Seperti yang diumumkan tahun lalu, nah ini dia, MPV yang lebih mewah dihasilkan dari MPV mewah Toyota Alphard/Vellfire iaitu Lexus LM sudahpun tiba di Malaysia. Untuk pasaran tempatan, ‘hotel mewah bergerak’ ini ditawarkan dalam varian tunggal LM 350 dengan konfigurasi empat-tempat duduk.
Sesuai dengan perincian dan juga lencana Lexus yang dipadankan, ‘Alphard dari kayangan’ ini mahal lebih seganda dari MPV dengan logo Toyota, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,148,000. Harga ini adalah termasuk cukai jualan kerana penghantaran pertamanya kepada pelanggan hanya bermula Julai nanti. Sama seperti model Lexus lain, LM 350 hadir dengan waranti lima-tahun, tanpa had perbatuan.
LM diberikan pelbagai perincian unik yang berbeza dari Alphard/Vellfire walaupun kerangka badan yang digunakan adalah sama. Pada bahagian luaran, lampu Alphard digantikan dengan lampu lebih tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah persis model-model Lexus lain. Ia turut diberikan gril signatur ‘Spindel’ bersama logo Lexus di tengah bagi melengkapkannya sebagai sebuah Lexus sebenar.
Tiang-B signatur Alphard masih lagi dikekalkan, tetapi tahap premiumnya ditingkatkan lagi dengan kemasan krom seakan dua anak panah bertemu pada bahagian berbentuk-S berkenaan. Lampu belakang pula menerima sedikit sentuhan semula dengan bentuk ‘taring’ krom pada kedua-dua sisi bawah, dan ia terus merentangi pintu tailgate belakang. Lampu tersebut menampilkan teknologi LED bersama lampu isyarat membelok jenis sequential.
Model LM 350 pasaran Malaysia ini hanya ditawarkan dalam warna hitam dan White Pearl Crystal Shine, serta menerima banyak kemasan krom di bahagian luaran. Ia nampak serasi dengan rim pelbagai jejari tiga-dimensi berdiameter 18-inci, dibaluti tayar dengan saiz 235/50R18. Rim tersebut memang 1-inci lebih kecil dari Alphard, tetapi kalau anda nak tahu rekaan rim berkenaan sebenarnya menampilkan teknologi untuk mengurangkan bunyi bagi memastikan penumpang mendapat rasa yang lebih diperhalusi – memang betul-betul Lexus!
Jika anda rasa Alphard Royal Lounge sudah cukup mewah, ia sebenarnya tidak semewah bahagian kabin belakang Lexus LM ini. Secara asasnya, ia mempunyai konfigurasi sama seperti Royal Lounge, dengan hanya empat tempat duduk menampilkan captain seat pada baris kedua dan juga pemisah antara kabin hadapan dan belakang untuk lebih privasi yang turut menampilkan cermin tebal dengan fungsi pemalap elektrokromik.
Tempat duduk kabin belakang dengan perehat kepala yang besar berkenaan menampilkan busa kadar-sensitif AdaptiPedic, perehat belakang dan ottoman larasan elektrik, bersama fungsi pemanas dan berliang, serta tujuh program urutan badan. Tempat duduk dengan ruang kaki yang sangat besar tersebut juga boleh digelangsarkan ke hadapan dan ke belakang.
Selain dari pemisah, di hadapan ‘sofa’ tempat duduk kabin belakang ini juga diberikan skrin gergasi 26-inci 720p (dengan input Blu-Ray dan HDMI), dan juga peti sejuk (yang benar-benar sejuk!) di bawahnya. Manakala di tengah antara kedua-dua tempat duduk berkenaan pula diberikan papan kawalan bersama satu lagi skrin sesenuth bagi mengawal fungsi skrin utama, larasan kerusi, sistem pendingin hawa, moonroof, serta lampu suasana kabin.
Untuk kabin hadapan, ia masih kelihatan seperti Alphard dan diberikan berberapa perincian Lexus seperti roda stereng, tombol gear dan sebagainya. Pada konsol tengah, ia direka semula bagi menempatkan skrin sesentuh 12.3-inci yang boleh dioperasikan menerusi pad kawalan sesentuh Lexus Remote Touch yang terletak berhampiran tuil penukar gear.
Sistem infotainmen tersebut menampilkan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, manakala pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga sistem bunyi surround dengan 19-pembesar suara dari Mark levinson dilengkapkan sebagai ciri standard untuk LM 350 ini.
MPV Lexus ini juga dilengkapi dengan upholsteri kulit semi-aniline, trim kayu Gin-Sui-Boku kemasan silver ink, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pendingin hawa tiga-zon, lampu suasana kabin 16-warna, kamera 360-darjah dan juga pintu tailgate belakang berkuasa.
Untuk keselamatan pula, MPV mewah ini diberikan pelbagai sistem bantuan pemanduan Lexus Safety System+ terdiri sistem pra-pelanggaran, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan pengesan lorong, bantuan tukar lorong dengan pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek sokongan parkir, sistem lampu tinggi adaptif dan juga cermin pandang belakang digital. Ia juga hadir dengan tujuh beg-udara serta kawalan kestabilan elektronik.
Lexus LM 350 ini masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Alphard, dijana oleh enjin petrol 2GR-FKS 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus berkuasa 296 hp dan tork maksima 361 Nm, dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik Direct Shift. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat, dan mencapai kelajuan maksima 180 km/j.
Asas konfigurasi suspensi pada LM 350 ini juga masih sama dengan Alphard, menampilkan Topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, tetapi ia ditambah dengan penyerap hentak swing valve seperti yang dipadankan buat pertama kali pada Lexus ES terkini.
Komponen berkenaan dibekalkan dengan injap kelikatan-ultra-rendah yang mengawal aliran minyak dalam penyerap hentak tersebut dengan lebih jitu, membolehkan hentakan dari permukaan jalan yang kecil juga dapat diserap. Geometri suspensi serta pengekalan strok turut dioptimakan bagi memberikan keselesaan serta cengkaman jalan yang lebih baik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.