Berikutan pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula hari ini di beberapa kawasan termasuk di Selangor, PDRM akan mengadakan sekatan jalan raya di empat lokasi sekitar Petaling Jaya, lapor Bernama.

Sekatan jalan ini dilakukan di plaza tol Sungai Buloh, Kota Damansara, Damansara dan Subang, yang terletak dalam daerah Petaling di Selangor. Polis juga akan meningkatkan kehadiran di lokasi dan bekerjasama dengan Majlis Bandara Petaling Jaya (MBPJ) untuk memantau pematuhan SOP, ujar Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

PKP 3.0 terbaru yang dikenakan bermula 6 Mei hingga 17 Mei di enam daerah dalam Selangor melibatkan ulu Langat, Gombak, Klang, Kuala Langat, Petaling dan Sepang. Tiga lagi daerah di negeri ini, iaitu Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, akan kekal di bawah PKPB.

Perjalanan rentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan ketika PKP, seperti dijelaskan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media mengumumkan PKP 3.0 pada 4 Mei lalu. Langkah terbaru ini terpaksa diambil untuk mengekang jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di negeri terbabit.

Semalam, kerajaan turut mengumumkan PKP 3.0 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula 7 Mei hingga 20 Mei 2021.