Umum mengetahui, pandemik Covid-19 telah menyebabkan satu lagi masalah besar kepada pembuat-pembuat kereta di seluruh dunia iaitu kekurangan bekalan cip semikonduktor. Perkara ini telah menyebabkan pelbagai masalah lain termasuk penangguhan dan pengurangan produksi, malah ada juga kilang yang terpaksa ditutup sementara kerana tidak cukup sumber komponen bagi menghasilkan sebuah kereta lengkap.

Namun pengeluar-pengeluar ini tidak boleh hanya pasrah bagi menghadapi situasi sebegini dan mereka mula mengambil pelbagai langkah penyelesaian. Menurut laporan dari Bloomberg, Nissan mula tidak memadankan lagi sistem navigasi GPS pada beribu-ribu kereta baharu mereka, Renault pula tidak lagi menawarkan kluster instrumen digital sepenuhnya pada SUV Arkana, manakala Ram kini menghentikan sementara opsyen untuk sistem cermin pandang belakang pintar pada trak pikap 1500, semua ini hanya kerana untuk menjimatkan penggunaan cip.

Kekurangan bekalan cip semikonduktor ini merupakan detik yang kritikal dan bersejarah, kerana ia melanda ketika pengeluar-pengeluar kereta sedang berlumba-lumba menghasilkan kenderaan yang lebih selamat dan pintar, yang sudah tentu memerlukan sistem komputer yang lebih berkuasa.

Pengurangan produksi-produksi kenderaan ini akan menyebabkan kejatuhan jualan berjuta-juta kenderaan tahun ini, dan pakar-pakar dalam industri menjangkakan bahawa situasi ini tidak akan pulih sekurang-kurangnya sehingga tahun 2022.

Mark Liu, pengerusi Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) iaitu syarikat pembuat cip terulung di dunia menyatakan bahawa syarikatnya hanya akan dapat memenuhi permintaan minimum untuk syarikat pengeluar kenderaan pada Jun ini. Liu memberitahu CBS dalam dalam satu temuramah bahawa masalah bekalan cip ini mungkin akan berlarutan sehingga awal 2022.

Buat masa sekarang, pengeluar-pengeluar kenderaan agak bertuah untuk menerima bekalan yang hanya cukup untuk digunakan pada model-model popular dan menghasilkan keuntungan. Peugeot misalnya, telah mengumumkan akan menggantikan instrumen digital pada model 308 dengan panel meter analog konvensional.

General Motors pula kini terpaksa memproduksi trak pikap Chevrolet Silverado tanpa berberapa modul penjimatan bahan api, menyebabkan pemilik trak berkenaan terpaksa memandu dengan penggunaan bahan api setinggi satu batu untuk setiap gelen.

Kerana masalah ini juga, Nissan dilaporkan terpaksa mengambil bekalan cip mereka yang sudah berada di India, diterbangkan ke Amerika Syarikat bagi memastikan produksi untuk kilang-kilang di Amerika Utara terus berjalan.

Satu lagi jalan yang boleh diambil oleh pengeluar-pengeluar kenderaan ini adalah untuk mencari apa sahaja sumber cip yang boleh didapatkan, termasuk cip-cip yang telah dihasilkan tetapi tidak mematuhi spesifikasi kualiti standard. Menurut Bloomberg, cip-cip yang dibuat di bawah standard sepatutnya ini tidak akan mengorbankan sistem keselamatan kereta, tetapi ia mungkin akan menyebabkan sistem infotainmen atau sistem pemantau emisi tidak berfungsi dalam cuaca buruk.

Sig Huber, konsultan di Coway MacKenzie dan bekas ketua pembelian di Fiat Chrysler menyatakan bahawa pengeluar-pengeluar kenderaan boleh membeli cip baharu dan kemudian menggantikan perisian di dalamnya bagi melakukan fungsi yang dimahukan. Minggu lalu Tesla mendedahkan bahawa mereka mengatasi masalah ini dengan cara mencari pembekal cip baharu, dan kemudian memasukkan perisian baharu dalam cip-cip tersebut.