Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

Seperti yang kami janjikan tempoh hari, ini dia, kami tampilkan lebih perincian serta galeri penuh untuk Proton X50 yang viral kerana tampil sebagai unit pertama X50 diubahsuai, tak sampai sebulan model ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Kami agak beruntung kerana pemiliknya, Lee tidak segan silu untuk memberikan kami peluang untuk memaparkan secara terperinci X50 dengan warna seperti Bumblee Bee berkenaan, serta menerangkan apa ubahsuai yang telah dibuat setakat ini.

Lee antara orang bertuah kerana ketika masih ramai yang menunggu stok X50 masing-masing (lebih 27,000 unit telah ditempah setakat bulan lalu!), dia telah menjadi antara pemilik X50 terawal yang menerima kereta yang paling hype di Malaysia buat masa sekarang.

Keputusan untuk mengubahsuai X50 ini bukan dibuat selepas menerima kereta tersebut, kerana sebahagian aksesori telahpun ditempah oleh Lee sebelum X50 ini dilancarkan secara rasmi. Walaupun kereta ini dibeli sememangnya untuk diubahsuai, Lee tidak membeli model paling ‘kosong’ seperti yang dibuat kebanyakkan orang dalam menghasilkan projek sebegini, sebaliknya dia memilih X50 dalam spesfikasi tertinggi iaitu varian 1.5T-GDI Flagship.

Antara perkara pertama yang Lee lakukan terhadap X50 ini dan menyebabkan ia terus viral selepas itu adalah dengan membalut badan asal yang berwarna Citric Orange dengan pelekat berwarna kuning satin ini. Dalam masa yang sama, kemasan-kemasan krom dan perak asal seperti pada gril hadapan, lampu, sekeliling tingkap dibalut dengan vinyl berwarna hitam berkilat, termasuk pada rel bumbung dan pembuka pintu bagi memberikan imej yang lebih sporty.

Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

Lampu hadapan dan lampu kabus LED asal X50 ini masih dikekalkan, namun perumah lampu kabus tersebut diganti dengan unit yang menampilkan tiga lagi jalur LED tambahan. Lee turut menambah satu lagi lapisan ‘sayap’ pada bahagian bawah bampar asal X50 ini dan dibalut dengan kemasan gentian karbon berkilat, sebagai tambahan dari dua lip spoiler yang telahpun dibekalkan standard untuk semua varian X50.

Penutup cermin sisi asal turut ditukar dengan komponen dari gentian karbon, manakala di bahagian belakang, spoiler bumbung asal X50 ini telah pun dicabut dan digantikan dengan spoiler lebih besar yang diambil dari model asalnya pada pasaran China iaitu Geely Binyue untuk varian Sport.

Jika anda lihat dengan teliti, Lee turut membuat sedikit perubahan pada bahagian ini bagi membuatkan ia sedikit berbeza dengan X50 standard – bar krom yang merentangi pintu tailgate diganti bar LED berwarna merah, sementara perkataan ‘PROTON’ dialih ke bahagian atas. Empat tip ekzos asal X50 ini masih dikekalkan, tetapi ia menerima ‘sarung’ kemasan gentian karbon.

Bagi melengkapkan rupanya, rim 18-inci 7 jj asal yang dibekalkan Proton tidak lagi digunakan. Ia kini digantikan dengan rim 20-inci dengan lebar 8.5 jj berwarna hitam dari Veemann, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 S dengan saiz 235/40ZR20.

Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

Rim dengan jejari berjarak berkenaan secara tidak langsung seakan ‘menayang’ sistem brek gergasi pada bahagian roda hadapan X50 ini. Brek apa yang Lee pakai untuk X50 ini? Ia sebenarnya adalah gabungan cakera berliang 405 mm yang ditebuk diambil dari sedan V8 Amerika, Cadillac CTS-V bersama angkup enam-omboh dari Brembo!

Brek belakang juga sebenarnya sudah ditingkap taraf dengan menggunakan cakera berliang 380 mm bersama angkup empat-omboh yang diambil dari Porsche Cayenne, namun disebabkan rim 20-inci yang sangat besar tersebut membuatkan cakera berkenaan masih kelihatan kecil.

Badan SUV ini juga nampak lebih rapat ke permukaan tanah dari model standard, membuatkan ruang roda nampak ‘penuh’ dengan set rim dan tayar yang lebih besar berkenaan. Proses ini dibuat oleh Lee menggunakan set suspensi boleh laras yang dihasilkan untuk Geely Binyue.

Bukan hanya ketinggian yang dilaras, Lee turut membuat tetapan sudut camber -2 pada bahagian hadapan, berbanding spesifikasi asal -1 untuk tayar depan kiri dan +1 pada tayar depan kanan yang dibuat oleh Proton. Menurut Lee yang biasa dengan ‘track day’ di Sepang, talaan tersebut bukan saja-saja dibuat, kerana dia berhajat untuk ‘membelasah’ X50 ini di litar berkenaan selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor nanti.

Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

Dan untuk pengetahuan anda, bukan suspensi dan brek sahaja diubahsuai, Lee sebenarnya sudahpun membuat berberapa tingkat taraf bagi mengekstrak lebih kuasa dari enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan terus dalam perut Proton X50 ini.

Perkara pertama yang dibuat adalah sistem ekzos – unit catalytic converter pertama yang mempunyai penderia O2 masih dikekalkan, manakala unit catalytic kedua telah dibuka dan digantikan dengan tabung yang memberikan bunyi lebih garang. Ia turut diberikan sistem injap bagi membolehkan tahap bunyi tersebut dikawal menggunakan hubungan Bluetooth.

Selepas memberikan sistem ekzos yang lebih lawas, talaan kotak komputer enjin dibuat kembali menggunakan komputer piggyback RaceChip GTS. Talaan semula untuk mengoptimakan pemasaan nyalaan, nisbah campuran udara-bahan api dan pelbagai lagi membolehkan sejumlah 22 PS dan 35 Nm dibebaskan dari enjin tersebut – ini bukan agak-agak kerana graf dyno telah membuktikannya.

Menurut Lee, talaan ini membolehkan X50 miliknya ini memecut 0-100 km/j lebih pantas dari asal, dan ia turut memberikan penghantaran kuasa lebih responsif dalam mod Sport. Talaan ini sebenarnya masih belum sempurna kerana menurut Lee lagi, selepas ia ditala dengan lebih terperinci, enjin berkenaan berpotensi untuk menghasilkan tambahan sekitar 6 PS/10 Nm, atau lebih kurang 200 PS/300 Nm pada crank!

Sama seperti bahagian luaran dan prestasi, Lee turut memberikan perhatian serius untuk bahagian kabin X50 Flagship ini, walaupun dalam keadaan standard ia sudah cukup sporty dan rasa mewah dengan upholsteri kulit sintetik serta banyak bahagian telah diberikan material sentuhan lembut dari kilang.

Keseluruhan papan pemuka X50 ini dibuka (tak sampai sebulan keluar dari bilik pameran, berani?) untuk dibalut semula dengan Alcantara hitam dengan serlahan jahitan kuning, dan ia turut meliputi bahagian sentuhan lembut asal pada bahagian atas paparan instrumen dan juga kemasan perak pada yang merentangi papan pemuka berkenaan.

Bahagian lain seperti perehat tangan pemandu dan kemasan pintu (sebelum ini dibalut kulit merah) turut diberikan balutan material dan juga serlahan benang yang sama. Manakala keseluruhan lantai kini menerima karpet istimewa berwarna merah.

Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

Sekali tengok, sistem audio pada X50 ini nampak standard. Namun sebenarnya Lee telah membelanjakan sekitar RM4,500 untuk mendapatkan kualiti yang jauh lebih baik menerusi penggunaan pembesar-pembesar suara FRP (disebalik perumah asal), pemproses bunyi digital dan juga subwoofer digital aktif yang diletakkan di bawah tempat duduk.

Dua lapis penebat bunyi tambahan turut diberikan pada kesemua pintu yang bukan sahaja memberikan bunyi audio lebih baik, malah memberikan perasaan lebih solid apabila pintu ditutup. Pintu tailgate belakang juga telah diubahsuai dengan sistem bantuan elektrik, lengkap dengan bukaan tanpa sentuh dengan penderia kaki pada bampar.

Buat masa sekarang, Lee telah menghabiskan kira-kira RM52,000 untuk mendapatkan hasil ubahsuai seperti sekarang, dan sudah tentu ini adalah X50 pertama dengan perlindungan warantinya tidak lagi boleh digunapakai. Rugi? Kadang-kadang kepuasan macam ni tak sama nilainya dengan wang ringgit – ‘syok’ tu sesuatu yang tak boleh kita beli.

Dan walaupun kos ubahsuai ini sudahpun mencecah separuh harga Proton X50 ini sendiri, Lee masih bercadang untuk melakukan pelbagai modifikasi pada kereta ini antaranya tempat duduk hadapan yang bakal ditukar kepada tempat duduk bucket dari Recaro.

Kami juga teruja apabila Lee mengatakan prestasi X50 ini juga akan ditingkatkan pada masa akan datang dengan penukaran sistem brek karbon seramik dari Audi RS5, dan dia turut berminat untuk ‘meleraikan’ enjin asal berkenaan untuk menggantikan omboh asal kepada omboh jenis forged bagi membolehkan ia didesak dengan pengecas turbo lebih besar.

Namun Lee tidak menolak kemungkinan untuk mengambil langkah drastik bagi mendapatkan kuasa segera dengan menggunakan enjin 2.0 liter turbo 4G63 dari Mitsubishi Lancer Evolution. Gila!

Untuk pemilik-pemilik X50, berminat mana-mana aksesori yang digunakan oleh Lee dalam modifikasi SUV ini? Hah, anda boleh layari sendiri laman Facebook rasmi All In Cross Fifty Accessories Malaysia, pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • mfzack on Nov 27, 2020 at 8:17 pm

    X50 flagahip hanya menerima leatherette/synthetic leather. Bukan nappa leather

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Abd aziz on Nov 29, 2020 at 2:28 am

    Thank you penaja x50 thank you very much

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Harimau Malaya la.. bukan bubblebee .. kuat la pngaruh western kt malaysia ni mmm

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Kucing Malaya on Feb 01, 2021 at 9:18 am

    Modifikasi menakjubkan, tetapi sebaiknya keupayaan pemandu juga ditingkatkan supaya bersesuaian dengan kenderaan. X50 kuning ini kemalangan pada 31 Januari 2021, “total loss” rasanya terutamanya kerana spare part lambat sampai dan waranti kereta tak terpakai

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required