Barisan model 3 Series yang ditawarkan oleh BMW di Malaysia bakal ditambah dengan satu lagi versi baru, iaitu 330Li M Sport, yang didedahkan dengan harga jualan anggaran RM300,800 tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan serta program servis berkala percuma. Harga ini adalah termasuk dengan cukai jualan (SST) penuh.
BMW 330Li M Sport sebenarnya adalah versi jarak roda lebih panjang (LWB) bagi 3 Series G20 biasa, dan ia sudah diperkenalkan terlebih dahulu di Thailand awal tahun ini. Ukuran jarak rodanya adalah 2,961 mm (+110 mm) manakala panjang keseluruhan pula adalah 4,819mm (+110). Tinggi turut bertambah enam milimeter menjadi 1,441 mm.
Dimensi baru ini juga menghasilkan ruang dalam yang lebih, di mana penumpang belakang dapat menikmati tambahan 4 mm lagi di bahagian kepala, serta 42 mm lagi ruang kepala tambahan bagi penumpang belakang, berbanding 330i M Sport.
Daripada namanya, kita sudah mengetahui model yang dipasang di dalam negara (CKD) ini dilengkapi dengan pakej M Sport dan M Aerodynamics, yang termasuk barangan seperti rim M Sport Style 848 M 18 inci dengan tayar run-flat, ekzos berkembar dengan muncung berbentuk trapezoid, bumbung panoramik, BMW Individual High-Gloss Shadow Line serta lampu di bahagian kaki apabila pintu dibuka.
Dua pilihan warna luar disediakan, iaitu Mineral White dan Carbon Black, sementara gril kidney padanya pula diwarnakan hitam dan mempunyai kemasan keliling krom. Bagi kedua-dua pilihan warna ini, ia datang dengan kemasan balutan dalam kulit Vernasca berserta jahitan benang hitam.
Enjin pada model jarak roda panjang ini masih lagi sama seperti 330i M Sport, iaitu unit empat silinder petrol TwinPower Turbo 2.0L yang mampu menghasilkan 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm, dan 400 Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm, bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan untuk menyampaikan kuasa kepada roda belakang. Masa pecutan 0-100 km/j bagaimanapun bertambah sedikit menjadi 6.2 saat, berbanding 5.8 saat bagi 330i M Sport.
Bahagian dalam juga mendapat beberapa lagi barangan M termasuk roda stereng kulit dan pedal, manakala kemasan pula menggunakan Aluminium Tetragon dan Pearl Chrome. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3 inci BMW Live Cockpit Professional manakala untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan BMW Navigation System Professional dengan skrin sesentuh 10.25 inci.
Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk cermin anti silau, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana 11 warna, pendingin hawa automatik dengan kawalan tiga zon serta Comfort Access System. Pemilik juga boleh menikmati khidmat seperti navigasi on-the-go dan e-mobility melalui aplikasi My BMW yang menggantikan BMW Connected pada telefon pintar.
Untuk sistem bantuan pemandu, 330Li M Sport datang dengan Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collission Warning, Cross Traffic Warning, Rear Collission Prevention, Cruise Control dengan fungsi membrek, Active Pedestrian Safety serta Parking Assistant.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.