Honda Indonesia telah mengeluarkan teaser di laman Facebooknya, mengumumkan pengenalan sulung global secara maya model terbarunya yang akan berlangsung 3 Mei ini. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas model yang dimaksudkan, sebahagian wajah depannya turut ditunjukkan dalam iklan berkenaan.

Melihat kepada rekaan gril, ia kelihatan tajam, dengan lanjutan dan sambungan ke bahagian lampu utama LED yang juga tampil nipis, bersekali dengan lampu DRL bentuk L. Sayap krom terletak di atas logo Honda, dalam kelebaran penuh bahagian lampu tersebut.

Ini penggayaan yang berbeza daripada bar krom yang ada pada HR-V semasa dan juga sayap gril pada CR-V. Ia bahkan mirip kepada gaya SUV Honda Passport di pasaran Amerika. Garis bonet juga nampak tajam, meneruskan unsur sama yang dilihat pada palang krom grilnya.

Maka, kemungkinan model mana yang akan diperkenalkan ini? Sesetengah penerbitan di Indonesia menjangkakan Honda BR-V generasi terbaru, dan kami juga berkongsi pandangan yang sama. Pasaran mana lagi yang lebih tepat untuk memperkenalkan model MPV berkenaan (walaupun ia “menyarung” gaya sebuah SUV) selain Indonesia, kan?

BR-V yang ada hari ini mula diperkenalkan enam tahun lalu di Indonesia. Walaupun ketika GIIAS 2015 kereta yang dipamerkan waktu itu disifatkan sebagai prototaip, kita tahu prototaip Honda biasanya sudah 95% siap untuk diproduksi. Versi lebih hampir kepada produksi dipertontonkan beberapa bulan selepas itu di Thailand, dan nampak seiras, dengan jualannya dimulakan pada tahun 2016. Facelift pertengahan hayat bagi BR-V diberikan pada April 2019.

MPV terawal Honda untuk pasaran rantau itu ialah Mobilio. Tetapi dengan penggayaan SUV menjadi trend seluruh dunia, maka BR-V hadir untuk membawakan imej itu dan menjadi taruhan utama Honda yang agak berjaya dalam segmennya. Pesaing paling rapatnya di sana ialah model seperti Toyota Rush dan Daihatsu Terios dan Mitsubishi Xpander. Info selanjutnya selepas pelancarannya nanti pada Isnin depan.