Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

Pastinya ramai yang tahu, antara Proton X50 terawal yang menerima pengubahsuaian menyeluruh adalah X50 berwarna kuning milik Lee seakan watak Transformers iaitu Bumblebee yang tular tak sampai sebulan selepas SUV segmen-B tersebut dilancarkan di Malaysia. Dan mungkin juga ramai yang tahu bahawa Lee bersama X50 tersebut telah pun terlibat dalam kemalangan awal tahun ini.

Namun kejadian tersebut tidak mematahkan semangat Lee untuk terus menghidupkan semula X50 berkenaan, dan gambar yang anda lihat ini adalah X50 1.5 T-GDI Flagship yang sama tetapi telah diberi nafas baru, berubah dari robot pejuang Bumbleebee kepada Pokemon Militank!

Seperti nama yang diberikan oleh tuannya, X50 berkenaan kini menerima balutan pelekat badan dengan warna merah jambu (Ceramic Matte Pink), bersama kemasan-kemasan hitam tanpa sebarang unsur krom – persis watak seakan lembu berperisai dari siri animasi Jepun berkenaan. Menurut Lee, untuk tema warna sahaja sejumlah RM3,500 telah dibelanjakan.

Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

Ciri-ciri lain dari Bumblebee masih dibawa ke Militank ini termasuk spoiler bawah bampar hadapan tiga lapis bersama jalur LED tiga-bar pada perumah lampu kabus. Namun lampu hadapan X50 ini telah digelapkan lagi, manakala jalur LED untuk lampu nyalaan siangnya pula kini berwarna ungu.

Rel bumbung pula masih kekal berwarna hitam dan spoiler belakang Geely Binyue Sport yang lebih besar masih lagi berada ditempatnya. Lee tidak lagi menggunakan bar LED yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang Militank ini, manakala perkataan ‘PROTON’ telah digantikan dengan ‘POOR’.

Lee terus menggunakan rim berdiameter 20-inci pada X50 ini, tetapi rim lama telah digantikan dengan unit baharu dari AD Wheels rekaan tujuh-jejari berkembar. Selain dari jejarinya yang berbeza, rim baharu ini sebenarnya lebih lebar dengan ukuran 9jj; 2jj lebih lebar dari rim 18-inci standard serta setengah inci lebih lebar dari rim Veemann sebelum ini. Rim baharu tersebut masih dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 S bersaiz 235/40R20.

Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

Perubahan rupa luaran turut diselarikan dengan bahagian kabin. Pada papan pemuka, lapisan paling atas dibalut dengan Alcantara Itali 9002 asli sementara kemasan-kemasan plastik pula dibalut dengan vinyl berwarna merah jambu yang sama seperti diluar.

Manakala bahagian kemasan tiang-A, kemasan penutup tali pinggang keledar, perehat tangan tengah dan kemasan pintu menerima balutan dari material sued. Kabin Militank ini juga diserikan dengan kemasan terowong tengah yang diperbuat dari gentian karbon forged dan juga roda stereng gentian karbon yang dibalut kulit berliang.

Lee turut memberikan pencahayaan tambahan untuk X50 ini dengan memasang jalur LED di papan pemuka (di bawah lapisan atas yang di balut Alcantara), di mana lampu berkenaan boleh dikawal menerusi aplikasi telefon pintar dengan hubungan Bluetooth. Untuk sistem hiburan pula, sistem audio telah dipertingkat dengan sistem tiga hala dari TPR.

Ubahsuai prestasi untuk Militank ini masih kekal sama seperti konfigurasi Bumblebee sebelum ini. Enjin 1.5 liter turbo GDI tiga-silinder berkenaan ditala semula dengan modul Race Chip GTS, membolehkan ia mengekstrak lebih 22 PS/35 Nm yang dibuktikan di atas mesin dyno. Menurut Lee, talaan tersebut akan diperkemas dan ia dijangka mampu menghasilkan 200 PS dan tork maksima 300 Nm pada aci engkol.

Untuk pengendalian pula, X50 berkenaan kini dilengkapkan dengan set suspensi boleh laras sepenuhnya. Manakala untuk berhenti, sistem brek ditingkap taraf dengan cakera berliang dan ditebuk berdiamater 405 mm (diambil dari Cadillac CTS-V) bersama angkup Brembo enam-omboh di hadapan serta cakera 380 mm bersama angkup empat omboh di belakang. Booster brek dan kelengkapan lain turut telah dipertingkat bagi memastikan ia boleh beroprasi dengan set brek yang lebih besar.

Macam mana? Anda lebih suka X50 ini dengan imej Bumbleebee seperti sebelumnya atau rasa Militank ini lebih cantik? Jika anda nak tahu apa yang akan Lee buat terhadap X50 berkenaan selepas ini, atau berminat untuk mendapatkan apa-apa aksesori untuk X50 anda, jangan lupa untuk singgah di laman Facebook All In Cross Fifty Accessories Malaysia.

GALERI: Proton X50 Bumblebee

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Berterimakasih kepada china yg berbesar hati menjual rekaan kereta nya di malaysia…mengajar pekerja supaya bekerja dengan integriti dan bukan mempermainkan pembeli. Kalau tidak tak tahu apa jadi dengan industri kereta di negara ini.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 3
 

Add a comment

required

required