Mercedes-AMG E 63 4Matic+ facelift telah diperkenalkan tahun lalu, jadi anda tahu kita hanya menunggu masa sahaja sebelum Brabus mengubah suai model ini. Sekarang, ia sudah siap dan diperkenalkan kepada dunia sebagai Brabus 800. Namanya memang ringkas, tapi ini bukan calang-calang kereta.
Perubahan paling besar yang dibuat oleh Brabus adalah pada bahagian enjin, di mana unit V8 twin turbo 4.0 liter yang asalnya boleh menghasilkan kuasa 612 PS (603 hp) dan 850 Nm dipertingkat lagi sehingga boleh mengeluarkan 800 PS (788 hp) dan 1,000 Nm. Transmisi masih lagi unit AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+.
Untuk mendapatkan kuasa ini, antara bahagian yang ditukar adalah pengecas turbo, yang kini menggunakan unit lebih besar bersama bearing axial dan boleh menghasilkan boost maksimum sehingga 1.6 bar. Kemudiannya, sistem pengurusan elektronik enjin disambungkan kepada modul Brabus PowerXtra dengan pemetaan khas dan saluran udara buatan gentian karbon disepadukan kepada bahagian gril untuk pengudaraan yang lebih cekap. Melengkapkan pakej prestasi ini adalah sistem ekzos stainless steel dengan muncung gentian karbon.
Penampilan kereta ini juga sudah tentu dinaik taraf. Pelbagai komponen gentian karbon dipasang, termasuk pada gril, lip hadapan, spoiler belakang serta diffuser, dan ia boleh dipilih dalam kemasan sama ada yang berkilat ataupun matte.
Pilihan rim oleh Brabus juga ada pelbagai, sehingga saiz 21 inci dan ia boleh dipadankan dengan Brabus Sports Unit bagi suspensi udara standard. Dengannya, kedudukan kenderaan boleh menjadi lebih rendah antara 10 hingga 20 mm, bergantung kepada mod pemanduan ketika itu.
Bagi bahagian dalam, anda boleh mendapatkan plet tepi pintu stainless steel dengan logo yang menyala, pedal aluminium, serta pelbagai pilihan balutan kulit, Alcantara dan kemasan sama ada jenis kayu atau gentian karbon. Semuanya bergantung kepada kemahuan pemilik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.