Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

Ingat lagi pada Mac lalu Mitsubishi UK telah mengumumkan bahawa semua kereta warisan sejarah yang disimpan hendak dilelong kerana mereka akan ‘tutup kedai’ dan keluar dari pasaran berkenaan? Kini kesemua kereta-kereta tersebut telah pun terjual, dan mereka berjaya mengutip sebanyak £627,100 (RM3.59 juta)!

Menurut Mitsubishi UK, lelongan ini telah menarik sebanyak 1,287 bidaan untuk semua 51 lot yang ditawarkan. Manakala model yang terjual pada harga paling tinggi adalah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition – dengan harga jualan £100,100 (RM573k)!

Unit Evo VI TME tersebut bukan sahaja menampilkan jarak perbatuan yang sangat rendah, malah ia juga mempunyai tandatangan Tommi Makinen sendiri pada bahagian bonet hadapannya. Menurut Mitsubishi UK lagi, harga lelongan kali ini juga telah memecahkan rekod bidaan satu lagi Evo VI TME di UK, terjual dengan harga £99,000 (RM567k) pada 2017.

Unit kedua yang paling mahal terjual dalam lelongan ini adalah Mitsubishi Lancer Evolution IX MR FQ-360. Salah satu unit yang hanya dihasilkan sebanyak 200 unit khas untuk pasaran UK, dihasilkan bersama HKS tersebut terjual pada harga £68,900 (RM394k). Mitsubishi UK menyatakan ia adalah Lancer Evo ketiga paling mahal pernah terjual dalam lelongan setakat ini.

Satu lagi model edisi terhad Lancer Evo siri MR FQ yang terjual dalam lelongan ini adalah Lancer Evolution X MR FQ-440. Model ini dihasilkan hanya 20 unit, dan ia adalah yang terakhir dalam siri edisi terhad untuk UK yang dibangunkan bersama HKS. Unit yang terjual kali ini mendapat bidaan akhir £58,100 (RM333k).

Manakala Lancer Evo yang terakhir terjual dalam bidaan berkenaan adalah jentera rali Lancer Evolution IX Group N yang sebenar digunakan oleh juara Kejohanan Rali British dua kali iaitu Guy Wilkes bersama juruarahnya Phil Pugh. Jentera bersejarah ini terjual pada harga £61,700 (RM353k).

Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

Mitsubishi UK menayatakan bahawa keempat-empat unit Lancer Evo ini sahaja mewakili 60% dari hasil jualan keseluruhan dalam lelongan tersebut. Kereta pertama yang didaftarkan di UK iaitu Colt Lancer 1.4 Mk Standard 2-pintu 1974 terjual pada harga £15,000 (RM86k), manakala sebuah Colt Galant 2000 GLII juga keluaran tahun yang sama terjual pada harga £11,600 (RM66k).

Model-model yang pernah dipopularkan oleh filem-filem lakonan Jackie Chan turut ada tersenarai dalam barisan unit yang dilelong ini iaitu kereta sport Mitsubishi Starion Turbo 1988 terjual pada harga £21,100 (RM121k) dan juga Mitsubishi 3000GT 1992 (juga dikenali sebagai GTO) terjual pada harga £24,500 (RM140k).

Model-model lain yang turut terjual adalah seperti berikut; jentera rali replika Mitsubishi Galant GLSi (VR-4) Lombard RAC Rally 1989(£12,500, atau RM72k), Shogun/Pajero Mk1 (£16,000, atau RM92k), Jeep J27 (£20,600, atau RM118k), Shogun/pajero Mk2 V6 SWB (£9,600, atau RM55k), Outlander PHEV 2015 (£16,000 or RM92k) dan juga L200 Desert Warrior (£30,100 atau RM172k).

Selain dari kereta-kereta sebenar, lelongan kali ini juga turut menyenaraikan sebuah model skala yang berfungsi, iaitu Mitsubishi Model A 1917, kereta pertama yang dihasilkan oleh Mitsubishi. Ia terjual dalam lelongan ini pada harga £13,700 (RM78k).

“Kenderaan-kenderaan ini mewakili bukan sahaja sebahagian besar warisan dan sejarah Mitsubishi di UK, ia juga adalah kenderaan-kenderaan yang sangat istimewa dalam dunia masing-masing. Setiap satunya mempunyai cerita yang unik untuk diberitahu dan dihargai serta dijaga sejak hari pertama kami menerima setiap unit,” kata pengarah operasi Mitsubishi UK, Paul Bridgen.

“Saya telah melihat pembangunan sebahagian kenderaan-kenderaan ini secara peribadi jadi sangat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka tetapi nilai yang telah dicapai hari ini meyakinkan saya mereka akan dijaga oleh tuan baru yang bersemangat dan faham asal usul serta kepentingan kereta-kereta ini dan akan menghargainya dan mengekalkannya untuk generasi akan datang,” tambahnya lagi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required