Mitsubishi UK tutup – lelong kesemua unit warisan sejarah; Evo, Starion, Pajero, Lancer dan Galant!

Mitsubishi UK tutup – lelong kesemua unit warisan sejarah; Evo, Starion, Pajero, Lancer dan Galant!

Julai tahun lalu, Mitsubishi telah mengumumkan pelan perniagaan jangka-pertengahan yang dirangka bagi memulihkan kembali prestasi syarikat yang kini sedang bergelut dengan pelbagai masalah. Dan menerusi strategi “Pemilihan dan Konsentrasi”, jenama berkenaan hanya akan mengukuhkan tapaknya di pasaran dengan reputasi mereka yang masih dominan iaitu di ASEAN, tetapi terpaksa keluar dari kebanyakkan pasaran di Eropah.

United Kingdom merupakan salah satu negara yang terpaksa mereka tinggalkan. Walaupun jualan Mitsubishi Outlander PHEV mendapat sambutan yang baik (kerana insentif kereta mesra alam yang diberikan oleh kerajaan), jenama berkenaan betul-betul ‘merana’ pada pasaran berkenaan – tahun lalu, Mitsubishi UK hanya memperolehi 0.5% bahagian pasaran dengan jumlah jualan hanya 9,076 unit.

Jadi, selain dari pejabat-pejabat urusan dan fasiliti-fasiliti jualan dan kejuruteraan, mereka juga terpaksa menjual unit-unit kenderaan warisan sejarah yang sentiasa berada dalam ‘kondisi muzium.’ Dan 14 unit kereta yang bakal dilelong ini bukan dari baka biasa-biasa, ia turut melibatkan sejarah emas Mitsubishi dalam sukan permotoran!

Antaranya adalah Mitsubishi Colt Lancer generasi pertama, Colt Galant, Jeep CJ-3B, Starion Turbo, Galant VR-4, 3000GT, Lancer Evo VI Tommi Makinnen Edition (TME), Lancer Evo IX MR FQ 360, Lancer Evo X MR FQ-440, dan pelbagai model Pajero (dikenali sebagai Shogun di sana).

Tentu ramai daripada anda yang tak pernah tau Mitsubishi pernah menghasilkan Jeep untuk kegunaan tentera bukan? Jeep CJ-3B berkenaan sebenarnya adalah model rebadge dari Jeep Willy Amerika Syarikat, dan ia telah dibawa ke UK pada tahun 1983.

Mitsubishi Colt Lancer 1.4L Coupe (nickname Lancer telefon di Malaysia kerana lampu belakang menyerupai ganggang telefon) yang dilelong berkenaan pula adalah model tahun 1974, unit sebenar yang dipamerkan pada British Motor Show pada tahun tersebut. Mitsubishi Colt Galant 2.0L (juga dikenali sebagai Galant ‘Kuda’ kerana logo kuda yang digunakan) yang dilelong ini juga dari tahun yang sama.

Model-model yang dipopularkan oleh filem-filem lakonan Jackie Chan turut ada tersenarai dalam barisan unit yang dilelong ini iaitu kereta sport Mitsubishi Starion Turbo 1988 (filem The Cannonball Run 1981) dan juga Mitsubishi 3000GT 1992 (juga dikenali sebagai GTO) yang terkenal menerusi filem Thunderbolt 1995.

Kereta rali Mitsubishi Galant VR-4 1989 yang dilelong kali ini adalah replika jentera yang pernah dipandu oleh Pentti Airikkala dalam Lombard RAC Rally 1989. Walaupun ia hanya replika, unit ini dihasilkan dengan spesifikasi rali sebenar oleh pakar pembuat kereta rali, Co-Ordsport.

Nak kereta rali sebenar? Anda boleh bida kereta rali Lancer Evo IX dalam simpanan Mitsubishi UK ini. Ia adalah jentera sebenar yang dipandu oleh Guy Wilkes dan menjuarai Kejohanan Rali British (BRC) untuk musim 2007 dan 2008.

Barisan Evo lain yang boleh anda bida kali ini juga bukan model Evo yang boleh beli dengan mudah dalam pasaran sekarang. Evo VI TME yang disimpan oleh Mitsubishi UK ini bukan sahaja macam baru keluar kilang, ia juga ada tandatangan sebenar Tommi Makinen pada penutup bonet depan!

Bagi peminat tegar Mitsubishi Lancer Evo, mereka pasti sudah tahu apa yang dimaksudkan dengan akronim ‘MR’ dan ‘FQ’ pada Lancer Evo IX dan Evo X dalam senarai ini. Kedua-duanya adalah model edisi terhad yang hanya dijual di UK (Jepun pun tak dapat!) dengan peningkatan prestasi yang begitu hardcore.

Mitsubishi Lancer Evo IX MR FQ 360 ini dibuat pada tahun 2008, hanya sebanyak 200 unit. Berbanding model standard, versi ini diberikan unit pengecas turbo, intercooler dan ekzos yang ditingkat taraf serta talaan semula pada kotak komputer enjin, bagi membolehkan enjin 4G63T 2.0 liter tersebut menghasilkan 360 hp dan tork maksima 492 Nm.

Manakala Lancer Evo X MR FQ-440 pula dibuat pada tahun 2014, dihasilkan hanya 20 unit sempena ulangtahun ke-40 Mitsubishi UK. Model ini menampilkan spesifikasi yang jauh lebih jahat – ia menerima pengecas turbo dan kotak komputer dari HKS, serta intercooler dan kit kemasukan udara bersama sistem ekzos dari Janspeed, membolehkan enjin 2.0 liter 4B11T berkenaan bernafas dengan 440 hp dan tork maksima 559 Nm!

Kesemua kereta-kereta ini akan dilelong oleh Auto Auction tanpa rizab, dan bidaannya akan bermula 1 April ini. Selain dari kereta, Mitusbishi UK juga akan melelong pelbagai nombor pendaftaran persendirian yangfancy dalam simpanan mereka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required