Last Mile Navigation, Connected Routing, Live Parking Information dan Free Text Search.

Arahan suara kini boleh digunakan untuk kawalan pendingin hawa, tingkap belakang serta pemanas cermin sisi dan roda stereng. Sistem Display Audi kini dinaik taraf satu inci dan boleh digunakan dengan Android Auto dan Apple CarPlay secara wireless.

Ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu juga mendapat banyak naik taraf. Smart Cruise Control (SCC) telah dipertingkat dengan fungsi Stop and Go, manakala Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA) kini boleh mengaktifkan brek differential untuk mengelakkan perlanggaran pada titik buta.

Kona pra-peningkatan yang kita dapat diberikan dua pilihan enjin – 2.0L Nu MPI naturally-aspirated Atkinson-cycle dengan 149 PS/180 Nm (6AT, 0-100 km/j dalam 10 saat) dan 1.6L Gamma T-GDi dengan 177 PS/265 Nm dari 1,500-4,500 rpm. Versi turbo menerima kotak gear automatik dwi-klac tujuh-kelajuan dan merupakan SUV paling laju dalam kelasnya dengan pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.7 saat. Harganya pula dari RM115,888 ke RM143,888 untuk model CBU yang diimport terus dari Korea Selatan.

GALERI: Hyundai Kona facelift

GALERI: Hyundai Kona facelift N Line

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required